Penulis :
Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid., AMP. (wanamirzamp@yahoo.com)
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Lipis
Kawasan Warisan Sejarah
sebenarnya tidak bermula daripada Kerajaan British menjadikan Kuala Lipis sebagai Ibu Negeri Pahang (1898), malahan tidak
juga sewaktu Kerajaan British memperkenalkan Sistem Residen (1888) di Pahang atau sewaktu Pekan Lipis diasaskan oleh Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud
bin Panglima Perang Wan Pahang (1863) ataupun sewaktu Seri Maharaja Perba di Jelai dilantik
sebagai Orang Besar Berempat Pahang sekaligus “Wakil Mutlak” di Ulu Pahang oleh
Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah (Raja Pahang XII,1592-1614M – zuriat
langsung Raja Melayu Melaka), tetapi kawasan ini telah terbukti daripada kajian
arkeologi pernah menjadi petempatan terawal manusia primitif sejak 4,500 SM
lagi.
Jika Melaka muncul
daripada sebuah perkampungan kecil nelayan, maka Kuala Lipis pula bermula daripada sebuah perkampungan kecil di pinggir
sungai yang lokasinya di pertemuan muara Sungai
Lipis dan Sungai Jelai. Di
sinilah Sejarah Kuala Lipis itu
bermula. Meskipun begitu, bagaimana Kuala Lipis mendapat nama mempunyai mitos yang
berbeza-beza.
Mitos paling klasik menyebut bahawa kata nama “Lipis” dikaitkan dengan sejenis
tumbuhan yang dikenali sebagai “Serau
Lipis” (nama saintifiknya “Paveta Indica”.
Mitos selanjutnya, nama Lipis turut dikaitkan dengan perbuatan “melepeh”, yang membawa maksud
menganyam, menjalin atau melipat sesuatu.
Bagi anak jati Lipis, sebutan lazim bagi tempat ini ialah “lepeh”. Mengikut satu versi oral klasik tempatan, di
muara Sungai Lipis inilah berlaku kegiatan “melepeh daun rumbia” atau “melepeh
dauh pedor” untuk dibuat atap rumah. Pokok
rumbia dan juga pokok pedor dikatakan banyak tumbuh di sekitar pinggir
pertemuan muara Sungai Lipis dan Sungai Jelai.
Ketika itu, apabila orang tempatan bertemu sesama mereka, mereka mulakan
dengan pertanyaan, “nak ke mana ?”. Jawab
mereka, “nak melepeh”. Lama-lama, tempat di mana kegiatan melepeh itu disebut
ringkas sahaja sebagai “lepeh”. Memandangkan kegiatan “lepeh” itu bertempat di
kuala sungai, maka perkampungan pinggir kuala sungai itu dinamakan “Kuala Lepeh”, dan sungai pun dinamakan
“Sungai Lepeh”. Bilakan (tarikh sebenar) nama “Kuala Lepeh”
dan “Sungai Lepeh” mendapat nama tidaklah dapat dipastikan, tetapi dipercayai penamaan
ini berlaku setelah orang-orang Melayu Melaka mula memasuki dan menguasai
Sungai Pahang dan Sungai Jelai pada penghujung abad ke-16M.
Satu sumber oral[1]
yang baru ditemui menyebut bahawa sebutan kata nama Kuala Lepeh (Kuala Lipis) dan Sg.
Lepeh (Sg. Lipis) itu asalnya bermula apabila seorang Bangsawan Melayu Melaka
(keturunan Raja-Raja Melayu Melaka) bernama Tun
Ibrahim bersama putera-puteranya, yakni Tun Bandan, Tun Bandu@Tun
Sulaiman, Tun Bahar, keluarganya
dan para pengikutnya berhijrah dari Johor, ke Patani, ke Kelantan, ke
Terengganu, dan akhirnya ke Pahang menyusuri Sg. Pahang dari Kuala Pahang ke
Ulu Pahang, ke Sg. Jelai (anak Sg. Pahang utama) hinggalah mereka berhenti di muara Sg. Lipis. Ketika
itu, Kuala Lipis dan Sg. Lipis belum bernama. Kehadiran Tun Ibrahim bersama
putera-putera, keluarga dan pengikutnya di muara sungai (Sg. Lipis) untuk
mendarat mendapat tentangan hebat oleh kaum Orang Asli kerana mereka tidak suka
orang asing sewenang-wenang masuk ke tempat mereka, tetapi atas kebijaksanaan
dan kehebatan ilmu batin dan kepahlawanan Tun Ibrahim, akhirnya Batin Orang
Asli yang menguasai perkampungan di muara itu terpaksa mengaku kalah, lalu
mereka dibenarkan naik ke daratan.
Sesudah mendapat
kebenaran naik ke daratan, maka Tun Ibrahim pun memerintahkan para pengikutnya
mencari tapak yang sesuai untuk dibuat pondok kediaman, dan juga tempat mereka bercucok-tanam.
Apabila sudah siap dibina rangka pondok kediaman daripada kayu-kayan yang
terdapat di situ, mereka kemudian merayau mencari daun-daun untuk dibuat atap.
Kebetulan di kawasan pinggir sungai itu terdapat banyak “pokok pedor” dan juga “pokok rumbia”, lalu mereka memancas
pelepah pedor dan juga rumbia, serta menanggalkan daun-daun tersebut daripada
pelepah satu persatu. Setibanya mereka di pondok lalu Tun Ibrahim menegur
perbuatan mereka, bahawa daun pedor atau pun daun rumbia itu tidak boleh
ditanggalkan daripada pelepah, sebaliknya daun-daun tersebut hendaklah di“lepeh” terlebih dulu, yakni sebelah
bahagian daun itu perlu dipatahkan seperti anyaman (dilepeh) menjadi separuh
pelepah sahaja. Oleh kerana baru itulah para pengikut Tun Ibrahim mendengar
perkataan “lepeh”, maka tempat
mereka singgah dan membuat petempatan itu lalu dinamakan Tanjung Lepeh, muara sungai yang menjadi terminal persinggahan itu
dinamakan Kuala Lepeh, dan sungai
tersebut juga dinamakan Sg. Lepeh.
Perkataan “lepeh” berubah menjadi “lipis” menurut Ahmad Kotot[2] disebabkan pelat lidah orang Inggeris seperti ejaan “Lipis” yang terdapat dalam Pelan Topografi (1929). Jika demikian halnya, maka Tanjung Lipis yang
ada sekarang sebenarnya mempunyai sejarah zaman silam yang penting, paling
tidak ia telah menjadi salah sebuah perkampungan Melayu yang terawal wujud di
Lembah Sungai Lipis.
Perkampungan
Tanjung Lipis dipercayai kurang disukai oleh Tun Ibrahim kerana tempat ini tidak
mempunyai khaznah alam yang bernilai tinggi selain kesuburan tanah, sumber-sumber
sungai, dan hasil-hasil hutan yang
begitu banyak, lalu beliau bergerak menyusur Sg. Lipis ke tempat yang kini
dikenali sebagai Kg. Budu (Daerah
Lipis). Pada waktu itu, Kg. Budu belum
bernama, dan kononnya amat kaya dengan khazanah alam, terutama “emas” yang memang menjadi sumber alam
yang paling berharga sejak zaman berzaman. Lalu Tun Ibrahim berhasrat untuk membuat
petempatan di kawasan Kg. Budu, tetapi seperti pengalamannnya yang lalu, beliau
terpaksa berhadapan dengan penghuni orang Asli yang menjadi penduduk asal di
situ, terutama Tok Batin Badu. Namun begitu, akhirnya atas kepandaian dan
kebijaksanaan Tun Ibrahim dalam ilmu mempertahankan diri, maka beliau berjaya
mengalahkan Tok Batin Badu.
Sewaktu Pekan Lipis dibuka oleh Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (1863),
beberapa tempat di kawasan Lipis seperti Selinsing (Ulu Jelai), Bukit Kota
(Bukit Betong), Yong Belik, Kg. Melaka (Kecau), Kg. Relong@Lembah Bama (Telang),
Padang Tengku, Lubuk Kulit (Telang), Penjom, Kg. Pagar, Kg. Lalang, Benta, Jerangsang,
Tersan (Sega), Budu, dan Tanjung Besar, Mela sudah dibuka oleh bangsawan-bangsawan
Melayu keturunan Melaka, Perak, Johor-Riau dan Pagarruyung (Minangkabau) sejak 1600M
lagi. Jika dibandingkan tempat-tempat ini, ada petempatan yang dibuka lebih
awal. Ulu Jelai dan Bukit Kota misalnya telah dibuka oleh nenek-moyang Seri
Maharaja Perba@Maharaja Perba sekitar tahun 1530M, manakala Kg. Pagar (Penjom)
telah dibuka oleh Bangsawan Perak bernama Tok Diong sekitar 1540M. Sehubungan
itu, daerah-daerah yang kini dikenali sebagai Raub, Lipis, Jerantut, Semantan,
dan Cameron Highlands terangkum dalam kawasan yang dikenali sebagai Ulu Pahang di bawah pemerintahan Seri Mahajara Perba@Maharaja Perba yang
berpusat di Jelai (Sg. Tanum/Bukit Kota). Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah (Raja
Pahang XII, 1592-1614) telah melantik Orang Besar Jelai itu sebagai “Wakil
Mutlak” baginda di sana. Pada abad
ke-19M, gelaran Seri Maharaja Perba kemudiannya berubah kepada gelaran Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai[3]
(OKIMPJ) sewaktu Bendahara Tun Ali memerintah Pahang, tetapi statusnya masih
bertaraf Orang Besar Empat Pahang seperti
dahukala jua, tiada ubahnya.
Sejak Pahang
berada di bawah Sistem Residen British
(1888-1957), dan pentadbiran negeri telah dibahagikan kepada daerah-daerah,
maka “Daerah Lipis” turut
dibangunkan mengikut perspektif kolonial dI bawah pimpinan 18 orang Pegawai Daerah (District Officers).[4]
Namun begitu, dalam tempoh tahun-tahun terawal (1888-1910) era pemerintahan
British di Pahang, pihak Kerajaan Kolonial British belum mempunyai Pegawai
Tadbir yang mencukupi. Beberapa daerah
yang kini dikenali sebagai Lipis, Raub, Bentong, dan Cameron Highlands, ketika
itu diklasifikasikan sebagai “Daerah Ulu
Pahang” di bawah seorang Pegawai Tadbir Kolonial. Kemudian, sistem pentadbiran menjadi lebih
kompleks apabila Kuala Lipis menjadi “Ibu
Negeri Pahang” (1889-1955) di mana dalam era tersebut beberapa struktur dan
peringkat bidang kuasa institusi pemerintahan dan pentadbiran : Sultan Pahang,
Residen British, Setiausaha Kerajaan Negeri, Hakim Mahkamah, Ketua-Ketua
Jabatan Negeri, Pegawai Daerah, Orang Besar Daerah (Orang Besar Berempat, Orang
Besar Berlapan & Orang Besar Enam Belas, dan Penghulu wujud dengan bidang
kuasa-masing, dan kadang-kadang berlaku pertindihan dan konflik kuasa di
kalangan institusi-institusi ini.
Pekan Kuala Lipis
mula dinaiktaraf sebagai Bandar Kuala
Lipis dalam tahun 1889. Ketika itu, deretan kedai yang mulanya
diperbuat daripada kayu, dan beratapkan atap rumbia atau atap pedor mula
diganti dengan bangunan batu, manakala jalan raya telah dibina di dalam bandar,
serta kawasan yang menempatkan jabatan-jabatan kerajaan British. Pembangunan Bandar Kuala Lipis memang menjadi keutamaan British ketika itu berbanding
dengan bandar-bandar lain di Pahang seperti Raub, Bentong, Rompin, Kuantan, dan
Pekan. Justeru, beberapa bangunan yang didirikan sewaktu Pentadbiran British
Pahang berpindah ke Kuala Lipis (1891) dari Pekan seperti Pejabat Pos (1910),
Clifford School (1913), Kediaman Bekas SUK Pahang (1920), Rumah Residen (1922),
Istana Hinggap (1926), Asrama Jururawat (1926), Stesyen Keretapi (1926),
Clifford Malay Hostel (1926), dan Rumah Pegawai Daerah (1929) memperlihatkan
rekabentuk bangunan hasil cita rasa Pegawai Kolonial British masa itu. Dari segi rekabentuk bangunan yang didirikan
di Bandar Kuala Lipis (Lama) itu pula, kajian menunjukkan kepelbagaian ciri
seperti : “art deco”, “utilitarian”, “sino-palladian”, dan “straits
eclectic”.[5]
Masjid
Jamek@Masjid Negeri Pahang (1888), Tokong Thean Hou (1898), dan Kuil Gurdhawara
(1918) meskipun dibina atas inisiatif komuniti agama masing-masing, tetapi ketiga-tiganya
turut menjadi bangunan bersejarah kerana dibina semasa era British, dan masih kekal
teguh hingga sekarang. Rumah orang Melayu Lipis bertiang, berlantai, dan
berdinding kayu serta beratap rumbia atau nipah agar sukar dipertahankan, dan
tidak dapat dilihat lagi sekarang kecuali dalam bentuk foto.
Dengan
kepesatan pembangunan Bandar Kuala Lipis sebagai Ibu Negeri Pahang (1898-1955),
maka Pekan Penjom dan Pekan Benta yang dahulunya pernah lebih
maju daripada Pekan Lipis (1863), mula mengalami kemerosotan. Namun begitu, “Penjom Gold-Mine” (Penjom) terus-menerus beroperasi sejak zaman
berzaman sehingga sekarang meskipun dari segi pemiliknya silih-berganti. Begitu
juga dengan “Selinsing Gold-Mine” (Ulu Jelai) tidak terkecuali beroperasi sejak
abad ke-15M lagi hingga sekarang.
Malah, aspek pendidikan
juga mula mendapat kesedaran masyarakat dengan pembinaan institusi-institusi pendidikan.[6] Atas inisiatif Orang-Orang Besar Melayu yang
ada ketika itu, beberapa buah Sekolah Melayu telah dibina secara gotong-royong
seperti Sekolah Melayu Tanjung Besar
(1898 – Pengasasnya Dato’ Setia Ismail bin Maulud), Sekolah Melayu Batu Yon (1914 – Pengasasnya Dato’ Maharaja Perba
Jelai (Engku) Wan Muhammad bin Dato’ (Engku) Wan Idris) dan Sekolah Melayu Gua (1917 – Penghulu Ngah). Kemudiannya, menyusul
Sekolah-Sekolah Melayu yang lain sehingga meletus Perang Dunia II (1942).
[1] Wawancara penulis dengan Hj. Mohd Salleh
Hussein, 70 Tahun - generasi ke-8 Waris
Tun Ibrahim pada 20 Disember, 2011 di Kg. Koi, Pos Damak, Jerantut Pahang Darul
Makmur.
[2] Ahmad Kotot : Lahir 10 Jun, 1894 di
Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Penulis
Melayu (Malaysia) pra Perang Dunia II (1942-1945). Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau
menggunakan beberapa nama pena seperti Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak
Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas
bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut.
Pendidikan : Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus Darjah
5 (Sekolah Melayu). Pernah menjadi guru
sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala
Lipis. Menerima Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka (1916-1918).
[3] Gelaran
Orang Besar Berempat di Ulu Pahang (Pahang) ini berubah dalam era pemerintahan
Bendahara Sewa Raja Tun Ali ibni Tun Koris (Bendahara Pahang 1806-1857), tetapi
dari segi statusnya sebagai “wakil mutlak” pemerintah, pembesar terkanan, dan
kawasan pemerintahannya tidak berubah, seperti dahulukala jua.
[4] Senarai
Nama Pegawai Daerah Lipis Era British (1888-1957) : (1)G.E. Cator
(1911-1912), (2) W.R. Boyd (1912-1913), (3) R.C. Cussen (913-1914), (4) S.W.
Jones (1914-1915), (5) W.M. Millington (1915-1919), (6) R.C. Cussen
(1919-1920), (7) Captain J. Huggins (1920-1921), (8) W.M. Millington
(1921-1922), (9) C.C. Brown (1922-1923), (10) Major S. Patterson (1923-1925),
(11) L.A. Forbes (1925-1927), (12) William LIneham (1927-1930), (13) Captain
H.N. Hunt (1930-1932), (14) H.J. Cockmen (1932-1936), (15) H.C. Rendle (1936-1949),
(16) En. Ismail bin Baba (1949-1952), (17) En. Mohd Taib Andak (1952-1954), dan
(18) En. Abd. Rahman bin Mohd Salleh (1954-1957).
[5] Majlis Daerah Lipis (2009), Rancangan Kawasan
Khas Bandar Kuala Lipis, Penerbit : Majlis Daerah Lipis-Jabatan Perancangan
Bandar & Desa Semenanjung Malaysia., hlm. 4.
[6] Sekolah-Sekolah
Kawasan Lipis 1888-1955 : 23 buah
Sekolah Vernakular Melayu, 4 buah Sekolah Vernakular Tamil, 6 buah Sekolah
Vernakular Cina, 1 buah Sekolah Rendah Inggeris, dan 1 buah Sekolah Menengah.
Sumber Rujukan
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hj. Mohd Salleh bin Hussein, 70 Tahun, Kg. Koi, Pos Damak, Jerantut Pahang (Generasi Ke-8 Waris Tun Ibrahim).
Majlis Daerah Lipis (2009), Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Lipis, Penerbit : Majlis Daerah Lipis-Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia.
Terima kasih warisan perba yang saya rasa merupakan satu catatan berunsur sejarah Hulu Pahang yang boleh dijadikan sandaran sejarah bagi generasi akan datang. Tidak banyak percangahan sumber cerita yang kami dapati dari orang tua kami di Tanjung Besar dan di harap pihak tuan dapat meneruskan penyelidikan tentang cerita-cerita seterusnya. Wallahualam.
ReplyDeleteAyah saya asal dari kg kerambit.nak cari susur galur nya .
ReplyDeleteperhhhh,,,,, amazing catatan ni,,,,,
ReplyDelete