Penulis :
Mohd Asrimi bin Abdullah
(Pensyarah IPG)
(Pensyarah IPG)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Kampung Merapoh
yang telah dibuka sekitar tahun 1929,[1]
merupakan “gate-way” ke negeri Kelantan melalui Jalan Lipis-Gua Musang.[2]
Ada beberapa versi bagaimana kampung ini mendapat nama. Versi pertama, seperti yang disebut oleh Haji
Aziz bin Aki Mohamad, bahawa nama “Merapoh” dihubungkan dengan kewujudan
sepohon pokok “rapoh” yang ditemui oleh sekumpulan orang Asli ketika
mereka mencari rezeki di hutan-belantara. Versi kedua, nama “Merapoh” berdasarkan kisah kehidupan penduduk
orang Asli yang terdedah kepada ancaman binatang buas.[3]
Ada di antara mereka yang telah menjadi mangsa harimau. Apabila ditanya bagaimana harimau membaham
mereka, lalu mereka menjawab, “rapoh sungguh binatang tu membaham kami”. Manakala, versi ketiga, asal nama “Merapoh”
ini dikatakan berdasarkan keadaan kawasan ini yang dipenuhi “repoh”
(kayu kecil).
Seperti juga tempat-tempat lain di
Ulu Pahang, sebelum Merapoh menjadi
sebuah perkampungan tradisional Melayu, kawasan tersebut telah didiami oleh
orang Asli. Sejak 11,000 tahun yang
lalu, sekumpulan manusia primitif dari daratan Asia yang disebut “orang Mesolitik”,
yakni orang Asli yang kini dikenali sebagai etnik “Negrito” dan “Senoi”
sudah pun mendiami Ulu Pahang.[4]
Namun begitu, penghijrahan orang Melayu terawal di Ulu Pahang hanya berlaku
kira-kira 2,000 tahun yang lalu, apabila “orang Melayu-Pesisir” atau disebut
juga “Melayu-Jati” (Deutro-Malay) mula membuat petempatan di tebing-tebing
Sungai Jelai, dan Sungai Lipis sehingga ke kemuncaknya, termasuk anak-anak
sungai,[5]dan
sebahagian mereka lagi telah membuat kediaman di daratan.
Penemuan awal kawasan repoh ini
dikatakan berpunca daripada kisah Dato’ Panglima Sam dari Kampung Dusun,
Kecau (Lipis) yang suka berburu di hutan sehingga melewati kawasan yang
akhirnya diberi nama “Merapoh”.
Kesesuaian kawasan dan kesuburan tanah ini menyebabkan beberapa orang
penduduk Kecau seperti Haji Mat Piah, Haji Mat Samad, Aki Long, Aki Amin dan
Aki Mohamad berminat untuk meneroka kawasan tersebut. Penghijrahan awal ini
kemudian disusuli pula oleh sekumpulan keluarga keturunan Minangkabau dari
Kampung Telang seperti Pawang Akub, Awang Bakri, Tok Mat Ayat, Tok Pawang De,
dan Tok Minangkabau. Keturunan orang-orang Minangkabau ini, kemungkinan besar
mereka merupakan titisan warisan kumpulan orang-orang Minangkabau (Sumatera)
yang memasuki Jelai (Ulu Pahang) serentak dengan zaman pembukaan Jelai oleh
nenek moyang Seri Maharaja Perba[6]
pada abad ke-16M, yakni pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (Sultan
Pahang VI, 1530-1545 - zuriat langsung Raja Melaka).[7]
Sungai Merapoh merupakan nadi kehidupan masyarakat Kampung Merapoh ketika itu. Sebahagian besar mereka yang tinggal di
tebing Sungai Merapoh bukan sahaja menggunakan sungai ini sebagai sumber
minuman dan mandi, tetapi juga sebagai sumber rezeki. Kegiatan ekonomi utama penduduk Merapoh ialah
“padi sawah”, di mana tanah di daratan Sungai Merapoh amat
subur, dan sesuai untuk penanaman “padi”. Untuk mendapatkan bekalan air bagi
penanaman padi, semua penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong membina “empangan” pada tahun 1932. Menurut Haji
Aziz Mohamad, empangan dan tali air ini kemudiannya diperbesarkan oleh kerajaan
British, dan dirasmikan pembukaannya oleh almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan
Pahang) dengan mengorbankan beberapa ekor kerbau (1937). Di samping itu, semasa pembukaan awal
kampung ini, sebuah “masjid” juga telah dapat dibina hasil titik peluh
penduduk kampung.
Kejayaan pembukaan kampung ini pada
umumnya bukan sahaja disebabkan pertalian keluarga dan ukhwah Islamiah yang
erat di kalangan penduduk tempatan, tetapi turut diperkuatkan dengan kewibawaan
kepimpinan Haji Zakaria bin Mat Piah,[8]
selaku Penghulu Merapoh yang terawal. Kini
(2009) kampung yang sudah berusia sekitar 80 tahun terus menikmati arus
kemajuan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Pahang.
1] Wawancara penulis dengan
Haji Aziz bin Aki Mohamad, 75 tahun pada 10 April 2007 di Kg. Merapuh
(Lipis). Aki Mohamad ialah salah satu
keluarga yang terawal membuat petempatan di Kampung Merapuh.
[2] Lokasi kampung ini kira-kira
98 km dari Bandar Lipis (Pahang) ke utara, dan lebih kurang 25 km dari Gua
Musang (Kelantan) menghala ke selatan.
[3] Wawancara penulis dengan Haji Zakaria bin Mat Ali, 66 tahun pada 10
April , 2007 di Kg. Merapoh (Lipis).
[4] Buyong Adil (1972), Sejarah
Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa., hlm. 6-7
[5] Ibid., hlm. 11
[6] Kemasukan orang Melayu terawal di Jelai akhir abad ke-16M
memerlukan satu kajian lanjutan oleh sejarahwan
[7] Linehan. W., (1973) A History of
Pahang, MBRAS : Kuala Lumpur
(reprinted)., hlm. 192
[8] Haji Zakaria bin Mat Piah –
Penghulu Merapuh I meninggal dunia dalam tahun 1936.
Sumber Rujukan :
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Linehan, W. (1973), A History of Pahang, MBRAS : Kuala Lumpur.
Wawancara penulis dengan Haji Aziz bin Aki Mohamad, 75 tahun, dan Haji Zakaria bin
Mat Ali, 66 tahun pada 10 April, 2007 di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.
Mat Ali, 66 tahun pada 10 April, 2007 di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.
Saya bangga d lahirkan sebagai anak kampung merapoh.
ReplyDeleteSalam. Jika anda ada cerita yang berkaitan dengan SEJARAH PAHANG - sila bincang dengan WARISAN PERBA.
ReplyDeleteSaya harap admin mempunyai sejarah perkembangan kampung merapoh dari segi infrastruktur.....bagi melengkapkan kerja khusus kami untuk pelajar tingkatan 6
ReplyDeleteHebat sebenarnya merapoh.. sy anak kelahiran kampung merapoh..
ReplyDeleteSiapa tahu tentang tok minang kabau. Adakah di kenali sebagai aki daud. Mohon pm sy 0129648995 jika ada pencerahan
ReplyDelete