Penulis :
Noorhayati Daud (hayati6768@gmail.com)
(Guru Kanan - SMK Seri Lipis)
(Guru Kanan - SMK Seri Lipis)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Pekan
Kuala Lipis
mula dikenali oleh masyarakat tempatan dan para pengunjung asing sebaik sahaja Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Panglima Perang Wan Pahang dilantik menjadi Orang Besar Kuala Lipis, dan diberi
autoriti memerintah Lembah Sungai Lipis. Gelaran Orang Besar Kuala Lipis ini
dianugerahkan oleh Bendahara Wan Ahmad
ibni al-Marhum Tun Ali (1863) sebaik sahaja baginda dilantik menjadi
Bendahara Pahang (1863) kerana mengenang jasa-jasa Orang Besar itu dalam
Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang. Dato’
Maharaja Seia Raja Haji Wan Daud lenih dikenali dengan
panggilan Orang Kaya Haji merupakan
salah seorang Panglima Perang Jelai yang amat perkasa, taat setia, dan berbuat
jasa yang begitu besar kepada Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali semasa
Perang Saudara.
Sebaik sahaja
Dato’ Maharaja setia Raja Haji Wan Daud diangkat menjadi Orang Besar Kuala Lipis,
beliau lalu membuat kediaman di Kuala Lipis bersama saudara-maranya yang terdekat,
dan mula meneroka kawasan Kuala Lipis yang ketika itu dipenuhi hutan-belantara.
Menurut satu versi oral tempatan, tidak semudah itu untuk membuka kawasan
hutan-belantara seperti Kuala Lipis ketika itu kerana perlu mematuhi "syarat-syarat pembukaan tanah” seperti yang diamalkan dalam masyarakat
primitif dan tradisional. Pada masa itu,
Kuala Lipis masih menjadi tempat tinggal orang Asli yang padat. Namun begitu, dengan kewibawaan Dato’ Maharaja
Setia Raja Haji Wan Daud, Kuala Lipis yang berkeadaan hutan-belantara telah
dapat diterokai, dan Batin orang Asli yang mengetuai masyarakat etnik Semai ketika
itu, juga dapat ditundukkan di bawah kepimpinan beliau.
Penerokaan Kuala Lipis sebagai sebuah
petempatan baru membawa kepada kemasukan saudara-mara terdekat Orang Besar
Lipis itu, dan juga orang-orang Melayu
yang mendiami perkampungan tradisional yang berhampiran seperti Budu, Benta,
Penjom, Mela, Kecau Tui, Lembah Bama, Ulu Teris, Gua, dan Padang Tengku, Bukit
Kota, Tanum, Bukit Betong, dan Ulu Jelai. Pembukaan terminal persinggahan para
pedagang dan peniaga di tebing Sungai Jelai (Bandar Kuala Lipis lama)
menjadikan tempat itu mula berkembang menjadi pusat jual-beli yang semakin sibuk.
Sebahagian daripada para pedagang dari Hilir Pahang selain mudik melalui Sungai
Lipis menuju Pekan Penjom dan Pekan Benta, mereka juga singgah di terminal
Pekan Kuala Lipis, dan berjual-beli di sana. Sebahagian para pedagang mula
mendirikan kedai-kedai yang diperbuat daripada kayu, dan atap rumbia atau nipah
atau atap pedor, manakala sebahagian lagi masih suka tinggal di dalam rumah
perahu (house-boat). Pada masa ini
juga, diagakkan, “Rumah Rakit” mula dibina oleh orang-orang Melayu dari Ulu
Jelai berhampiran terminal persinggahan ini. Namun begitu, Pekan Kuala Lipis yang
dibuka atas daya inisiatif Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud (1863), dari
segi statusnya masih tidak boleh menandingi Pekan Penjom yang terlebih awal dibuka. Malah, Pekan Kuala Lipis yang baru diasaskan
itu masih tidak dapat menandingi Pekan
Benta yang sudah menjadi terminal persinggahan perahu tongkang pedagang dari
Hilir Pahang.
Kemasukan
orang-orang Melayu ke Pekan Kuala Lipis memungkinkan sebahagian orang Asli
etnik Semai mula meninggalkan pekan tersebut kerana tidak sesuai dengan tempat
itu yang mula menjadi perkampungan masyarakat Melayu. Namun begitu, versi oral
tempatan juga menyebut bahawa sebahagian lagi terus menyesuaikan khidupan
mereka di sana bersama masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila mereka dengan
rela hati memeluk agama Islam di bawah pentadbiran Orang Besar Kuala Lipis itu,
manakala segelintir orang Asli pula ada yang berkahwin dengan orang Melayu. Kehadiran
Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud sebagai Orang Besar Kuala Lipis tidak
diragui mengubah secara perlahan-lahan wajah Pekan Kuala Lipis. Versi oral
tempatan meriwayatkan juga bahawa Orang Besar ini tidak semata-mata bergantung
kepada hasil Lombong Emas di Selinsing (Ulu Jelai) dan pungutan cukai di Kuala
Lipis, tetapi turut mengusahakan sawah padi yang luas bertempat di satu kawasan
pamah (kini padang Sekolah Menengah Clifford) berhampiran muara Sungai Lipis,
dan dusun buah-buahan (kini di sekitar Asrama Jururawat Kuala Lipis)
berhampiran kediamannya menganjur ke tapak Panggung Wayang Lipis (sekarang –
deretan kompleks kedai 3 tingkat) hingga ke sempadan terminal persinggahan di
tebing Sungai Jelai (Bandar Lama Kuala Lipis).[1]
Dilihat dalam konteks elit
tradisional Ulu Pahang, semasa awal pemerintahan Bendahara Wan Ahmad ibni
Tun Ali (1863M),
di Kawasan Lipis mempunyai beberapa Orang Besar, iaitu Dato’
(Engku) Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan Muhammad (OKIMPJ Ke-5) di Bukit Betong, Dato’ Setia Muda Jelai Wan Muhammad
bin Wan Idris di Bukit Kota, Dato’ Maharaja
Setia Raja Haji Wan Daud
bin Panglima Perang Wan Pahang di Pekan Kuala Lipis,
dan Dato' Setia Wangsa To’ Teh@Wan
Teh bin Deris@Wan Deris (OKL Ke-12) di Penjom. Keempat-empat Orang Besar ini sebenarnya mempunyai
pertalian kekeluargaan yang sangat dekat.[2]
[1] Tanah
Milik Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud@ Orang Kaya Haji : Sebahagian
kawasan tanah di Pekan Lipis (1863-1889) asalnya dimiliki oleh Orang Besar Kuala
Lipis ini.
[2] Lihat Naskah Salasilah Orang Lipis tulisan Mohammad
bin Imam Abudllah Kilau. Naskah ini merupakan lakaran tulisan tangan (rumi)
yang telah diusahakan oleh En. Mohammad bin Imam Abdullah Kilau berdasarkan
cerita lisan ayahandanya (Imam Abdullah Kilau), dan datuknya Tok Sintam bin
Imam Janai bin Tok Dahalek@Wan Hussein.
Naskah ini boleh dirujuk kepada En. Yusuf bin Mohammad, 59 tahun, pesara
Pegawai FELDA di alamat No. 88, Kg. Kuala Atok, 27660 Raub, Pahang Darul
Makmur.
Sumber Rujukan :
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Abdullah Kilau, Salasilah Orang Lipis, tulisan tangan (unpublished)
Noorhayati Daud, “Sejarah Kemunculan Orang Kaya Haji”, dlm. Jurnal WARISAN PAHANG, Bil. 1/2010 Mac, 2010.
Admin tumpang sekejap yer...
ReplyDeleteMana -mana individu yang berminat melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Temerloh, Pahang dalam program 'Furniture Design' boleh hubungi sms/wassup di 0148004302 -mohd, Yuran semester yang murah dan dapat elaun(bukan pinjaman) lagi
elaun : rm1200/sem
yuran : rm200/sem
https://www.facebook.com/PerabotKKtemerloh