Saturday, 3 May 2014

(12) MUKIM PELANGAI SEMASA PENTADBIRAN JEPUN (1942-1945)



Penulis :
Bahasan Hj. Abd Rahman (rozitakrysal@gmail.com)
Penolong Setiausaha
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP)

Tentera Jepun telah sampai ke Simpang Pelangai (Bentong, Pahang) pada hari Jumaat jam 10.00 pagi Januari tahun 1942 atau tahun @2602 (Tahun Jepun).[1] Di Simpang Pelangai pihak Jepun telah mendirikan Balai Polis Jepun dengan menumpang sebuah kedai Cina bernama Tew Leong Kim.[2] Ketika itu, Simpang Pelangai lebih dikenali oleh pihak Jepun sebagai “Kebun Ubi Kayu Leong Kim Simpang Pelangai”.[3] Balai Polis Jepun ini diketuai oleh Tuan Yoshida, dan dibantu oleh pembantunya Hashigawa, dan 3 orang anggota polis Melayu, dan 2 orang Cina.[4] Pada zaman pemerintahan British, Balai Polis dikenali sebagai “Rumah Pasung Simpang Pelangai”, tetapi di zaman Jepun, ia dikenali sebagai, “Toko Betsu Ketsatsutai Manchis” (Bahasa Jepun).[5] Ketika Tentera Jepun tiba di Simpang Pelangai, penduduk kampung di bawah Mukim Pelangai seperti Kg. Simpang Pelangai, Kg. Bukit Gajah, Kg. Jawi-Jawi, dan Kg. Baris, dan Kg. Melan berada dalam keadaan selamat, dan tidak dipengapakan oleh Tentera Jepun. Keadaan ini berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim bin Abdullah dan Tok Empat Abu Samah bin Lisut yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Tentera Jepun. 

Sebaik sahaja Tentera Jepun menduduki Mukim Pelangai, mereka telah membina “kubu-kubu pertahanan” kerana khuatir kalau-kalau pihak British menyerang mereka semula.  Kubu-kubu tersebut telah dibina di Mancis, di Jawi-Jawi, di Melan, dan di Simpang Pelangai. Bagi mengawal pertahanan di kubu-kubu ini, pihak Jepun telah menubuhkan “Pasukan Home-Guard” yang disebut “Jikeidan” (Bahasa Jepun) dengan bantuan “Kempitai” yang hanya bersenjatakan “kayu cota” untuk membantu Polis Jepun dan Tentera Jepun. Di Simpang Pelangai, Ketua Jikeidan yang disebut, “Bodenco” (Bahasa Jepun) disandang oleh allahyarham Mat Akil bin Teh.[6]

Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu telah melantik seorang Pegawai Tentera Jepun bernama Wataki sebagai “Ketua Mukim Pelangai” dengan beberapa orang anggota Tentera Jepun berpangkat rendah yang dikenali sebagai “Kei Bo” (Sarjan), “Kei Bo Ho” (kopral), “Junsai Bo Cho” (Lans Kopral), dan “Junsai” (mata-mata).[7] Tugas utama Pegawai Jepun ini adalah untuk menjaga keamanan di kampung-kampung, dan menangkap orang-orang yang dianggap pesalah di Mukim Pelangai, dan kemudiannya mereka akan dihantar ke Bentong. Semua anggota Tentera Jepun berpangkat Junsai hingga Kei Bo terdiri daripada orang Melayu.[8]

Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Tanah Melayu, Tentera Jepun menggunakan balai polis, sekolah, masjid dan rumah penghulu sebagai pusat gerakan tentera. Ketika itu, orang-orang kampung enggan bersembahyang di masjid yang diduduki oleh Tentera Jepun.  Mereka juga takut kalau-kalau mereka disuruh menjadi anggota Tentera Jepun atau mencari bekalan makanan untuk mereka.[9] Bagi tujuan mengembangkan kebudayaan Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Jepun telah dibuka dengan menitikberatkan Bahasa Jepun (Nippon Go) dan Tulisan Jepun yang dikenali sebagai “Katagana” dan “Kanji”.[10] Di Mukim Pelangai pada masa itu, Bahasa Jepun diajar oleh seorang guru bangsa Jepun bernama Kamakara, manakala Bahasa Melayu oleh seorang guru berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Cikgu Abd Manaf. Sekolah Jepun di Mukim Pelangai kurang mendapat sambutan, cuma ada kira-kira 25 hingga 30 orang sahaja. Selain itru, Pentadbiran Tentera Jepun (PTJ) turut mengabaikan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk Mukim Pelangai. Hospital Bentong yang terus beroperasi ketika itu agak jauh dari Mukim Pelangai kira-kira 42 batu. Oleh itu, masyarakat di Mukim Pelangai masih tertumpu kepada perubatan tradisional untuk mengubati sebarang penyakit.

Beberapa orang belia Mukim Pelangai ketika itu telah dipaksa oleh Jepun menjadi “buruh keretapi maut”[11] di Burma, tetapi kemudiannya mereka telah berjaya melarikan diri, dan kembali ke Mukim Pelangai meskipun menempuh pelbagai rintangan yang sukar dan penuh berbahaya. Sebahagian kecil belia pula ada yang dipaksa menjadi Tentera Jepun (Bo Tai & Heiho) atau Sukarelawan Jepun (Giyu Gun & Gi Yu Tai). Di Mukim Pelangai, orang Melayu boleh dikatakan mendapat layanan yang baik daripada Tentera Jepun berbanding orang Cina. Namun begitu, setiap penduduk kampung tanpa mengira bangsa perlu “menundukkan kepala” atau “Keirei” (Bahasa Jepun) sebagai tanda hormat kepada Pegawai Jepun.  Jika enggan berbuat demikian, orang yang berkenaan akan dikenakan pelbagai seksaan seperti dipukul, ditampar, atau didenda memanjat pokok kelapa, dan sebagainya.

Pada tahap awal kehadiran Tentera Jepun, penduduk di Mukim Pelangai tidak mengalami banyak kesulitan sumber makanan kerana padi yang diusahakan sebelum itu masih banyak, tetapi lama kelamaan bekalan padi menjadi semakin berkurangan kerana Tentera Jepun telah mengambilnya secara paksa. Jika sesiapa yang enggan memberikan padi atau sumber makanan lain yang diminta, mereka akan dikasari. Ketika itulah, ramai penduduk Melayu di Pelangai yang menerima penderaan dan penyeksaan. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan yang berkurangan. Pentadbiran Tentera Jepun mengerahkan semua penduduk menanam padi di “Paya Pelangai” seluas kira-kira 70 ekar di bawah pengawasan Tentera Jepun.  Tanaman padi ini semuanya untuk menampung keperluan bekalan makanan Tentera Jepun. 

            Di zaman Pentadbiran Tentera Jepun, makanan harian penduduk dicatu,[12] dan bekalan makanan seperti beras, rokok, gula dan minyak kelapa dibekalkan melalui “kad kuasa” yang dikeluarkan oleh Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh[13]. Di Mukim Pelangai, sungguhpun Tentera Jepun bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka dengan merampas harta dan barang-barang seperti padi, buah kelapa, serta membunuh orang-orang Cina, dan lain-lain, tetapi setakat yang dilaporkan tiada berlaku perbuatan kejam seperi memperkosa kaum wanita, membunuh, melambung anak-anak kecil, dan ditadahkan dengan benet senapang, serta perbuatan kejam yang lain. Perkara ini tidak berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim, Tok Empat Abu Samah, dan Ketua Bodencho Jepun Mat Akil bin Teh yang pandai mengambil hati Ketua Tentera Jepun di Mukim Pelangai. Oleh itu, tiadalah berlaku pembunuhan terhadap orang Melayu di Mukim Pelangai oleh Tentera Jepun kecuali beberapa orang Cina ditembak kerana disyaki bersuhabat dengan komunis.

            Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Pahang, dan Tanah Melayu amnya adalah zaman yang penuh penderitaan dan pahit-gretir yang sukar dibayangkan. Makanan dan pakaian amat sukar diperolehi ketika itu. Rakyat-jelata terpaksa bergantung hidup dengan catuan makanan seperti ubi kayu, ubi gadung, pisang, dan sagu menggantikan beras yang sukar diperolehi.[14] Jika berlaku kematian, tekpaksa jenazah dikapankan dengan tikar mengkuang kerana sukar untuk mendapatkan kain kapan.[15] Meskipun begitu, secara umum, penududuk Mukim Pelangai  terlepas dari siksaan Tentera Jepun, tidak  seperti yang berlaku di Lipis, dan tempat-tempat lain di Pahang.             

            Sewaktu Tentera Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat, Tentera Jepun di Mukim Pelangai telah dijadikan “tawanan perang” kepada Tentera British, dan semua mereka ditempatkan di Kg. Jawi-Jawi.  Pada masa itu, Tentera Jepun yang ditawan telah dikerah menebas hutan tebal untuk membuat jalan ke Paya Pelangai.[16]  

[1] Wawancara penulis dengan Sarjan Ibrahim bin Ali (No.32132), Ketua Balai Polis Mancis (Bentong) pada 29 Januari, 1987.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Wawancara penulis dengan Hj. Abd Rahman bin Lisut, 63 tahun, pesara  SC (Special Contable) 1945-1960 di Kg. Bukit Gajah, Pelangai (Bentong, Pahang) pada 29 Januari 1987.
[7]  Ibid.
[8]  Ibid.
[9]  Ibid.
[10] Wawancara penulis dengan En. Said Awang bin Awang Yaki, 73 tahun, petani beralamat Kg. Bukit Gajah, Pelangai (Bentong, Pahang), dan Hj. Bahaman Ibrahim, 82 tahun, Bekas Polis Jepun (1942-1945) & Bekas Ketua Kampung Pelangai (1945) beralamat Kg. Baris, Pelangai (Bentong, Pahang) pada 31 Januari, 1987. Mereka pernah belajar Bahasa Jepun sewaktu era pmerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945).
[11]  Buruh Keretapi Maut di Burma (Dari Pelangai) :   Abd Samad bin Awang Yaki, Mohd Lasim bin Abd Ghani, Sudin bin Abas, Lazim bin Awang, Yaakub bin Awang Derus, Mat Ali bin Gendut, dan Harun bin Samah,
[12]  Hj. Abd Rahman bin Lisut., op. cit.
[13] Wawancara penulis dengan Puan Mandak bt. Jaafar, 73 tahun (isteri Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh), dan Puan Jaepah Mat Akil, 53 tahun, anak allahyarham Mat Akil bin Teh (Ketua Bodencho Jepun di Pelangai) pada 31 Januari, 1987.
[14]  Wawancara penulis dengan Hj. Bahaman bin Ibrahim, Hj. Abd Rahman Lisut, En. Said Awang Yaki, dan Puan Jaepah Mat Akil pada 1 Januari, 1987.
[15]   Ibid.
[16]  Hingga sekarang, jalan ini dikenali oleh penduduk Pelangai sebagai , “Jalan Jepun” yang menghubungkan Pelangai dan FELDA Chemoimoi.

Sumber Rujukan :
Wawancara penulis dengan Sarjan Ibrahim bin Ali (No.32132), Ketua Balai Polis Mancis (Bentong) pada 29 Januari, 1987
Wawancara penulis dengan Hj. Abd Rahman bin Lisut, 63 tahun, pesara  SC (Special Contable) 1945-1960 di Kg. Bukit Gajah, Pelangai (Bentong, Pahang) pada 29 Januari 1987.
Wawancara penulis dengan En. Said Awang bin Awang Yaki, 73 tahun, petani beralamat Kg. Bukit Gajah, Pelangai (Bentong, Pahang), dan Hj. Bahaman Ibrahim, 82 tahun, Bekas Polis Jepun (1942-1945) & Bekas Ketua Kampung Pelangai (1945) beralamat Kg. Baris, Pelangai (Bentong, Pahang) pada 31 Januari, 1987.

Wawancara penulis dengan Puan Mandak bt. Jaafar, 73 tahun (isteri Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh), dan Puan Jaepah Mat Akil, 53 tahun, anak allahyarham Mat Akil bin Teh (Ketua Bodencho Jepun di Pelangai) pada 31 Januari, 1987.

3 comments:

  1. disebalik kekejam Jepun memberi impak yang positif kepada semangat kemerdekaan orang Melayu diPahang,orang Pahang membuat perbagai alternatif untuk menjadi kehidupan seharian dan data-data yang saya kaji British lebih ramai membunuh orang Melayu,Cina dan India dimasa drarurat berbanding dibunuh oleh Jepun.Sila lihat kajian saya "Pendudukan Jepun DiPahang: Satu Dimensi Baru ".

    ReplyDelete
  2. diharap dapat dibetul kan...sekiranya Penghulu Kassim yg dimaksudkan adalah Penghulu Mukim Pelangai yang pertama..maka nama arwah atok saya yang sebenar adalah Kassim Bin Othman dan bukan Bin Abdullah. Abdullah adalah anak beliau yg juga merupakan penghulu mukin pelangai selepas zaman beliau

    ReplyDelete
  3. Salam. Terima kasih kepada komentar anda mengenai Penghulu Kassim. Sila hubungi EN BAHASAN HJ AB RAHMAN - penulis artikel ini di HP : 014-523 9726. Tq

    ReplyDelete