Thursday 1 May 2014

(10) SEJARAH DAN PERKEMBANGAN 100 TAHUN (1898-1998) SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH LIPIS


Penulis :
Rokeman Abdul Jalil (rbaj6644@yahoo.com)
(Pegawai - Pejabat Pelajaran Daerah Lipis - Pahang)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

DAERAH LIPIS dengan keluasan 527,861 hektar bukan sahaja daerah ketiga terbesar di Pahang selepas Jerantut dan Rompin, tetapi juga kaya dengan landskap alam semula jadi.  Bandar Kuala Lipis yang terletak di pertemuan Sungai Jelai dengan Sungai Lipis pernah menjadi ibu negeri Pahang (1898-1955) sewaktu era pemerintahan British di Pahang (1888-1957). Meskipun begitu, dalam konteks pembangunan pendidikan di Daerah Lipis sebelum tahun 1900M agak lembab, tetapi sesudah itu barulah  ia memperlihatkan perkembangan seperti yang dapat diperhatikan dalam Laporan Cecil Wray (Residen British Pahang, 1901M), “There is still difficulty in introducing the Malays to send their children to school notwithstanding the interest taken in the matter by the District Officers”.  Fenomena ini berlaku tidak diragui disebabkan perhubungan yang amat sukar di seluruh Pahang.

Bagi tujuan menggalakkan pendidikan formal, Kerajaan British membenarkan penduduk kampung mendirikan bangunan sekolah di kampung masing-masing dengan “rekabentuk bangunan sekolah” yang sesuai. Sekolah-sekolah ini dikenali sebagai “trial school” yang boleh member pendidikan kepada murid-murid selama tiga tahun. Jika didapati ada sambutan, dan sesuai, bangunan ini nanti akan diganti dengan bangunan tetap oleh Kerajaan British. Sejak bermulanya  galakan itu, bilangan sekolah semakin memperlihatkan pertambahan di samping meningkatnya kesedaran nasionalisme, terutama masyarakat Melayu yang ketika itu kebanyakan tinggal di kawasan pedalaman, dan pinggir-pinggir sungai. Kemudian, sekolah-sekolah semakin banyak didirikan dengan pengisyitiharan Enakmen 1908 (Pelajaran) yang mewajibkan kanak-kanak yang tinggal sekitar 1.5 hingga 2 batu dari sekolah bersekolah meskipun dari segi realiti, ramai murid-murid tidak hadir ke sekolah. 

Sekolah Melayu Tanjung Besar (1898) dan Sekolah Melayu Kg. Budu (1899) merupakan dua buah sekolah yang paling awal didirikan di Daerah Lipis. Sekolah Melayu Tanjung Besar yang dibuka pada 10 Julai, 1898 di  Bukit Bayam adalah atas inisiatif Tok Setia Ismail bin Maulud, Penghulu Tanjung Besar. Bangunan asal telah dibuat oleh orang-orang kampung dengan keluasan kira-kira 80 kaki panjang dan 40 kaki lebar, beratapkan bertam, berdindingkan buluh beranyam, dan lantainya pula  daripada papan bertarah dengan jumlah murid mulanya seramai 32 orang yang berusia antara 16-20 tahun.  Mata pelajaran utama diajar ialah Jawi dan Ilmu Hisab.  Alat tulis yang digunakan oleh murid-murid ialah papan batu dan kalam batu.  Guru pertama dan tinggal di sekolah ini ialah Cikgu Ahmad bin Abd Kadir@Ahmad Kidal yang berasal dari Singapura.

Selepas tahun 1900, banyak sekolah telah dibuka, terutama Sekolah Melayu. Sekolah Melayu Mela (1909) misalnya, dibuka hasil usaha gotong-royong penduduk di Kuala Cheka, beratapkan nipah, berdindingkan kulit kayu serta berlantaikan buluh.  Guru Besar pertama bagi sekolah ini ialah Hj. Idris bin Abu Bakar (1909~1930).  Semasa pemerintahan Jepun, tapak sekolah telah berpindah ke suatu kawasan rumah keretapi yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan dengan nama “Rumah Kamin Torry”. Pada ketika itu pelajar sekolah terdiri daripada murid lelaki sahaja. Kaum wanita dan kanak-kanak perempuan tidak digalakkan bersekolah. Atas sebab keselamatan dan takutkan kekejaman Tentera Jepun, anak-anak perempuan dalam usia yang terlalu muda telah dikahwinkan dengan pasangan pilihan keluarga. Zaman kanak-kanak mereka sepatutnya dihabiskan di bangku sekolah terpaksa dikorbankan.

Mulai tahun 1910, sekolah-sekolah di Negeri Pahang diletakkan di bawah Pegawai Daerah yang dibantu oleh seorang Guru Pelawat, termasuk Kuala Lipis.  Pada tahun 1913, H.C.H Lane telah dilantik sebagai Pemangku Inspector of School Pahang untuk mengawasi sistem pendidikan, tetapi kerap kali berlaku pertukaran pegawai, dan kadang-kala tidak berkesinambungan. Kerajaan British telah memberi keutamaan kepada pendidikan Inggeris. Government English School dibuka pada tahun 1913 di Bandar Kuala Lipis. Bangunan asal sekolah ini merupakan sebuah rumah kayu beratap nipah yang terletak di Jalan Besar Bandar Kuala Lipis dengan V.N. Bartlett berbangsa Ceylon sebagai Pengasas Sekolah.  Pada tahun 1919, sebuah bangunan telah dibina di tengah padang sekolah, tetapi telah dimusnahkan banjir besar pada 1926.  Pada tahun 1928 sebuah bangunan batu dua tingkat telah dibina dan kekal hingga sekarang. Clifford School menjadi sekolah aliran Inggeris yang terpenting di Pahang. Selepas pendudukan Jepun (1945) sehingga menjelang kemerdekaan Tanah Melayu (1957), sebanyak 9 buah sekolah Melayu lagi dibuka. Sekolah Melayu Kuala Medang misalnya, dibuka selepas Perang Dunia kedua (1945).  Sekolah yang berkeluasan 2.509 hektar (6.2 ekar) ini dibina oleh masyarakat setempat secara gotong-royong yang pada mulanya hanya mempunyai seorang guru dengan 60 orang murid.  

Pendidikan Tamil dan Cina secara formal agak lewat dibangunkan berbanding pendidikan Melayu di Daerah Lipis. Kebanyakan Sekolah Vernakular Tamil didirikan di estet-estet sebelum merdeka.  Beberapa buah Sekolah Tamil (ST) telah dibuka, iaitu : ST Ladang Selborne (1940), ST Bandar Lipis (1942), ST Ladang Benta (1947), dan ST Ladang Budu (1947). ST Tamil yang dibina ini untuk memberi pendidikan kepada murid-murid berbangsa India. Penubuhan Sekolah Vernakular Cina lebih lewat didirikan berbanding Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris mahupun Sekolah Tamil.  Sekolah Cina (SC)yang paling awal ialah SC Padang Tengku (1950).  Dari tahun 1950-1955 lima buah lagi Sekolah Cina dibuka dengan yang terakhir ialah SC Chung Hwa.

Pembangunan pendidikan di Daerah Lipis juga telah diperluas ke kawasan penempatan Orang Asli dan juga FELDA.  Sekolah Orang Asli juga dibuka bagi keperluan komuniti orang Asli di perkampungan tradisional orang Asli, iaitu Pos Kuala Koyan (1960), Pos Titom (1965), Pos Lanai (1970), Pos Betau (1979), Pos Lenjang (1995), dan Pos Senderut (1995).  Pembukaan Tanah Rancangan di bawah FELDA di Daeah Lipis turut membawa kepada pembukaan beberapa buah sekolah baru seperti SK Sg. Koyan (1972), SMK Sg. Koyan (1976), SK Kechau 1 (1987), dan SK LKTP Chegar Perah (1990).   

            Lewat abad ke-21 ini, Daerah Lipis telah mempunyai 54 buah sekolah rendah dan 14 buah sekolah menengah yang diurus tadbir oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Di peringkat sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terus kekal memberi sumbangan kepada komuniti masing-masing. Namun, apa yang cukup menarik bahawa kini terdapat anak-anak bumiputera yang bersekolah di SJKC dan SJKT meskipun dari segi jumlahnya masih terlalu kecil. Di peringkat sekolah menengah pula, pelbagai aliran diwujudkan seperti sains, sastera, peragangan, teknik dan vokasional bagi menyediakan pelbagai gunatenaga yang diperlukan oleh negara kita, Malaysia.

Sehingga ke tarikh ini, 5 buah sekolah di Daerah Lipis telah mencapai usia 100 TAHUN dari tarikh penubuhannya : 

(1) SK TANJUNG BESAR (1898)
(2) SK BUDU (1899)
(3) SK MELA (1909)
(4) SK CLIFFORD (1913)
(5) SMK CLIFFORD (1913)

Sehingga ke tarikh ini juga, 2 buah sekolah di Daerah Lipis menghampiri usia 100 Tahun dari tarikh penubuhannya :

(1) SK BATU YON (1914)
(2) SK GUA (1916)

Kelangsungan sekolah-sekolah ini sehingga hari ini tentunya menempa pelbagai warna-warni sejarah, terutama dalam rangka melaksanakan misi pendidikan merentasi   zaman.

TAHUN PENUBUHAN SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH LIPIS

01.   SK TANJUNG BESAR (1898) .............................. 115 TH

02.   SK BUDU (1899) ..................................................... 114 TH
03.   SK MELA (1909)  ..................................................... 104 TH
04.   SK CLIFFORD (1913) ............................................. 100 TH
05.   SMK CLIFFORD (1913) .........................................  100 TH
06.   SK BATU YON (1914) ............................................    99 TH
07.   SK GUA (1917) ........................................................    96 TH
08.   SK CHAT (1924) ......................................................   89 TH
09.   SK KEMAHANG (1925) ..........................................   88 TH
10.   SK BENTA (1928) ....................................................   85 TH
11.   SK PENJOM (1930) .................................................   83 TH
12.   SK JERANSANG (1930) .........................................   83 TH
13.   SK KG KELEDEK (1935) ......................................    78 TH 
14.   SK KUALA TELANG (1936) ...................................   77 TH
15.   SK RELONG (1938) .................................................   75 TH
16.   SK WAN IBRAHIM (1939).......................................    74 TH
         Murid di sekolah ini asalnya dari SK BATU KURAP (PEREMPUAN) yang ditutup 
         (1938).  SK BATU KURAP pernah menjadi tempat menaja PERSATUAN MELAYU
         PAHANG (1938).....yang kemudiannya dibubar, dan dinamakan UMNO NEGERI
         PAHANG.
17.   SRJK (T) LADANG SELBOURNE (1940) ............  73 TH
18.   SJK (T) KUALA LIPIS (1942) .................................   71 TH
19.   SK KUALA KENONG (1943) ..................................  70 TH
20.   SK TANJUNG GAHAI (1945) .................................   68 TH
21.   SK KUALA MEDANG (1945) .................................   68 TH
22.   SK KUALA LANAR (1946) .....................................   67 TH
23.   SJK (T) LADANG BUDU (1947) ............................   66 TH
24.   SJK (T) LADANG BENTA (1947) ..........................   66 TH
25.   SK BERCHANG (1948) ...........................................   65 TH
26.   SK LUBOK KULIT (1948) .......................................   65 TH
27.   SK JERAM LANDAK (1950) ..................................   63 TH
28.   SRJK (C) PADANG TENGKU (1950) ...................   63 TH
29.   SRJK (C) PENJOM (1951) .....................................   62 TH
30.   SK LIMAU PURUT (1952) ......................................   61 TH 
31.   SRJK (C) JERKOH (1952) .....................................   61 TH
32.   SRJK (C) BENTA (1952) ........................................   61 TH
33.   SK AUR GADING (1954) ........................................   59 TH
34.   SRJK (C) MELA (1955) ..........................................   58 TH
35.   SRJK (C) CHUNG HWA (1955) ............................   58 TH
36.   SK PADANG TENGKU (1958) ..............................   55 TH
37.   SK KUALA KOYAN - JHEOA (1960) ...................   53 TH
38.   SMK CHUNG HWA (1961) ....................................    52 TH
39.   SK JERAM BUNGOR (1962) ................................    51 TH
40.   SMK SETIA WANGSA (1962) ...............................    51 TH
41.   SK MERAPOH (1963) ............................................    50 TH
42.   SMK ORANG KAYA HAJI (1964) .........................    49 TH
43.   SK TITOM - JHEOA (1965) ...................................     48 TH
44.   SMK PADANG TENGKU (1965) .........................      48 TH
45.   SMK PANGLIMA GARANG ABDUL SAMAD (1965) ......... 48 TH
46.   SK KERAMBIT (1967) ............................................    46 TH
47.   SMA AL-ITTIHADIAH (1967) .................................    46 TH
48.   SK LANAI - JHEOA (1970) ....................................    43 TH
49.   SK PAGAR SASAK (1972) ...................................     41 TH
50.   SK (FELDA) SG KOYAN (1972) ..........................     41 TH 
51.   SK CHEGAR PERAH (1973) ...............................     40 TH
52.   SMK (FELDA) SG KOYAN (1976) ......................      37 TH
53.   SK RPS BETAU - JHEOA (1979) .......................      34 TH
54.   SK KECHOR TUI (1980) ......................................      33 TH
55.   SMK BENTA (1983) ..............................................      30 TH
56.   SMT SULTAN HAJI AHMAD SHAH (1986) ......      27 TH
57.   SK (FELDA) KECHAU TUI (1987) .....................      26 TH
58.   SK (FELDA) CHEGAR PERAH (1990) .............      23 TH
59.   SK BATU 13 (1991) ..............................................      22 TH
60.   SK LENJANG - JHEOA (1995) ..........................      18 TH
61.   SK SENDERUT - JHEOA (1995) ......................       18 TH
62.   SK BATU 9 (1995) ...............................................       18 TH
63.   SMK MERAPOH (1995) ......................................       18 TH
64.   SK TEMPOYANG (2001) ....................................       12 TH
65.   SMK SERI LIPIS (2001) ......................................       12 TH
66.   SMK KERAMBIT (2001) .....................................       12 TH
67.   SMK TELUK GUNUNG (2002) .........................        11 TH
68.   SMK KUALA LANAR (2004) .............................        09 TH
    
Sumber Rujukan
Abu Tahir Lela, Dr., “Perkembangan Pendidikan di Negeri Pahang Darul Makmur”, dlm. Zainuddin Jumaat, et al. (2001), Pahang Meniti Zaman, Kuantan : Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang.
Senarai Daftar Sekolah-Sekolah Pahang (1898-2004)
Laporan Tahunan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, Pahang DM (1968-2012)

1 comment: