Monday, 5 May 2014

(14) PENGALAMAN SUKA-DUKA SEWAKTU BERKHIDMAT DI REPUBLIK CONGO (ZAIRE) 13 SEPT, 1960-13 JULAI, 1961


Penulis :
Jamin Ngah., PPN., PJK. 
(Bekas Anggota 4RAMD – Gurkha Malaya Ke Congo & Aktivis Koperasi)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Sebaik sahaja Negara Congo[1] diisyitiharkan merdeka oleh Kerajaan Belgium pada 30 Jun, 1960, tiba-tiba meletus krisis politik dalaman Congo[2] yang begitu meruncing, dan membawa kepada campurtangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).[3] Negara kita merupakan negara yang ke-16 menghantar pasukan tentera ke Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo.  Pasukan Khas yang pertama dihantar ke Congo ialah Batalion Ke-4 Regimen Askar Melayu Diraja di bawah Pegawai Pemerintahnya,  Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed.  Nama Misi : ialah Kumpulan Bantuan Peralihan PBB di Congo. Dalam misi ini, Batalion 4RAMD berperanan untuk menegakkan kestabilan politik dan membantu regim baru kerajaan yang dilantik, mempertahankan kedaulatan dan kebebasan politik, dan mengelakkan Perang Saudara.

YTM Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Tanah Melayu ketika itu telah berpesan kepada perajurit kita,

“Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata. Pemergian tuan-tuan ke Republik Congo kerana hendak mengawal keamanan dan keselamatan negara yang baru merdeka itu, dan bukanlah hendak bunuh membunuh. Tidaklah syak atau bimbang bahawa tentera kita memang layak menjalankan kerja-kerja dan kewajipan mereka dengan sempurna. Oleh itu, tuan-tuan akan berangkat dengan membawa bersama-sama harapan dan amanah yang besar dari rakyat dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, dan juga rakyat seluruh dunia yang dicintakan keamanan”. 

Batalion ini telah bertugas selama setahun di sana dan kembali ke tanahair pada 18 Julai, 1961.  Pasukan ini telah ditugaskan di beberapa kawasan, iaitu Markas Taktikal di Bakavu, satu kompeni di Kindu, satu kompeni di Goma, dan satu kompeni lagi di Albertville. Berdasarkan komitmen yang dipamerkan oleh pasukan ini, maka satu kompeni telah diberi kepercayaan untuk menghancurkan pemberontak-pemberontak puak Buluba di Nyuzu, iaitu sebuah pekan di utara Katanggu.  Batalion Ke-4RAMD telah dianggap satu pasukan tentera yang terbaik di Tanah Melayu ketika itu, dan pernah digelar “Gurkha Malaya”. Gelaran ini diberikan disebabkan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang, terutama dalam bidang kawat, sukan, menembak, dan mempunyai disiplin yang sangat tinggi.  Bagi tujuan memilih askar-askar kita ke Congo, saya dan rakan-rakan dalam batalion ini dikehendaki menjalani satu “Latihan Khas” secara bersama dengan Tentera British di Sungai Besi (Kuala Lumpur). Saya ialah salah seorang Anak Pahang (Kuala Lipis) yang telah terpilih untuk menyertai kumpulan yang akan dihantar ke Congo. Sebelum berangat ke Congo, saya dan rakan-rakan terpaka menjalani latihan intensif siang dan malam di Pusat Latihan Polis (Kuala Lumpur), dan kemuncak latihan tersebut ialah taktik menghadapi “letupan gas pemedih mata” di mana saya dan rakan-rakan telah mengalami keadaan separuh mati. 
         
            Al-Marhum Baginda Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) sewaktu menerima tabik hormat telah menyampaikan ucapan, dan merestukan keberangkatan Batalion Ke-4RAMD dari Kem Mentakab (Pahang) menaiki trak menuju Pelabuhan Port Swettenham.   Dari Port Swettenham, kami menaiki Kapal Perang Navy (USA) belayar menuju Pelabuhan Metadi (Congo). Dalam pelayaran yang memakan masa 1 bulan itu, kami telah terkena ribut yang amat dahsyat dan gelombang ombak laut yang menggunung. Ramai rakan-rakan dalam pasukan yang terkena mabuk laut, dan hampir-hampir menemui ajal. Setibanya di Pelabuhan Metadi (Congo), kami terus dibawa ke Kem Tentera Nigeria. Malangnya, segala “ration” yang kami ada, tidak dibenarkan keluar dari kapal oleh Tentera Congo. Mujurlah kami mendapat bantuan makanan, beras dan ikan daripada Tentera Gana. Sewaktu nasi dan ikan belum masak, kami sudah berebut-rebut mengelilingi kawah kerana sangat lapar. Kapten Syed Alwi yang menjadi tukang masak pasukan kami mengeluarkan air mata apabila melihat anggota tentera kita ketika itu makan dalam keadaan yang sedemikian rupa. Kami juga hampir-hampir bergaduh dengan Tentera Indonesia kerana sedikit salah faham, tetapi akhirnya pasukan kami dipindahkan ke kem lain. Dalam peristiwa lain, Lt. Omar yang keluar malam berseorangan telah diserang oleh empat orang Tentera Congo, tetapi keempat-empat mereka lari lintang pukang apabila menerima tendangan dan pukulan silat maut daripada beliau. 

          Keadaan sosio-ekonomi Congo ketika itu amat menyedihkan. Rakyat pribumi Congo hidup dalam serba kedaifan. Mereka mengutip sebarang makanan yang ditemui dalam tong-tong sampah dan di jalan-jalan tanah merah, atau makan ulat-ulat di pokok. Sewaktu Congo dalam pemerintahan Regim Leopold, rakyat pribumi Congo mengalami penderitaan yang serius di bumi mereka sendiri, sedangkan orang kulit putih tinggal dalam serba kemewahan. Ramai wanita pribumi Congo yang cantik-cantik telah dijadikan perempuan simpanan, dan melahirkan zuriat kacukan. Rakyat pribumi Congo terbiar tanpa pekerjaan, dan bergelandangan tanpa tujuan hidup.  Tidak ada sebarang rancangan pembangunan sosio-ekonomi semasa era pemerintahan penjajah Belgium.  Kebanyakan pemuda-pemudi Congo menghabiskan masa dan wang mereka di kelab-kelab malam yang banyak di waktu itu. 

          Di pekan-pekan kecil, keadaan di pasar amat menjijikkan. Daging binatang seperti gajah, buaya, dan ular misalnya dilambak bertimbun begitu sahaja di atas tanah.  Kaum wanita bangsa Congo ke pasar tanpa raga, dan membungkus barangan yang dibeli dengan kain sahaja.  Layanan penduduk pribumi dan orang kulit putih berbeza. Orang kulit putih mempunyai pasar membeli-belah berasingan.  Orang kulit putih juga duduk berasingan dengan penduduk pribumi dari segi pengangkutan awam. Kita dapat menyaksikan kenderaan awam seperti bas disambung seperti treller, di hadapan untuk orang kulit putih, manakala di belakang khas untuk orang Congo. Kolam renang hanya dibenarkan untuk orang kulit putih. Semua jenis perniagaan dimonopoli oleh orang kulit putih. Tidak ada barang yang halal dijual ketika itu. Kemudahan asas seprti jalan raya, api dan air hampir tidak ada.  Masjid tidak kelihatan dibina meskipun ada orang Islam. Gereja begitu banyak sekali didirikan.  Selain itu, apa yang mengejutkan saya ialah pada waktu ada suku kaum Congo yang memakan daging manusia.  Menurut kaum pribumi Congo yang saya temui, “daging manusia sedap rasanya, tetapi yang paling sedap ialah daging orang puteh”.     

       Jadi, sebaik sahaja Congo diisytiharkan merdeka, rakyat pribumi Congo telah bangun memberontak terhadap penjajah yang selama ini hidup dalam syurga di tanah air mereka, sedangkan mereka hidup di bumi mereka dengan penuh penderitaan. Rakyat kulit putih yang berada di Congo menjadi begitu cemas apabila ada di kalangan mereka yang dibunuh, dan kepentingan perniagaan serta kehidupan mewah mereka selama ini terancam. Kerajaan Congo yang baru ditubuhkan ternyata tidak berupaya mengawal kekacauan yang meletus, lalu Perdana Menterinya terpaksa mendapatkan bantuan PBB. Krisis politik Congo semakin rumit apabila ada  campurtangan Rusia.[4]Rusia telah memberi bantuan peralatan ketenteraan yang membolehkan Patrice Lumumba (Perdana Menteri Congo) melancarkan serangan ke atas Katanga di bawah pimpinan Tshombe. Serangan ini tidak berjaya, lalu Joseph Kasavubu (Presiden Congo) memecat Lumumba, dan melantik Kolonel Mobutu untuk mengepalai Tentera Kongo sekaligus sebagai Perdana Menteri yang baru.[5]  

            Saat yang paling getir ialah apabilah pasukan kami diberi kepercayaan untuk untuk menghancurkan pemberontak-pemberontak puak Buluba di Nyuzu, iaitu sebuah pekan kecil di utara Katanggu. Pasukan Tentera PBB[6] yang lain tidak begitu berani untuk mara ke situ kecuali Gurkha Malaya.  Di bawah pimpinan Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed, pasukan kami berada di barisan hadapan mendahului Pasukan Tentera PBB yang lain. Guru Agama yang turut bersama Pasukan Gurkha Malaya  ketika itu ialah Kapten Ali Basiron.  Sewaktu memasuki Katanga meskipun dengan iringan puluhan kereta perisai dan trak, serta jet pejuang, tetapi saya merasakan peluang Pasukan Gurkha Malaya dan Tentera PBB yang lain untuk pulang hidup amat tipis memandangkan pihak musuh yang terlalu besar jumlahnya, dan kuat pula. Di Katanga, Pasukan Gurkha Malaya dan Tentera PBB majoriti tidur berdiri dalam kubu yang penuh dengan air tanpa makan nasi. Bekalan makanan seperti roti dan biskut amat terhad kecuali daging babi bekalan Tentera Amerika. Bagi tujuan untuk melakukan serangan terhadap musuh, maka semua Tentera PBB diarah untuk membawa bersama mereka senjata yang perlu sahaja, terutama bagi kegunaan serangan nanti. Ketika itu, saya tidak dapat menahan perasaan, dan tidak sedar air mata jatuh berlinangan. Hati saya juga turut berkata, “di sinilah mungkin aku mati, dan tidak dapat bertemu dengan ibu bapa lagi”. Ketika itu, saya benar-benar menyerahkan diri dengan tulus ikhlas kepada Allah swt.

            Di bawah pimpinan Kapten Ali Basiron Pasukan Gurkha Malaya sebelah malamnya selepas solat Isyak, kami terus melakukan sembahyang hajat dan bersalam sambil bermaaf-mafan. Kami selanjutnya terus berzikir sepanjang malam tanpa henti  dengan harapan kami mendapat rahmat dan perlindungan Allah swt. Tepat jam 6.00 pagi waktu tempatan, serangan ke atas musuh yang jumlahnya 4 kali ganda dimulakan secara berperingkat-peringkat, tetapi alhamdulillah dengan kebesaran dan kuasa Allah swt. serta iringan doa rakyat Malaya ketika itu, musuh yang besar jumlahnya itu bukan sahaja tidak langsung menyerang balas serangan kami, tetapi semuanya habis cabut lari meninggalkan kubu dan senjata mereka. Peristiwa ini benar-benar ajaib dan menakjubkan.  Saya kira hal ini berlaku disebabkan keikhlasan ahli pasukan menyerahkan diri kepada Allah swt., dan berkat solat jemaah, solat hajat dan zikir yang diamalkan di samping berdisiplin, semangat waja, dan tidak gentar menghadapi kematian.  Dengan kemenangan itu, Gurkha Malaya di bawah pimpinan Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed bukan sahaja mendapat pujian, tetapi juga amat disegani oleh rakan-rakan Tentera PBB yang lain. 

Sekembalinya ke Malaya, kecemerlangan Gurkha Malaya bertugas di Congo itu telah mendapat pujian dan pengiktiarafan KDYMM Yang Dipertuan Agong dengan menganugerahkan gelaran “Diraja” pada 23 Mac, 1961. Tidak terkecuali pihak PBB juga turut mengiktiraf kehebatan Gurkha Malaya seperti nukilan di bawah melalui Setiausaha Agung PBB – U Thant, :

"I wish to express the highest appreciation of the UN for the outstanding contribution made by the troops of Malayan Contigent in the UN Force in the Congo towards achievement of the UN objectives in Congo... you have done a splendid job and have earned the highest appreciation of your services both from the UN and from the Republic of the Congo”.  - U Thant.
  
[1] Congo Free State di bawah kawalan Raja Leopold II diambilalih oleh Kerajaan Belgium, atas nama “Belgian Congo” (1908). Regim Leopold memperolehi Wilayah Congo di Konvensyen Berlin (1885), dan menjadikan Tanah Congo sebagai “harta persendirian”, dan menamakan “Congo Negara Bebas” (Congo Free State).  Regim Leopold membina infrastruktur seperti jalan keretapi di pesisiran pantai menghala ke Leopoldville (Ibu Ngara Congo – sekarang Kinshasa). Infrastruktur ini bertujuan meningkatkan modal Leopold dan kroninya mengeksploitasi khazanah Congo dan orang-orang Afrika. 
[2] Republik Congo (Belgian Congo) : Perdana Menteri Pertama disandang oleh Patrice Lumumba, manakala Presiden Congo dijawat oleh Joseph Kasavubu. Lebih kurang 100,000 Belgian yang tinggal di Leopoldville (Ibu Negara Congo) menjadi panik.  Kejadian ini menyebabkan Kerajaan Belgium menghantar Tentera Belgium ke Congo untuk melindungi Belgians di sana sedangkan tindakan ini adalah tidak sah, malah Kerajaan Congo yang baru juga tidak mengundang mereka.  Situasi politik Congo menjadi lebih gawat apabila Katanga (Congo Selatan – kaya pengeluar 60% uranium dunia dan pengeluar 80% industri berlian dunia) diisytiharkan merdeka oleh Moise Tshombe, seorang pemimpin tempatan Katanga. Tshombe disokong kuat oleh Pemilik Syarikat Eropah di Katanga.
[3]  Perdana Menteri Congo, Patrice Lumumba telah merayu bantuan PBB, dan Sekuriti Council telah menyediakan 10,000 troops untuk mengembalikan kestabilan politik dan membantu membangunkan ekonomi.  Pasukan PBB hanya dibenarkan menggunakan kekuatan ketenteraan sebagai pertahanan, dan tidak boleh menyebelah dua pihak yang berkrisis, iaitu pihak Kerajaan Congo di Leopoldville, dan Kerajaan Tshombe di Elizabethville.
[4] Perdana Menteri Congo, Patrice Lumumba meminta PBB menggunakan tentera untuk melemahkan kuasa Tshombe di Katanga, tetapi Dag Hammerskjöld (Setiausaha Agung PBB) ketika itu enggan berbuat demikian, lalu Lumumba menuduh PBB menyebelahi Tshombe, dan juga pemilik syarikat Eropah di Katanga. Kemudian, kemarahan Lumumba terhadap PBB menyebabkan beliau meminta bantuan Rusia.
[5] Lumumba akhirnya mati dalam satu konspirasi pembunuhan ke atasnya semasa beliau menubuhkan Kerajaan Pembangkang setelah beliau dipecat. Berdasarkan peristiwa ini, nyatalah bahawa peperangan yang meletus di Congo adalah perang saudara, yakni sesama pribumi Congo. 
[6]  Tentera PBB :  Malaya, Indonesia, Etopia, Pakistan, India, Jepun, Amerika dan Britain.


Sumber Rujukan :
www.ramd.mil.my (Urusetia Askar Melayu Diraja, Malaysia (2009)

7 comments:

  1. Terima kasih atas coretan pengalaman.

    PW I Utam
    (Kinshasa: 23/7/13-27/4/14, Goma: 28/4/14-23/7/14)

    ReplyDelete
  2. En UTAM. Terima kasih kerana membaca coretan pengalaman ini. Pengalaman begini boleh ditulis untuk jurnal sejarah tempatan.

    PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PUSAT - WISMA SEJARAH KL) mempunyai PSM CAWANGAN di setiap negeri di Malaysia.

    ReplyDelete
  3. Bapa saudara saya pernah berkhidmat di Congo sekitar awal 60an.Namanya Sheikh Hassan Sheikh Yusof....bhg. logistik

    ReplyDelete
  4. Ayah saudara sy juga pernah berkhidmat di Congo,nama Raja Saigon B.Raja Mahmud..

    ReplyDelete
  5. terbaik. 25/7/2014 -25/7/2015 RSCE-CICO Entebbe/Protocol Travel Unit Goma.

    ReplyDelete
  6. Jamin bin Ngah - I'm proud of you father

    ReplyDelete
  7. As salam. Aruah bapa saya pun sebahagian dari MSF bila beliau masih 2nd Lt. Nama beliau Kol (R) A. Aziz Hj Saif. Terima kasih di atas coretan Tuan. Kalau ada apa2 cerita yang menarik yang boleh dikongsi, saya berminat.

    ReplyDelete