HJ. ABDUL RANI WAHAB (ranialhaj@yahoo.com)
(Guru Penolong Kanan 1 - Pentadbiran : SMK Kuala Lanar - Kuala Lipis - Pahang)
Semenanjung
Tanah Melayu telah sejak dulu dikenali sebagai “Semenanjung Emas”. Kekayaannya menjadi idaman semua orang dari
timur hingga ke barat. Kerajaan-kerajaan awal seperti Kedah Tua, Cheh Tu dan
Gangga Negara terbukti mempunyai hubungan dagang dengan dunia luar. Negeri Pahang merupakan salah satu lokasi utama yang
menjadi tumpuan pencari emas. Sewaktu Pekan Lipis dibuka oleh Dato’ Maharaja
Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (1863), beberapa tempat di Lipis seperti
Selinsing (Ulu Jelai), Bukit Kota, Bukit Betong, Budu, Benta, Kg. Pagar, Padang
Tengku, termasuk Kg. Dusun (Kechau –
Lipis, Pahang) telah wujud sebagai petempatan tradisional. Di tempat-tempat ini
bukan sahaja bangsawan-bangsawan Melayu keturunan Melaka, Perak, Johor-Riau dan
Pagaruyung (Minangkabau) membuka petempatan tradisional Melayu sejak sekitar
1450M lagi dan berlanjutan ke era sesudah Kota Melaka ditawan Portugis (1511),[1] tetapi juga terbukti
berlaku pemigrasian sekumpulan orang Cina dari Yunan ke Ulu Pahang.
Menurut satu versi oral tempatan,
diriwayatkan bahawa seorang Kapitan Cina
bernama Loo Soon, dan beberapa orang pengikutnya telah
memasuki Ulu Pahang melalui Sg.
Pahang, Sg. Jelai, lalu masuk ke Sg. Kecau (anak Sg. Jelai), dan membuat petempatan awal di sebuah kawasan yang kini
dikenali sebagai Kg. Melaka sekitar tahun
1700M. Rombongan Kapitan Cina Lee Soon sekitar 10 orang ini pada mulannya tiba
ke sebuah tempat dalam Sg. Kecau yang dikenali sebagai Jeram Buta,[2] dan kemudiannya mereka meminta
izin untuk tinggal sementara bersama masyarakat Melayu di situ. Berhampiran
dengan Jeram Buta (sekitar 400 meter ke hilir) terdapat lebih daripada 40 buah
makam lama yang ditandai dengan Batu Sungai.[3]
Di Makam Kg. Dusun terdapat batu nesan
berusia kira-kira 300 tahun dipercayai kubor anak Kapitan Lee Soon@Bedu Amat
yang bernama Haji Muda, dan cucunya Karim.[4] Kubur Loo Soon@Bedu Amat dipercayai berada di Kuala
Kenong - Jeram Buta, tetapi lokasi sebenar belum dapat dikesan.[5]
Loo Soon atau nama Islamnya Bedu Amat atau dikenali juga dengan
gelaran Tok Dusun telah berkahwin
dengan gadis tempatan, dan memperolehi empat orang anak.[6] Kedatangan Kapitan Loo
Soon seperti juga kelompok ras yang lain ke Ulu Pahang khasnya ke Kecau atas
dasar mencari ”emas”. Persekitaran Kg.
Dusun dan tempat- tempat lain di kawasan Kechau memang banyak terdapat
bekas-bekas kerja mencarigali emas. Di Kg. Rimun terdapat sepasang ”Kubur Cina”
yang masih diziarahi oleh waris-warisnya sehingga tahun 1970an. Di Sg. Rempai,
ada dijumpai serpihan pinggan tembikar warna biru yang biasanya dipunyai oleh
orang-orang Cina. Sg. Kechau merupakan lebuh raya utama hubungan untuk keluar ke Kuala Lipis,
Sg. Jelai, dan Sg. Pahang. Jeti utama terletak di hadapan masjid Kg. Dusun. Ketika
itu, Kg. Pagar (Penjom) sudah menjadi pusat urusniaga dan pusat carigali emas.
Keperluan makanan bergantung kepada
penanaman padi. Kawasan sekitar Kg. Dusun adalah jelapang padi yang berupaya menampung
keperluan penduduk setempat. Air empangan
datang dari Sg. Keruat yang mengalir di tengah kampung tersebut. Sumber ekonomi
utama yang lain ialah mencari hasil hutan seperti getah jelutung dan damar.[7] Seni
Silat adalah antara aktiviti sosial yang penting hidup bersama masyarakat
tempatan sebagai benteng pertahanan kampung. Seorang pendudok Kg. Dusun pernah
bertugas sebagai petugas istana di Istana Pekan. Pada zaman penentangan
terhadap British, Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan pernah berkubu di sini
semasa berundur ke Hulu Terengganu.
Pendekar Wahab adalah seorang guru silat terkenal yang meninggal dunia
tahun 1980 an.
Terdapat
seorang saudara Kapitan Lee Soon yang datang bersamanya telah menetap di Pulai (Gua Musang
– Kelantan), dan tidak beragama Islam, antaranya ialah keluarga En. Chiew.
Beliau mengakui berasal dari keturunan Kapitan Lee Soon, tersebut tetapi nama
keluarga mungkin hilang akibat perkahwinan.[8] Kapitan Lee Soon memeluk Islam sebelum berkahwin dengan
wanita tempatan. Selepas memeluk
Islam beliau telah dikenali sebagai Bedu
Amat. Loo Soon menjadi seorang yang amat komited
kepada agama tersebut. Beliau telah menunaikan fardu haji dengan membawa bersama anaknya yang
masih kecil yang kemudiannya dikenali sebagai Haji Muda. Pendidikan agama yang berterusan menjadikan anak-anaknya orang-orang yang
mengetahui tetang agama. Cucunya Haji Wang juga menunaikan fardu haji.
Rumah-rumah penduduk kampung didirikan berdekatan dengan masjid. Ini memudahkan
pengajaran ilmu-ilmu agama dijalankan sebagaimana diamalkan di institusi
pengajian pondok di negeri Kelantan dan
Patani.[9]
Anak-anak Kg. Dusun yang belajar ilmu
agama, dan kembali ke Kg. Dusun setelah tamat, dan mengajar di Masjid Kg.
Dusun. Dalam konteks ini, tidaklah diragui lagi bahawa Masjid Kg Dusun telah
terbina sekitar tahun 1700M di Kg. Dusun bagi keperluan komuniti Islam ketika
itu. Peranan Loo Soon dan kaum
kerabatnya dalam mengembangkan Islam dan tradisi keilmuan berterusan di
abad-abad kemudinnya.
Warisan keluarga Kapitan Lee Soon yang
semakin membesar sejak 300 tahun yang lalu bukan sahaja sudah berasimiliasi dan
bersemendaan dengan keluarga daripada keturunan keluarga yang lain di Kecau,
Ulu Pahang, dan di Pahang, tetapi telah melahirkan tokoh-tokoh penting di
Pahang. Antara yang dapat dikenalpasti ialah
Dato’ Aziz bin Abdul Rahman (Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang), Dato’
Abdullah bin Hj Sulaiman (Mantan ADUN Jelai), Dato’ Mohamad bin Jaafar (Ahli
Parlimen Kuala Krau), Dato’ Dr. Mohamad Shahrum bin Osman (Mantan Ahli Parlimen
Lipis), Dato’ Mohd Ghazali bin Aziz (Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam
Pahang), Ustaz Mohd Fadli bin Mat Saman (Imam Besar Masjid Negeri Pahang), dan
Ustaz Ishak bin Seman (Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang).
Kampung-kampung di Mukim Kechau kebanyakannya dibuka oleh
waris Kapitan Loo Soon, antaranya Kg. Melaka, Kg. Bandar, Kg. Gelanggang, Kg. Pagar
Sasak, Kg. Sentang, dan Kg. Dada Kering. Kg. Merapoh telah dibuka sekitar tahun
1929. Beberapa orang dari Kechau seperti Haji Mat Piah, Haji Mat Samad, Aki
Long dan Aki Mohamad telah membuka petempatan di Kg. Merapoh. Kawasan yang
subur dan cantik ini jugalah kawasan
perburuan Panglima Sam yang berasal dari Kg. Dusun.[10] Waris-waris Kapitan Loo Soon seterusnya
merantau menghilir Sungai Jelai, Sungai Pahang hinggalah ke Kuala Krau, Paya
Luas dan Paya Sop, dan membuat petempatan di sana.
[1] Wan Aminuddin
bin Wan Ab. Hamid, “Lipis Kawasan Warisan Sejarah”, dlm. JURNAL WARISAN
PAHANG, Disember, 2012. Penerbit : PSM KAWASAN LIPIS.
[2] Jeram Buta : Lokasinya kira-kira 3km ke
hilir daripada Kg. Dusun (Kecau – Lipis). Dinamakan Jeram Buta kerana jeram ini
tidak dapat dilalui perahu dengan cara biasa. Di zaman British, landasan beroda
dibina untuk menarik perahu lalu di
atasnya bagi melepasi jeram ini. Kini
roda landasan tersebut telah hilang (dicuri) semasa harga besi sangat mahal sekitar tahun 2005.
[3] Wawancara dengan Suhaimi bin Aziz 48 tahun, penduduk Kg. Dusun
pada 24 April, 2012. Beliau menunjukkan kawasan perkuburan di Jeram Buta. Kini
kawasan perkuburan terletak di ladang
kelapa sawit milik FELDA. Menurutnya, semasa pembersihan ladang dibuat,
tiba-tiba jentolak telah mati, dan tidak dapat dijalankan. Kerja-kerja seterusnya terpaksa dilakukan
secara tradisonal.
[4] Wawancara dengan Ibrahim bin Aziz, 60 tahun, Ketua
Kampung (Pesara Guru) di Kg. Dusun, 24 April, 2012.
[5] Wawancara dengan Hj. Ahmad bin Abdullah (Pakandak
Ahmad) 67 di Taman Pertama, Kuala Lipis,
19 Julai 2013. Bekas Ketua Kg. Dusun
yang banyak menyelidiki SALASILAH TOK
LOO SOON.
[6] Wawancara dengan En Samah bin Mat Lela 70 tahun, di Kg. Dada
Kering (Kecau) pada 25 November, 2010. Wanita tempatan yang dikahwini beliau
dipercayai anak kepada salah seorang pembesar tempatan dari keturunan Menteri
Tujuh yang berasal dari Sumatera.
[7]
Wawancara dengan Ahmad Nazri
bin Abdul Rani 78 tahun (Bekas Ketua Kg. Dusun) pada 24 April, 2012.
[8] Hj Ahmad bin Abdullah (Pakandak Ahmad) menemubual En Chew
di Pulai sekitar tahun 2009.
[9] Wawancara
dengan Ibrahim bin Aziz 60 Ketua Kampung Dusun
[10] Lihat Mohamed Asrimi bin Abdullah, ”Pembukaan Kg. Merapoh”,
dlm. JURNAL WARISAN PAHANG, Mac 2010, hlm. 14
Sumber :
Wan
Aminuddin bin Wan Ab. Hamid, “Lipis Kawasan Warisan Sejarah”, dlm. JURNAL
WARISAN PAHANG, Disember, 2012. Penerbit : PSM KAWASAN LIPIS.
Wawancara dengan Suhaimi bin Aziz 48 tahun, penduduk Kg. Dusun
pada 24 April, 2012.
Wawancara
dengan Ibrahim bin Aziz, 60 tahun, Ketua Kampung (Pesara Guru) di Kg. Dusun, 24
April, 2012.
Wawancara
dengan Hj. Ahmad bin Abdullah (Pakandak Ahmad)
67 di Taman Pertama, Kuala Lipis, 19 Julai 2013. Bekas Ketua Kg. Dusun.
Wawancara
dengan En Samah bin Mat Lela 70 tahun, di Kg. Dada Kering (Kecau) pada 25
November, 2010.
Wawancara dengan
Ahmad Nazri bin Abdul Rani 78
tahun (Bekas Ketua Kg. Dusun) pada 24 April, 2012.
berkaitan sumber 4 dan 5.. di kampung kuala kenong juga terdapat sebuah kg yang dikenali sebagai kampung dusun yang dikenali sehingga hari ini.. di tanah perkuburannya terdapat satu perkuburan yang dikenali sebagai kubur misteri dikenali sebagai kubur panjang.. menurut penduduk tempatan.. orang lama..sebagai kubur tersebut milik tokoh tempatan pada masa dahulu.. namun tidak dapat dipastikan kebenarannya sehingga kini..
ReplyDelete