Friday 2 May 2014

(11) CLIFFORD SCHOOL : MARKAS POLIS TENTERA JEPUN


Penulis :
Dr. Mohamed Ali bin Haniffa (mohamedali@siswa.um.edu.my)
(Guru - SMK Kuala Lanar - Lipis, Pahang)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Kejayaan Dasar Perluasan Wilayah Jepun ke atas China (1846) dan Rusia (1904-1905)[1] akhirnya merangsang negara matahari terbit itu terseret dalam kancah Perang Dunia Kedua (1939-1945).  Gagasan imperialisme dan Greater Japan[2] yang dicetuskan oleh Jeneral Araki, seorang Menteri Perang Jepun (1930-an) ini dapat direalisasikan apabila Tentera Udara Jepun berjaya menyerang secara mengejut ke atas angkatan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour, Aleutians, Filipina dan Hong Kong, dan Asia Tenggara Pada 8 Disember 1941M.[3] 

Imperialisme Jepun di Tanah Melayu bermula pada 7 Disember 1941 apabila mereka berjaya mendarat di Pantai Sabak, Kota Bharu, manakala Rejimen Infantri Ke-56 Jepun yang menawan Kuantan telah bergerak menuju Endau dan Mersing (Pahang).  Seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura akhirnya telah berjaya ditawan dalam tempoh masa 70 hari sahaja.  Kejatuhan Singapura pada 15 Februari 1942 disusuli dengan penyerahan surat menyerah kalah yang ditandatangan oleh Jeneral Percival di Bukit Timah Singapura.[4] Slogan Asia Timur Raya, Asia Untuk Asia dan Persaudaraan Sejagat laungan Jepun telah mendapat sokongan majoriti rakyat Tanah Melayu kerana bangsa Jepun mula dilihat sebagai wira Timur untuk melepaskan diri daripada cengkaman penjajahan Barat.[5] 

Di Lipis, Clifford School yang lokasinya berhampiran Sungai Lipis pernah digunakan sebagai Markas Polis Tentera Jepun (Kempeitai).[6] Tentera Jepun telah menjadikan beberapa buah bilik darjah di Clifford School sebagai ”bilik tahanan” dan ”bilik siksaan”, manakala padang sekolah pula telah dijadikan tentera Jepun sebagai ”tapak pemancungan kepala” pesalah.  Ketika itu, Sungai Lipis telah menjadi sasaran pembuangan mayat-mayat yang telah dipancung. Kuala Lipis juga pernah menjadi ”pusat transit” bagi pelajar-pelajar yang akan memasuki Sekolah Pelayaran Syonan (Syonan Nautical School).[7] Rodo Jimu Kyoku Tyo (Pegawai Tentera Jepun) dalam memonya kepada Pegawai Daerah Kuantan menghendaki pegawai itu mendapatkan sepuluh orang belia untuk mengikuti Malacca Nautical School yang baru dibuka.[8]  Semua belia yang telah dipilih ini dimestikan sampai ke Kuala Lipis bersama dengan seorang kerani yang bertugas pada 4 April 1945M, dan dikehendaki bermalam di Lipis sebelum bertolak ke Melaka keesokan harinya (5 April 1945M),[9] seperti catatan mereka, ”At present we are occupying the room which was the Japanese Military Police torture - house and thank goodness, we have never seen or met any ghosts”.[10]

Sekolah Pelayaran Syonan (Syonan Nautical School) merupakan sebuah Sekolah Nippon (Jepun) yang telah ditubuhkan bagi memenuhi matlamat imperialisme Jepun, yakni untuk merealisasikan konsep Lingkungan Kemakmuran Asia Timur Raya seperti nukilan ini.

”Pulau-pulau ini penuh dengan kekayaan mata benda yang mana pengeluarannya makin bertambah. Oleh kerana itu , ika tidak ada kapal dan anak-anak kapal yang akan membawa mata benda ini dari satu ke satu pulau, sudah tetap pertukaran mata benda antara kepulauan ini, dan juga membaiki kebudayaan antara satu pihak dengan pihak tidak dapat dihasilkan.  Dengan ini, sudah tentu Lingkungan Kemakmuran Bersama tidak dapat didirikan”.[11]

Sekolah ini mempunyai kurikulum Pelajaran Biasa : 150 tempat diperuntukkan bagi pasukan pelayaran dan 150 tempat lagi bagi pasukan jentera, manakala kurikulum Pelajaran Tinggi : 30 tempat bagi pasukan pelayaran dan 30 lagi bagi pasukan jentera.[12]

Justeru, Clifford School di Kuala Lipis merupakan salah satu Markas Polis Tentera Jepun yang menyimpan sejarah silam yang mengerikan dalam rangka menjayakan imperialisme negara matahari terbit itu.   
  

[1]  Mohamad Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942 – 1945 ( Tumpuan di Negeri  Kedah ), Dewan Bahasa Dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1992, hlm. 1.
[2] Azhar Mad Aros, Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu, 1941 – 1945 : Satu Kajian Mengenai  Bibliografi, Dlm. Malaysia Dari Segi Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia : Kuala Lumpur,    Bil. 27, 1999, hlm  1.
[3]  Fuziah Shafie dan Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Penerbit Fajar Bakti : Shah Alam, 2000, hlm. 411.
[4]  Khoo Kay Kim Dan Jazamuddin Baharuddin, Malaysia, Sejarah Dan Proses Pembangunan, Persatuan Sejarah Malaysia : Kuala Lumpur, 1982, hlm. 234.
[5]  Ramlah Adam, Burhanuddin Al – Helmy : Suatu Kemelut Politik, Dewan Bahasa Dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1996, hlm. 20.
[6]  Temuramah dengan Tuan Haji Abdul Kadir Bin Mat Akhir, Bekas Pembantu Makmal SMK Clifford, 17 Mei 2003, No. 98, Jalan Cheneras, Kuala Lipis Pahang.
[7] Sekolah Pelayaran Syonan merupakan sekolah yang telah ditubuhkan oleh pihak Jepun bagi merekrut belia-belia khususnya orang-orang Melayu menjadi anak kapal Jepun. Mereka juga diberi peluang untuk bekerja di  Negara Jepun.
[8]  “Rodo Jimu Kyoku Tyo  kepada Pegawai Daerah Kuantan ”, 14 Mac 2605, Kuantan District Office 1940 – 1946, 84/04, hlm. 1
[9]  Ibid, hlm. 1.
[10]  Cliffordian, 1947,  hlm.. 9.
[11]  Ibid, hlm. 1.
[12]  Penerangan Bagi Sekolah Latehan Laut, Arkib Negara Malaysia, hlm. 1 – 2.

Sumber Rujukan : 
Azhar Mad Aros, ”Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945 : Satu Kajian Mengenai Bibliografi,
dlm. Malaysia dari Segi Sejarah, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, Bil. 27, 1999.
Fuziah Shafie dan Ruslan Zainuddin (2000), Sejarah Malaysia, Shah Alam : Fajar Bakti.
Khoo Kay Kim & Jazamuddin Baharuddin (1982), Malaysia, Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala
Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia.
Mohamad Isa Othman (1992), Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 (Tumpuan di Negeri
Kedah),  Kuala Lumpur :Dewan Bahasa & Pustaka.
Ramlah Adam (1996), Burhanuddin Al-Helmy : Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
& Pustaka.
Wawancara penulis dengan Haji Abdul Kadir bin Mat Akhir, bekas Pembantu Makmal SMK Clifford
(Lipis) pada 17 Mei, 2003 di No. 98, Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang.
Wawancara penulis dengan Haji Ahmad bin Saman, pesara Guru Besar dan Cliffordian 1950-an pada 
24 Mei, 2003 di Taman Permai, Kuala Lipis, Pahang.

No comments:

Post a Comment