Wednesday 30 April 2014

(09) NASIONALISME MELAYU : PERSATUAN MELAYU PAHANG 1938


Penulis :
Bahasan Hj Ab. Rahman (rozitakrystal@gmail.com)
(Penolong Setiausaha)
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP)

Secara langsung atau tidak lansung, Nasionalisme Melayu yang lebih terancang dan tersusun telah digerakkan oleh dua senario yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu meskipun kemunculan nasionalisme tersebut agak lewat. Pertama,  Kesatuan Melayu Singapura (KMS - 1926), gerakan separa politik orang Melayu pertama yang dipelopori oleh Mohd Eunos bin Abdullah (Pengarang Lembaga Melayu) dan beberapa orang pemimpin belia Melayu Singapura seperti Dr. Abdul Samad (Doktor Melayu Pertama) dan Tengku Abdul Kadir ditubuhkan di Tanah Melayu.[1] Persatuan Melayu yang misinya memperjuangkan kedudukan orang Melayu ini amat mustahak ditubuhkan ketika itu memandangkan Persekutuan Islam Singapura (PIS) yang dipelopori oleh orang Arab dan Jawi Peranakan sebelum ini ternyata tidak begitu berkesan membela kebajikan orang Melayu.[2] Kedua, kelembaban ekonomi (1929-1930) dan kegiatan politik orang Cina, terutamanya tuntutan yang dibuat oleh wakil-wakil bukan Melayu dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNB – Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), dan Negeri-Negeri Selat (NNS – Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) mendesak orang-orang Melayu (Bumiputera) di Semenanjung Tanah Melayu  untuk mencari jalan yang lebih berkesan untuk mewujudkan ”perpaduan”[3] yang lebih erat dan kukuh. Keberhasilan perjuangan KMS di Singapura itu, dan kegiatan politik Cina yang begitu menyerlah ternyata telah memberi ilham kepada para pemimpin Melayu di negeri-negeri lain di Tanah Melayu, termasuk Pahang untuk membentuk “Pertubuhan Melayu” sebagai alat untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu.     

Di Pahang misalnya, sekumpulan cerdik pandai Melayu telah menyedari betapa perlunya diwujudkan satu bentuk Permuafakatan Melayu bagi mencetuskan buah fikiran baru sekaligus menjaga kebajikan dan menyelesaikan kemelut kehidupan yang dialami oleh orang-orang Melayu ketika itu, terutama kedaifan dalam bidang sosio-ekonomi dan pendidikan. Kesedaran inilah akhirnya membawa kepada satu perjumpaan dan perbincangan tidak rasmi di kalangan beberapa orang pemimpin di Pahang Barat ketika itu[4] seperti Dato’ Hussein bin Mohd Taib (Pegawai Daerah Bentong), Imam Mohd Kawi bin Imam Manja (Imam Masjid Jamek Kuala Lipis), Wan Ibrahim  Dato’ Wan Tanjung (Penghulu Mukim Kuala Lipis), Khatib Din (Jabatan Ukur Raub), Muhamad bin Baginda Besar@Muhamad 3B (Bentong), Raja Kamaruzzaman (Penolong Pegawai Daerah Raub), dan Awang Zakaria bin Abdul Kadir (Pemungut Hasil Tanah Lipis). Pegawai-Pegawai Kerajaan Kolonial British ini sering bertemu di Kuala Lipis kerana ketika itu Kuala Lipis menjadi Pusat Pentadbiran Utama Kerajaan British, dan Ibu Negeri Pahang (1890-1955).

Selaku Orang Besar Berempat Pahang yang masih terikat dengan sistem politik tradisional, Dato’ Orang Kaya Indera Shahbandar Hussein bin Mohd Taib telah memaklumkan cadangan Permuafakatan Melayu itu terlebih dahulu kepada KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (Sultan Pahang IV, 1932-1974) untuk mendapat nasihat dan  perkenan baginda. Setelah mendapat perkenan Tuanku Sultan, maka nekadlah para Pemimpin Melayu itu merealisasikan hasrat mereka untuk mewujudkan permuafakatan yang lebih formal sifatnya bagi masyarakat Melayu ketika itu dalam bentuk pertubuhan. Hasilnya zahirlah sebuah Pertubuhan Melayu yang terawal di Negeri Pahang dengan nama PERSATUAN MELAYU PAHANG (PMP) pada 20 Mac, 1938 berpusat di Kuala Lipis.[5] Usaha untuk mewujudkan satu Pertubuhan Melayu seperti PMP meskipun tidak menyeluruh, tetapi mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu Pahang. Fungsi utama PMP pada peringkat awal ialah untuk membela nasib orang Melayu yang amat lemah ketika itu, dan menyatukan orang Melayu Pahang di bawah satu organisasi yang lebih tersusun. 

Gagasan cerdik pandai  ini dapat dianggap satu “turning point” ke arah merintis kesedaran nasionalisme di kalangan masyarakat Melayu Pahang.  Dalam kes ini, apa yang cukup menarik ialah perintis kesedaran nasionalisme ini mula dicetuskan oleh Cendekiawan Melayu Pahang Barat (Kuala Lipis, Raub, Bentong, dan Cameron Highlands), dan bukan dari Pahang Tengah (Temerloh dan Cenor) atau juga dari Pahang Timur (Kuantan, Pekan dan Rompin).  Berita gagasan penajaan PMP di Pahang Barat ini rupanya telah menarik perhatian YM Tengku Muhammad ibni Sultan Ahmad Al-Muadzam Syah[6] (Pahang) yang baru sahaja meninggalkan jawatannya sebagai “Assistant Commisioner of Police” (ACP) di Terengganu, dan ketika itu beliau telah kembali tinggal di Pekan (Bandar Diraja).  Beliau merupakan satu-satunya elit bangsawan Pahang Timur ketika itu yang kelihatan mempunyai kesedaran nasionalisme yang cukup tinggi. Sebagai menunjukkan semangat nasionalisme YM Tengku Muhammad terhadap gagasan PMP itu, beliau telah menzahirkannya secara terang-terangan dalam Akhbar Majlis.[7]

Sejurus penyebaran berita mengenai sokongan YM Tengku Muhammad itu, beberapa orang bangsawan di Pekan pula dikatakan sedang berkira-kira untuk menaja satu lagi Pertubuhan Melayu yang mempunyai misi yang hampir sama, tetapi tenyata gagasan ini tidak dapat direalisasikan.[8] Kegagalan penajaan Pertubuhan Melayu di Pahang Timur itu dikatakan kemungkinan besar bukan sahaja disebabkan penerajunya terdiri daripada pemimpin yang kurang berwibawa, tetapi mereka sendiri tidak begitu memahami aspirasi nasionalisme dalam erti kata yang sebenar.   Gagasan penajaan pertubuhan itu dipercayai juga didalangi oleh pihak Kerajaan Kolonial British ketika itu yang cuba menggunakan golongan elit Istana Pahang untuk menggagalkan PMP tajaan rakyat di Pahang Barat itu.[9]

Sokongan golongan elit Istana Pahang seperti yang ditunjukkan oleh YM Tengku Muhammad itu telah memberi perangsang yang cukup kuat untuk mempercepatkan pelancaran penubuhan itu. Satu tarikh yang sesuai telah difikirkan dan dipilih untuk mengadakan Mesyuarat Agung Penubuhan PMP.  Akhirnya, setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah, dan juga kesediaan YM Tengku Muhammad untuk hadir, maka akhirnya tarikh 29 Mei, 1939[10] telah dipersetujui bagi mengadakan Mesyuarat Agung Penubuhan, dan tempat mesyuarat juga telah ditetapkan di Sekolah Melayu Batu Kurap,[11] Kuala Lipis (Pahang). 
 
            Mesyuarat Agung Penubuhan PMP ini dianggap signifikan dalam Sejarah Pahang kerana inilah julung-julung kali sebuah Pertubuhan Melayu diwujudkan di Negeri Melayu itu sebagai wadah untuk berkumpul, memikir, membahas, dan menyelesaikan permasalahan masyarakat Melayu Pahang dalam era British.[12] Meskipun ketika itu misi pertubuhan seperti PMP masih berlandaskan “menjaga kebajikan” dan “memberi kesedaran” terhadap kedudukan dan futuristik orang-orang Melayu, dan bukan sebagai sebuah pertubuhan politik, tetapi dari segi pemahaman dan semangat, perhimpunan Melayu di Pahang itu sudah memperlihatkan permulaan kepada kesedaran gerakan nasionalisme Melayu di Pahang. Dalam Mesyuarat Agung Penubuhan PMP yang dihadiri oleh 66 orang perwakilan seluruh Pahang[13] itu, semua perwakilan mengambil pendirian bersetuju memilih barisan kepimpinan PMP, iaitu : YM Tengku Muhammad ibni al-marhum Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (Tengku Panglima Perang – Pengerusi), Dato’ Hussein bin Mohd Taib (Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang – Naib Pengerusi), Awang Zakaria bin Abdul Kadir – Penolong Pemungut Hasil Tanah Lipis -  Setiausaha), Imam Mohd Kawi (Imam Masjid Jamek Bandar Lipis - Penolong Setiausaha), Salleh Hussien (Guru Sekolah Inggeris Clifford – Bendahari), dan Ahli Jawatankuasa : Wan Ibrahim Dato’ OKIMPJ Wan Tanjung (Penghulu Mukim Kuala Lipis), Muhamad bin Baginda Besar@Muhamad 3B (Bentong), Ustaz Mokhtar Hj. Daud (Pekan), Abdul Rahman Talib (Temerloh), dan Salahudin Awang Pekan (Cenor).  

Pergerakan PMP agak terbatas kerana perhubungan yang sukar di samping barisan kepimpinannya tinggal di daerah yang berlainan dan berjauhan antara satu dengan lain. Umumnya, tidak banyak kemajuan yang dicapai oleh PMP. Meskipun begitu, PMP yang bergerak secara terbatas dan tidak begitu terbuka selama 3 tahun (1939-1941), mempunyai keahlian tidak melebihi 2,000 orang seluruh Pahang seperti yang terdapat dalam Fail Bendahari PMP 1938-1941.[14] Ahli-ahli PMP kebanyakannya terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di Kuala Lipis dan Temerloh di samping mereka yang bertugas di Bentong, Raub dan Pekan. Persatuan ini boleh dikatakan tidak berminat untuk mendapatkan keahlian di kalangan kaum tani atau rakyat biasa. 

                                        Keahlian PMP 1938-1941

Kawasan
1938
1939
1940
1941
Kuala Lipis
32
160
333
518
Temerloh
124
407
503
648
Bentong
52
101
108
129
Raub
41
126
140
147
Pekan
08
38
56
63
Kuantan
02
60
-
-

                                Sumber : Fail Bendahari PMP 1938-1941[15]

Ketika PMP ditubuhkan, masyarakat Pahang sudah berubah menjadi masyarakat majmuk kerana penduduknya yang berjumlah kira-kira 199,487 orang (1938), seramai 77,896 atau sekitar 40% adalah bangsa asing.[16] Di kalangan bangsa asing ini, kaum Cina dan India merupakan jumlah yang terbesar. Kehadiran bangsa asing yang begitu ramai di Pahang amat mengkhuatirkan dan dianggap mengancam kedudukan orang Melayu.  Dato’ Hussein Mohd Taib juga cuba membendung pengaruh Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938 di Kuala Lumpur itu berkembang di Pahang. Ibrahim Yaakub putera kelahiran Kertau (Temerloh) yang menjadi peneraju KMM ketika itu meskipun cuba untuk memperluaskan pengaruh KMM ke dalam PMP melalui rakannya Abdul Rahman Talib (wakil PMP di Temerloh), tetapi rancangan ini tidak berjaya kerana KMM mempunyai misi yang berbeza[17], yakni perjuangan menentang pemerintahan kolonial British dan menyokong politik kemerdekaan bersama Indonesia. Malahan, setelah pengaruh KMM dapat dihidu oleh Kerajaan Kolonial British, ramai Pemimpin KMM telah berjaya ditangkap termasuk, pemimpin utamanya Ibrahim Yaakub.

Misi PMP ialah mmpertahankan kepentingan orang Melayu dengan cara menunjukkan taat setia dan bekerjasama dengan Kerajaan Kolonial British, bukan menentangnya.  Fenoemna ini dapat diperhatikan dalam ucapan yang agak tegas oleh YM Tengku Mahmud Sultan Ahmad Al-Muadzam Syah dalam Mesyuarat AJK Bil. 4 PMP pada 29 Mei, 1939.[18]

Kita jangan salah faham di atas tujuan persatuan kita ini bahawa persatuan kita hendak melawan atau menderhaka kepada kerajaan, melainkan hendak bekerjasama, menyambungkan pelajaran belia-belia Melayu yang berkelayakan, dan menambah ahli sehingga lima enam ribu supaya dapat diiktiraf kerajaan.

(Utusan Melayu, 1 Jun 1939).

 Sejak kemunculan PMP (1938) sebagai sebuah Persatuan Melayu yang lebih tersusun, maka muncullah beberapa Persatuan Melayu di negeri-negeri lain di Tanah Melayu.  Kewujudan dan kesepakatann di kalangan Persatuan-Persatuan Melayu inilah akhirnya mengimplikasikan beberapa siri Perhimpunan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.[19]  Kongres Persatuan Melayu Semenanjung (1) telah diadakan dalam bulan Ogos 1939 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman. Kongres Persatuan Melayu Semenanjung (2) telah diadakan di Rumah Persatuan Melayu Singapura pada 25-26 Disember, 1940.  Dalam Kongres Persatuan Melayu Semenanjung (2) ini, PMP telah diwakili oleh Muhamad bin Baginda Besar@Muhamad 3B dan Mohd Taha bin Setia Raja. Beberapa resolusi telah dicapai dalam Kongres (1) dan (2) yang menyentuh masa depan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagaimana Persatuan Melayu Negeri-Negeri yang lain, PMP tidak berfungsi pada awal pendudukan Jepun (1941), dan sepanjang tempoh pemerintahan Jepun, kebanyakan pemimpinnya tidak dapat memainkan peranan yang akitif dalam politik.[20] Begitu juga, dengan Persatuan Melayu yang wujud di negeri-negeri di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Singapura ketika itu tidak dapat bergerak cergas dan nyata. Namun demikian, Persatuan-Persatuan Melayu ini kembali aktif sesudah Perang Dunia II (1945) tamat, dan setelah Jepun di Tanah Melayu menyerah kalah, dan menamatkan pemerintahan mereka.

Namun begitu, selepas pendudukan Jepun (1945), PMP kembali bergerak aktif dengan kemunculan pemimpin-pemimpin Melayu yang sudah mula membicarakan hal-ehwal politik tanah air. Ketika itu, para pemimpin PMP dan pegawai-pegawai kerajaan yang agak menonjol seperti Dato’ Hussein Mohd Taib, Wan Abd Aziz, Osman Taat, Yassin Salleh, Awang Ngah Tok Muda Hj. Ibrahim Mohd Tahir, Hj. Muhammad, Umar Ismail, Mohd Nor Zabidin, Awang Zakaria, Muhammad 3B, Cikgu Abdullah Akil, dan lain-lain.[21]

Berbanding PMP di daerah lain, PMP Cawangan Temerloh merupakan cawangan yang bergiat lebih aktif, dan menyerlah.  PMP Temerloh mempunyai dua kelompok yang berbeza haluan, yakni haluan kanan (pro-British), dan haluan kiri (anti-British).  Pemuda Melayu di bawah pimpinan Kamaruzzaman Teh, dan ahli jawatankuasa seperti Mohd Taib Salleh (S. Romai Noor), Yusuf Salleh, Ahmad Salleh, dan Jaafar Hussin merupakan kumpulan berhaluan kanan pro-British, dan mereka ini sering berkumpul di Gedung Yahya Mohd Seh (Temerloh).[22] Kumpulan ini meskipun sudah mempunyai kesedaran politik, tetapi perbincangan mereka banyak berkisar soal kedudukan, pangkat dan gaji. Manakala, kumpulan berhaluan kiri anti-British dibarisi beberapa nama seperti Manap Jepun@Manap Siwang, Kamaruddin Muhamad (Kris Mas), Mualim Abdul Ghafar, Mualaim Jailani, Pak Tuasin, dan Ustaz Ismail Tekan (Indonesia). Kebanyakan mereka ini bekerja sendiri, berniaga, guru dan guru agama, dan sebahagian besar mereka ini ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).  Mereka ini sering berkumpul di Kedai Agus Salim (Temerloh), dan banyak membicarakan soal nasib bangsa Melayu, dan masa depan tanah air.

Kamaruzzaman Teh yang memimpin Pemuda Melayu PMP Cawangan Temerloh telah berjaya menyusun dan menyatukan Pemuda Melayu sebagai satu kelompok yang kuat. Pengalamannya sebagai pejuang Gerila Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA), dan kematangan fikirannya membolehkan beliau memainkan peranan sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh. Di antara kegiatan Pemuda Melayu Temerloh ini antara lain kejayaan mereka menganjurkan pertunjukan sandiawara sebagai wadah perjuangan politik, terutama untuk menerangkan isu-isu semasa politik.  Tiga orang Pemuda Melayu Temerloh yang menjadi tenaga penggerak pertunjukan sandiwara ini ialah Idris Hj. Abd Rahman (adik sepupu Ishak Hj. Muhamad@Pak Sako, Yusuf Salleh, dan S. Roomai Noor.[23] 

 Sesudah penamatan pendudukan Jepun (1945) juga telah menyedarkan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu betapa mereka memerlukan sebuah Pertubuhan Melayu yang lebih besar dan kuat. Lanjutan daripada kesedaran ini, maka satu Perhimpunan Orang Melayu yang lebih dikenali sebagai Kongres Pertama (1-4 Mac, 1946) di Kuala Lumpur, dan Kongres Kedua (11-12 Mei, 1946) di Johor Baru memperlihatkan penyertaan yang begitu banyak Pertubuhan Melayu seluruh Tanah Melayu.  PMP yang agak aktif ketika itu  tidak terkecuali turut menyertai Kongres Melayu ini. Keputusan yang amat penting dan amat relevan yang dibuat oleh Kongres Kedua itu adalah mengenai persetujuan semua Persatuan Melayu di negeri-negeri untuk menubuhkan satu Pertubuhan Melayu yang dikenali sebagai PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU atau dalam Bahasa Inggeris disebut “UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION” (UMNO). Gagasan penubuhan UMNO ini telah meningkatkan keupayaan Pertubuhan Melayu ini dari segi jumlah pertubuhan yang bergabung, penyertaan individu, kemunculan lebih ramai pemimpin muda Melayu, dan juga cadangan-cadangan yang konstruktif daripada pelbagai sudut demi kemajuan bangsa, agama, dan negara.  Fokus utama perjungan UMNO ketika awal penubuhan ialah membela nasib Bangsa Melayu, mempertahankan Agama Islam, menentang Malayan Union, dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Dalam Kongres Persatuan Melayu (3) yang telah diadakan di Johor Bahru (Johor) pada 11-12 Mei, 1946 misalnya, kongres bukan sahaja telah membuat keputusan menubuhkan sebuah Pertubuhan Melayu di peringkat nasional yang dikenali sebagai PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (PERKEMBAR), dan kemudiannya diubah kepada UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION atau UMNO, tetapi mengesyorkan Persatuan-Persatuan Melayu di negeri-negeri dijadikan UMNO NEGERI.

Dalam konteks Pahang, Yang Dipertua PMP ketika itu, Dato’ Hussein bin Mohd Taib (Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang) telah mendapat perkenan daripada KDYMM Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) terlebih dahulu untuk membubarkan PMP.  Setelah mendapat perkenan Baginda, lalu PMP dengan rasminya dibubarkan dalam tahun 1947, dan nama PMP digantikan dengan nama UMNO. Akhirnya, meskipun mengalami beberapa kekangan dan kesukaran, UMNO NEGERI PAHANG telah dapat ditubuhkan dengan rasmi pada 27 Februari, 1947 di mana  Ibu Pejabat terawalnya bertempat di Bentong, Pahang.[24] Senario ketika mana UMNO NEGERI ditubuhkan, ada beberapa orang bekas pemimpin utama PMP yang berhaluan kiri telah mengambil pendirian tidak menyertai UMNO.   

Meskipun UMNO di peringkat nasional telah dapat ditubuhkan (1946), tetapi keahlian UMNO di seluruh negeri di Tanah Melayu tidak dapat disegerakan atas pelbagai kesukaran seperti kemudahan perhubungan yang amat terbatas, kesedaran nasionalisme yang masih rendah di kalangan orang Melayu, kekurangan pemimpin di peringkat negeri dan daerah, serta keterbatasan kewangan.  Pilihan yang ada bagi UMNO yang baru ditubuhkan itu adalah untuk bekerjasama dan bergabung dengan Persatuan-Persatuan Melayu di negeri-negeri, serta pertubuhan-pertubuhan bersifat politik yang baru muncul.  Setiap kali UMNO mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, semua Persatuan Melyu di negeri-negeri akan menghantar perwakilan masing-masing. PMP tidak ketinggalan turut serta dalam Mesyuarat Agung UMNO ini, dan menghantar beberapa orang perwakilan.  Misalnya, Mesyuarat Agung UMNO pada 1-2 Mac 1947 di Seremban, PMP telah menghantar Osman Taat dan Awang Abdul Kadir sebagai perwakilan. Sehubungan itu, Persatuan-Persatuan Melayu di negeri-negeri tanpa mengira waktu telah mengemukakan syor-syor kepada pihak UMNO tentang isu-isu politik yang membabitkan kepentingan orang Melayu, dan juga masa depan negara. Misalnya, PMP pernah mengesyorkan kepada UMNO pada 24 April, 1947 mengenai betapa pentingnya UMNO memberi perhatian dan mengambil tindakan serius terhadap status “Tanah Simpanan Melayu”, dan member keutamaan “Pendidikan” kepada anak watan.

Penubuhan UMNO 1946 itu sebenarnya amatlah dihargai, dan mendapat sambutan yang baik di kalangan masyarakat Melayu di seluruh Tanah Melayu kerana entiti politik ini tentunya berupaya menyatukan semua orang Melayu, dan menjadi Pertubuhan Melayu yang kuat dan lebih tersusun. Sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat Melayu terhadap UMNO 1946 itu menyebabkan para pemimpin badan politik ini bekerja kuat mengatur strategi dan memberi penerangan tentang perkembangan dan halatuju parti politik itu dari semasa ke semasa. Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 23-24 April, 1948 di Pulau Pinang misalnya, UMNO mengambil pendirian bahawa UMNO NEGERI hendaklah diwujudkan di setiap negeri di Tanah Melayu.  PMP ketika itu memberi kepercayaan kepada Dato’ Hussein Mohd Taib (Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang - Pengerusi), dan Mohamad Jusoh (Setiausaha) untuk hadir dalam Perhimpunan Agung itu. Keputusan ini mengimplikasikan ahli-ahli UMNO di negeri-negeri seluruh Tanah Melayu perlu didaftarkan semula, dan Persatuan-Persatuan Melayu yang wujud di negeri-negeri ditukar namanya kepada UMNO NEGERI. 

Susulan keputusan Mesyuarat Agung UMNO di Pulau Pinang itu, maka para pemimpin Pahang yang kebanyakannya menjadi pemimpin PMP ketika itu telah bersedia membubarkan PMP, dan menggantikannya dengan nama baru, iaitu UMNO NEGERI PAHANG. Akhirnya, UMNO NEGERI PAHANG yang dihasratkan itu dapat ditubuhkan dalam tahun 1948 juga berpusat di Temerloh. Namun begitu, dalam perkembangan yang lain sebahagian pemimpin PMP berhaluan kiri yang tidak bersetuju PMP dimansuhkan dan ahlinya diserap menjadi ahli UMNO, lalu mereka membuat keputusan untuk berpecah dan meninggalkan UMNO NEGERI PAHANG.  Bekas pemimpin PMP berhaluan kiri ini kemudiannya meneruskan agenda politik masing-masing dengan menyertai parti-parti  politik berhaluan kiri seperti Parti Rakyat Tanah Melayu, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dan juga Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM). 

Dengan tertubuhnya UMNO NEGERI PAHANG (1948) itu bukan sahaja membolehkan fungsinya sebagai pertubuhan politik memainkan peranan lebih aktif di peringkat negeri dan peringkat pusat, tetapi juga dapat memperluaskan strukturnya ke peringkat bahagian dan cawangan secara berperingkat-peringkat. Di peringkat negeri, UMNO NEGERI PAHANG tidak ketinggalan menghantar perwakilannya ke Perhimpunan Agung UMNO, dan membawa usul-usul penting yang berkaitan dengan masa depan bangsa, agama, dan negara. Selanjutnya, dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 28-29 Mei, 1949 di Arau, Perlis, Perlembagaan UMNO telah diluluskan oleh semua perwakilan.[25] UMNO NEGERI PAHANG tidak terkecuali menyertai perhimpunan ini dengan menghantar Mohd Sulong, Mohd Ali dan Tengku Abdul Majid sebagai perwakilan.

Justeru, dalam konteks pembangunan politik Pahang, sumbangan PERSATUAN MELAYU PAHANG (PMP) amat besar, terutama menzahirkan entiti politik yang kemudiannya mengasaskan UMNO NEGERI PAHANG meskipun keahliannya amat terbatas, dan tidak menyeluruh pada tahap pengasasannya.  UMNO NEGERI PAHANG prakemerdekaan masih belum utuh kerana pelbagai kekangan dan kewujudan dua golongan nasionalis yang berbeza haluan perjuangan, yakni golongan berhaluan kanan seperti Dato’ Abdul Razak Hussein yang cenderung berkompromi dengan Kerajaan British, manakala golongan berhaluan kiri seperti Ibrahim Hj. Yaakub menolak kompromi dengan Kerajaan British.
                
[1]  Ruslan Zainuddin (2003), Sejarah Malaysia, Shah Alam : Fajar Bakti., hlm. 441.
[2]  Ibid., hlm. 442  Salah satu kejayaan hasil perjuangan KMS, dan dilayani oleh Kerajaan British ialah pemerolehan sebuah tanah kosong seluas 251 hektar di bahagian timur Singapura dibangunkan sebagai sebuah Kampung Melayu
[3]  Prof. Khoo Kay Kim, “Suasana politik di Tanah Melayu Perang Dunia II”, dlm. Malaysia : Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, hlm. 188.
[4] Wawancara penulis dengan YH Datuk Mohd Khairuddin bin Mohd Kawi, bekas Speaker Dewan Undangan Pahang dan ahli politik veteran Pahang kelahiran Kg. Jampong (Kuala Lanar), Kuala Lipis pada 22 Januari, 2010 di kediaman beliau di Pondok Damai Budiman, No. 379, Jalan Dato’ Kurnia Budiman, Kg. Melayu, 27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.  Jawatan Politik : ADUN Kuala Lipis Barat Daya (1955-1959 – Pilihanraya Pertama), ADUN Tanjung Besar (1959-1964 – Pilihanraya Kedua), ADUN Tanjung Besar (1965-1969 – Pilihanraya Ketiga), ADUN Jerantut (1969-1974 – Pilihanraya Keempat),  dan ADUN Jenderak (1974-1978 – Pilihanraya Kelima). 
[5]  Silawatan, “Persatuan Melayu SeMalaya”, dlm. Akhbar Majlis, 25 Ogos, 1937, hlm. 4
[6]   Tengku Panglima Perang  (Kerabat Bergelar Pahang)
[7]   Datuk Mohd Khairuddin Mohd Kawi, op. cit.
[8]  Ibid.
[9]  Ibid.
[10] Mengikut YH Datuk Mohd Khairuddin bin Mohd Kawi, tarikh ini diambil sempena hari keputeraan al-marhum Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang).
[11] Sekolah Melayu Batu Kurap (Murid Perempuan Sahaja) ditutup akhir tahun 1938, dan muridnya dipindah ke sekolah yang baru, iaitu SK Wan Ibrahim (1939), dan lokasinya lebih kurang 1 kilometer dari Bandar Kuala Lipis.
[12]  Prof. Khoo Khay Kim, op. cit., hlm. 188
[13]  Datuk Mohd Khairuddin Mohd Kawi, op. cit.
[14]  Ibid.
[15]  Fail Bendahari ini dikatakan berada dalam simpanan Dato’ Abdul Malik bin Mahmud Baginda (Exco Kerajaan Negeri Pahang 1978 – Kg. Sungai Marong, Bentong, Pahang).
[16] Prof. Madya Dr. Mohamed Salleh Lamry (2002), Gerakan Politik Kiri Di Temerloh, Pahang 1945-1960,  Bangi : Universiti Kebangsaan (UKM).   Arkib Negara Kuala Lumpur.
[17]  Datuk Mohd Khairuddin Kawi. op.cit.
[18]  Prof. Madya Dr. Mohamed Salleh Lamry., op.cit. 
[19] Mohd Salleh Yaakub (1979), Perkembangan Gerakan Politik Kiri Melayu di Pahang 1945-1948, Tesis Jabatan Sejarah (Universiti Malaya) (unpublished).
[20]  Ibid.
[21]  Jaafar Hussein (1989), Kebenaran (Memoir), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka,
    hlm.14.
[22]   Ibid.
[23]  Ibid., hlm. 16
[24]   Ibid., hlm 59-64
[25] Ibrahim Mahmood ((1981), Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur : Pustaka Antara., hlm. 184-193

Sumber :

Fail Bendahari PMP (1938-1941) dalam simpanan Dato’ Abdul Malik bin Mahmud Baginda (Exco Kerajaan Negeri Pahang 1978 – Kg. Sungai Marong, Bentong, Pahang).
Mohd Salleh Yaakub (1979), Perkembangan Gerakan Politik Kiri Melayu di Pahang 1945-1948, Tesis Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (unpublished).
Ibrahim Mahmood ((1981), Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur : Pustaka Antara.
Jaafar Hussein (1989), Kebenaran (Memoir), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Rencana Pengarang, “Persatuan Melayu Pahang”, dlm. Warta Malaya, 22 Mac, 1939.
Ruslan Zainuddin (2003), Sejarah Malaysia, Shah Alam : Fajar Bakti.
Silawatan, “Persatuan Melayu SeMalaya”, dlm. Akhbar Majlis, 25 Ogos, 1937.
Prof. Khoo Kay Kim, “Suasana politik di Tanah Melayu Perang Dunia II”, dlm. Malaysia : Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia.
Leong Yee Fong, “Permulaan Kesedaran Perburuhan Cina di Tanah Melayu”, dlm. Malaysia : Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumur : Persatuan Sejarah Malaysia.
Wawancara penulis dengan YH Datuk Mohd Khairuddin bin Mohd Kawi, bekas Speaker Dewan Undangan Pahang dan ahli politik veteran Pahang kelahiran Kg. Jampong (Kuala Lanar), Kuala Lipis pada 22 Januari, 2010 di kediaman beliau di Pondok Damai Budiman, No. 379, Jalan Dato’ Kurnia Budiman, Kg. Melayu, 27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.


No comments:

Post a Comment