Sunday, 7 December 2014

(22) PANGLIMA GAJAH TUNGGAL TOK JEBEK BIN TOK AKIL


Penulis :

Dato’ ARIPIN BIN SAID (aripinsaid@gmail.com)
Budayawan Pahang

  
Menurut Pondok Berhala Gantang (Temerloh – Pahang), Tok Jebek dilahirkan pada tahun 1842, dan diceritakan enam tahun lebih muda daripada Sultan Ahmad Al- Muadzam Shah. Tokoh ini lahir di Kampung Bohor, Bera (sekarang tempat ini dikenali sebagai Rancangan Perpindahan Selepas Banjir (RPSB) Bohor Baru, Daerah Bera). Beliau dibesarkan dalam budaya desa di bawah bimbingan keluarganya.  Ketika berusia 10 tahun, beliau telah diasuh oleh bapanya Tok Akil yang juga seorang Imam Perang, serta datuknya Abdul Jabar seorang pemimpin yang disegani di Wilayah Bohor ketika itu. Semasa kecil lagi, Tok Jebek diajar mengaji Quran serta didikan agama oleh bapanya sendiri.  Seawal usia sepuluh tahun juga Tok Jebek telah dilatih mempelajari pencak silat, tarian perang, dan bermain senjata seperti keris, lembing dan pedang.  Selain itu, Tok Jebek juga diajar tentang ilmu hutan dan sungai, dan mahir dalam ilmu perburuan, menahan jerat dan menggetah burung, mengambil manisan lebah, menuba ikan, serta membuat segala jenis alat menangkap ikan, termasuk terubing, lukah, tuar, dan jala.



Tok Jebek tidak ketinggalan mendalami ilmu agama di Kg. Berhala Gantang (Balik Gantang) dan Bangau. Di Bohor, pembelajaran mengenai agama Islam terus berkembang walaupun tidak ada institusi pondok didirikan.  Program pengajian Quran diadakan pada malam hari di rumah-rumah tertentu. Begitu juga dengan Fardhu A’in, menulis dan membaca jawi. Selain membaca  Quran, penduduk setempat juga membaca syair Siti Zabaidah, Dandan Setia dan Syair Asyiqin karangan Tok Shabuddin Zainal Abidin (Pengasas Pengajian Pondok Berhala gantang, 1650-1770M).  Dalam konteks peribadi, Tok Jebek menguasai ilmu persilatan, arif berburu, pandai bermain sepak raga, pandai bersyair, dikir rebana, dan bergendang. Kesenian Islam ini dipelajari Tok Jebek dari ayahanda dan datuknya. 



        Pada zaman Tok Jebek dikatakan terdapat tujuh buah masjid di Bohor.[2] Jumlah penduduk di wilayah ini agak ramai.  Sungai dan hutan merupakan sumber rezeki penduduk.  Namun begitu, “bersawah padi” merupakan kegiatan utama penduduk di samping mengusahakan dusun buah-buahan.  Di sini juga, ramai orang arif tentang perubatan tradisi yang menggunakan akar kayu serta sumber hutan.  Kebergantungan kepada pawang, bomoh dan bidan sangat kuat. Wilayah ini turut menjadi kawasan logistik Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah dalam banyak hal seperti mendapatkan sumber makanan, hasil-hasil hutan maupun ubat-ubatan. Ketika Perang Saudara (1857-1863M) misalnya, Wilayah Bohor menjadi tumpuan untuk mengubat orang-orang yang cedera dalam peperangan.  Tasik Bera menjadi ikon kepada penduduk. Nama Tok Jebek begitu masyhur di Bohor (Bera). Di samping karismanya sebagai elit tradisional, warisan Tok Jebek seperti keturunannya, riwayatnya, dan peninggalannya menjadi kebanggaan penduduk sejak zaman berzaman. 



          Dalam tahun 1885, ketika berada di Pahang F.A. Swettenham (Aruna Gopinath, 1993: 51) mencatatkan bahawa Orang Besar Berlapan Pahang ialah (1) Toh Muda Tunggal, (2) Toh Jabe, (3) Toh Bangau, (4)Toh Omar, (5) Toh Penggawa, (6) Toh Lela, (7) Orang Kaya Lipis, dan (8) Orang Kaya Jelai.  Nama Tok Jebek ditulis sebagai Tok Jabe. Nama penuh jawatan itu tidak disebut, yakni Dato’ Setia Raja Tok Jebek. Tok Jebek dianugerahkan gelaran Tok Muda (Orang Besar Enam Belas Pahang) pada tahun 1866 mengenangkan jasa anak muda 24 tahun ini yang turut menyertai angkatan perang Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863). 



            Sewaktu dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Raja (1880M) oleh Bendahara Sewa Raja (BSR) Wan Ahmad ibni BSR Tun Ali, Tok Jebek menerima perkara-perkara berikut :  (1) Gelaran : Dato’ Setia Raja, (2) Gelaran Panglima Gajah Tunggal, (3) Satu persalinan Baju Melayu, (4) Sehelai Kain Tengkolok (batik), (5) Bengkong (tali pinggang songket), (6) Sebuah Pending Perak, (7) Sebilah Keris Panjang, (8) Sebuah Cop Kuasa, dan (9) Bendera Pembesar. Peninggalan yang masih ada dalam simpanan ialah bendera, bengkung dan kain tengkolok (destar).



Bendera Tok Jebek mengandungi konsep pentadbiran dan falsafah pemerintahan beliau di Wilayah Bohor seperti terjemahan berikut : (1) Warna Bendera - Hijau: mengutamakan Islam, mesra alam, luas saujana pandangan mata; luas akal fikiran, bijak bicara dan saksama. Hijau merujuk kehijauan alam semulajadi sebagai nadi kehidupan masyarakat ; (2) Grafik Bunga Melor Warna Putih : Bunga Melor harum mewangi membawa makna kemasyuran nama Tok Jebek dan nama Sultan, serta negerinya; (3) Warna Putih: Warna Putih lambang kesetiaan kepada Raja Pemerintah; (4) Bunga Melor Empat Kelopak : menunjukkan kawasan pentadbiran dan wilayah Tok Jebek, iaitu Timur, Barat, Utara dan Selatan.  Namun dalam hal ini, Tok Jebek menggunakan perkataan Arab untuk Timur dan Barat –“Mushrik” dan “Maghrib”, manakala bagi Utara dan Selatan Tok Jebek menggunakan perkataan Sanskrit – “Paksina” dan “Daksina” di samping merujuk pentadbiran Tok Jebek mengikut sifat wajib bagi nabi, iaitu Sidek, Amanah, Tabligh dan Fatonah.  Kelopak Bunga Melor juga melambangkan ilmu persilatan Tok Jebek,  iaitu langkah, bunga buah dan tangkas. Falsafah Silat Tok Jebek :  mati langkah kerana bunga; mati bunga kerana buah; mati buah kerana tanhgkas.



            Keistimewaan Tok Jebek ialah mempunyai hubungan langsung Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, dan bebas memasuki Istana Raja. Segala pandangan Tok Jebek mudah diterima oleh Sultan. Tok Jebek juga mempunyai hubungan erat dengan semua Orang Besar Negeri Pahang, terutama Dato’ Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Muhammad bin Dato’ Wan Idris (OKIMPJ Ke-6), Dato’ Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor, Dato’ Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Imam Indera Gajah dan puteranya, Pahlawan Mat Kilau.  Tok Jebek tidak terkecuali mempunyai hubungan yang baik dengan warga Istana.  Tok Jebek juga pernah mempunyai hubungan urusniaga dengan Habib Hassan yang mengusahakan “Lombong Emas” di Pahang, dan Abdullah Hukum (1835-1943) yang berurusan jual beli kerbau.   Ketika itu, di Semantan dan Bentong tempat mereka berniaga, seekor  kerbau berharga $10.00 hingga $20.00 sahaja.  Tok Jebek juga mempunyai hubungan rapat dengan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur, dan Orang Asli.



            Dato’ Setia Raja ini dikatakan sentiasa bersama tuannya di mana-jua berada.  Menurut penduduk Kg. Bohor, Tok Jebek sentiasa berulang-ulang dari Bohor ke Pekan menggunakan perahu kajangnya dengan pengiring atau pengikut-pengikutnya dari Bohor sambil “bergendang hilir, bergendang mudik.”  Di mana bermalam dia akan singgah berdikir rebana dan bermarhaban.  Tok Jebek turut serta dalam Perang Kelang 1868-1873 semasa berusia 20 tahun.  Beliau juga turut serta dalam Perang Saudara (1857-1863) di Pahang.  Dalam tahun 1862, Tok Jebek  mengiringi Sultan Ahmad ke Kelantan.  Pada 13 Julai 1897, Tok Jebek mengiringi Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah ke Durbar Pertama di Kuala Kangsar Perak.



Dipercayai juga Tok Jebek ke Kelantan semasa pertemuan pegawai-pegawai kerajaan Siam yang diketuai oleh Luang Visudh dengan Pahlawan Pahang yang diketuai oleh Teh Ibrahim dan Mat Lela di Kota Bharu. Pada waktu itu, pahlawan Pahang diam di Besut. Pertemuan ini diadakan di rumah Pak Kub (Yaakub) pada waktu malam. Mereka yang hadir pada waktu itu ialah Dato’ Setia Raja, Tok Imam Haji Abdullah, Sahak Mandari, Tok Kuing Aur Gading dan Mamat atau Pak Alu.



Semasa Tok Jebek menjadi Orang Besar Bohor, masyarakat Bohor memiliki beberapa keistimewaan. Antara lain yang dapat disebut : (1) Ramai orang Melayu Bohor bergelar “Lebai Kampung”; (2) Pandai membuat perahu kajang yang cantik dan tahan; (3) Ampuh dengan ilmu hutan dan sungai; (4) Ramai yang mempelajari Seni Silat; (5) Pandai bergendang; (6) Ramai yang berkebolehan berdikir rebana, marhaban dan berzanji serta kesenian-kesenian yang lain; (7) Ramai yang menjadi pawang, dukun dan bidan; dan (8) Pandai bermain sepak raga bulatan.  Keistimewaan penduduk Kg. Bohor ini sentiasa dipersembahkan oleh Tok Jebek kepada Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah dalam majlis-majlis keramaian yang diadakan di Istana Raja, malah baginda amat berbangga dengan kebijaksanaan anak buah Tok Jebek.



            Dalam tahun 1924, Tok Jebek dikatakan telah meninggal dunia. Sewaktu jenazah Tok Jebek siap disempurnakan untuk dibawa ke perkuburan, dua orang Pawang Bohor, iaitu Pawang Maulud dan Pawang Merah telah mendekati jenazah. Pawang Maulud dan Pawang Merah masing-masing menggunakan ilmu untuk melihat keadaan sebenar Tok Jebek.  Salah seorang daripada mereka berkata, “ Cuba kita tengok Jebek ni bersama dengan kita atau tidak.”  Masing-masing makan sireh dan meludah air pinang di tapak tangan melihat waktu ketika itu.  Pawang Merah berkata dalam renungannya Tok Jebek telah mati dan tidak bersama-sama mereka lagi.  Meskipu begitu, Pawang Maulud melihat Tok Jebek masih hidup, dan akan bersama-sama dengan mereka.



            Tidak lama kemudian Tok Jebek bangun duduk berlunjur. Melihat keadaan ini, semua yang ada ketika itu lari lintang-pukang terjun tidak bertangga kerana takut. Hanya beberapa adik beradik dan saudara- mara yang rapat tidak lari sebaliknya bertanya, “Siapa kamu ni. Syaitan atau Jebek. Kalau Jebek mengucaplah.” Sejurus kemudian, Tok Jebek pun mengucap dua kalimah syahadat, lalu meminta air untuk minum. Tok Jebek minum bercawan-cawan air, tetapi kemudainnya dilarang oleh Pawang Maulud. Tok Jebek bercerita semasa tidak sedarkan diri, dia berjalan di satu padang yang sangat luas dalam keadaan keletihan dan kehausan. Tiba di tepi padang, terdapat sebatang balak yang sangat besar. Sewaktu akan melangkah balak tersebut dia mendengar satu suara.  “Bukan Jebek ini yang kita jemput. Jebek lain. Hantar dia balik.”  Dalam pada itu Tok Jebek tersedar dan melihat orang ramai di halaman rumahnya.  Demikianlah, satu peristiwa yang agak aneh berlaku ke atas Orang Besar Bohor ini.



            Pada tahun 1924 sebelum banjir besar berlaku, Tok Jebek mengambil keputusan untuk ke Mekah menunaikan Fardhu Haji.  Kemudian, beliau beberapa ketika tinggal di Mekah kerana ingin mendalami pengajian agama Islam.  Sesudah itu, Tok Jebek kembali ke Bohor, dan berkhidmat di bawah Sultan Abdullah sehinggalah beliau menerima gelaran Panglima Gajah Tunggal, Dato’ Setia Raja, Tok Jebek bin Tok Akil.  Selain di Wilayah Bohor (Bera – Pahang), waris Tok Jebek juga ada di Negeri Sembilan, dan beberapa buah negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.  Makam ayahandanya, Tok Akil, dan makam nendanya, Tok Abdul Jabar terdapat di Makam Kuala  Bohor (di Kuala Sungai Bohor berhampiran denga tebing Sungai Pahang).  Makam-makam ini mudah dikenali kerana nesannya yang berbeza dengan nesan-nesan yang lain. Makam Tok Abdul Jabar yang dikenali juga dengan nama Makam Tok Karai. Di sebelah hilir makan tersebut terdapat sebuah kampung yang dinamakan Karai.




[1]  Kertas Kerja Asal telah dibentangkan dalam Siri Ceramah Persatuan Sejarah Malaysia (Pusat), Wisma Sejarah, Kuala Lumpur pada 10 Mac 2012.



[2] Wilayah Bohor (Bera – Pahang) : Kg. Bohor, Kuala Bera, Batu Papan, Karai, Pulau Kening, Serendang, Puchong, Pandau, Rotan Sega, Batu Bor, Paya Keladi, Chenderong, Lubok Lian, Tebing Tinggi, Paya Serai, Bukit Rok (Petempatan Orang Asli), dan Lubok Kuin (Tasik Bera).

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Boleh saya post artikel ni dlm fb saya?

    ReplyDelete