Monday, 8 December 2014

(24) RAJA MUHAMMAD@BAGINDA DEMU : PUTERA PERAK DI ULU PAHANG


Penulis :

Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab Hamid., AMP. (drswanamirzamp14@gmail.com)
Pengerusi PSM Kawasan Lipis
 


Sewaktu Hang Tuah disisihkan dari istana Melaka akibat fitinah pembesar Melaka , maka pergilah Hang Tuah ke Hulu Melaka.  Dari sini, beliau juga sebenarnya pergi ke Ulu Perak. Di Ulu Perak, Pahlawan Melayu yang dianiaya ini telah berkahwin dengan orang istana Perak bernama Halimah.  Hasil daripada Hang Tuah-Halimah lahirlah empat orang anak bernama (1) Mas Da, (2) Seri Dewi, (3) Mat Saaih dan (4) Hang Semaun.  Mas Da berkahwin dengan Bendahara Perak lalu melahirkan anak yang dikenali sebagai Tok Temu. Seri Dewi berkahwin dengan Raja Mahmud (Yang Dipertuan Negeri Perak). Mat Sain tidak dapat dikesan pergerakan keturunannya, tetapi ada khabar bahawa keturunannya bermastautin di Kerdau. Hang Semaun pula, keturunannya dikatakan berada di Ulu Pahang (Raub dan Lipis), dan Hilir Pahang (Langgar – Pekan).



Hasil perkahwinan Seri Dewi-Raja Mahmud telah melahirkan putera yang diberi nama Raja Muhammad atau nama timang-timangannya Baginda Demu.  Baginda Demu kemudian difitnah sebagai “sial” semasa berada di Istana Perak, lalu putera raja itu diperintah keluar dari istana. Namun begitu, Baginda Demu diselamatkan oleh Bendahara Perak dengan menjadikannya sebagai “anak angkat”. Baginda Demu kemudian dikahwinkan dengan Tok Temu (Puteri Bendahara Perak). Setelah berkahwin atas sebab-sebab keselamatan, Baginda Demu dan isterinya Tok Temu dibuang daerah, lalu mereka suami-isteri keluar dari bumi Perak, lalu mencari petempatan baru, melalui daratan, rabung bukit, dan akhirnya bertemu dengan kemuncak Sg. Jelai Kecil (Ulu Jelai – Ulu Pahang) menghilir mengikut Sungai Jelai Kecil (Ulu Pahang), dan membuat kediaman di sebuah tempat yang dikenali sebagai Lubuk Yong berdekatan dengan Pasir Mas.[1] Hasil perkahwinan Baginda Demu-Tok Temu telah melahirkan (Raja) Muhammad Ali Jaafar atau kadang-kadang disebut oleh waris-warisnya sebagai Wan Muhammad Ali Jaafar, tetapi panggilan Tok Diong lebih popular.[2]



Penelitian sejarah setakat ini kuat menunjukkan bahawa titisan zuriat Hang Tuah di Hulu Perak itu amat rapat hubungan dengan Masyarakat Rawa yang mendiami Raub (Pahang). Hubungan ini dikatakan berlaku apabila seorang gadis Rawa bernama Tok Mikrah bernikan dengan Raja Ahmad@Panglima Perak@Tok Perak yang membuka Kg. Sengkela (Sega – Raub, Pahang). Tok Mikrah diriwayatkan bersusurgalurkan Tok Kaya Busu (Orang Kaya Lipis - Budu) beranakkan Kulop Mat Daham. Dalam sejarah orang-orang Rawa Baru di Raub ini, mereka memadamkan hubungan persemendaan Rawa Raub dengan keturunan Rawa Budu dan seolah-olah orang Rawa baru ini tiada kaitan darah dengan orang Budu dan Sega.[3] Mengenai susurgalur Hang Tuah, ada juga beberapa individu mendakwa bahawa mereka adalah titisan warisan Hang Tuah meskipun sudah melebihi tujuh generasi.[4]


[1]  Lubok Yong atau disebut juga Yong Belik dan Pasir Mas :  Lokasinya di tebing Sg. Jelai dan dalam kawasan Bandar Lipis (lama) sekarang.

[2]  Dalam SALASILAH BAGINDA DEMU yang ada dalam simpnanan keluarga tokoh ini ditulis sebagai MUHAMMAD ALI JAAFAR sahaja. SALASILAH BAGINDA DEMU yang agak lengkap boleh dirujuksilang daripada SALASILAH BAGINDA DEMU milik Dato’Razak Ator yang kini tinggal di Ampang, Selangor DE.

[3] SALASILAH KELUARGA ORANG KAYA IBRAHIM (BUDU) menunjukkan Tok Ba binti Abu Samah binti Malek bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endik bin Mohamad Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) telah bernikah dengan Fakih Khalifah (Rawa Temau) beranakkan Saadiah, Hj. Salam, Hj. Abdul Raof, Hjj. Saripah dan Adam.


[4]  Warisan Hang Tuah di Lipis : (1) Hashim Zabidi (Kg. Tempoyang – Kuala Lipis), (2) Novelis Hasanuddin Md. Isa (Pengetua Sek Men Agama Al-Falah - Batu Talam, Raub – Pahang), (3) Mohd. Baharuddin Mohd. Sidi (Baharuddin CD) – Cerpenis kelahiran Kuala Lipis – Pahang.

No comments:

Post a Comment