Hj. Mohamad Salleh bin Hussein (Generasi Ke-11 TUN IBRAHIM)
(bin
Zakaria bin Tok Setia Ismail bin Tok Maulud bin Tok Pandak Sapa bin
Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN
IBRAHIM bin Tun
Muhammad bin Tun Umar bin TUN HASSAN TEMENGGUNG (Melaka) bin Bendahara
Tun Mutahir (Bendahara Melaka) bin Seri Nara Diraja Tun Ali (Darah
Hindi-Melayu) bin MANI PURINDAN (Raja Pahili - Rajasthan - Hindi).
Kg. Kol, Pos Damak,
27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.
Bismillahirrahmannirrahim.
Segala Puji Bagi Allah Seru Sekalian Alam.
Salam dan Selawat Kepada Nabi Besar Junjungan Nabi Muhammad s.w.t,
seluruh keluarga, dan para sahabat Baginda.
Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya
saya dapat menyempurnakan karangan ini (asalnya teks Jawi dalam 33 halaman
sahaja) pada tanggal 3 Mac, 2011 bersamaan 28 Rabiul Awal 1432 Hirah setelah
sekian lama riwayat Tun Ibrahim bin Tun
Muhammad ini tersimpan dalam ingatan saya. Namun begitu, saya telah
ringkaskan riwayat ini untuk disesuaikan dengan keperluan penulisan ini.
Mengikut yang empunya cerita,[2]
Tun Ibrahim ialah seorang Bangsawan
Melayu yang berasal dari Melaka, tetapi telah bermastatin di Johor. Setelah beberapa lama di sana, maka Tun Ibrahim bersama keluarga dan para
pengikut setianya telah berhijrah ke Patani mengikut jalan laut. Setibanya Tun Ibrahim di Patani, lalu beliau
mengadap Raja Melayu Patani (Islam), dan menyatakan hasratnya untuk berbakti,
berbuat jasa, dan taat setia kepada Raja
Melayu Patani itu. Kebetulan ketika itu, Patani belum ada Bendahara,
maka diperkenankanlah oleh Baginda akan Tun Ibrahim menjadi Bendahara Patani. Sebaik sahaja
dilantik sebagai Bendahara Patani, maka Tun Ibrahim bersama keluarga, dan para
pengikut setianya yang agak ramai juga jumlahnya telah ditempatkan di sebuah
daerah yang dikenali sebagai “Jelu”[3].
Ketika itu, Jelu
dikatakan amat terkenal dengan pelbagai
kejahatan dan jenayah. Dengan kebijaksanaan dan keberanian Bendahara Tun Ibrahim (Patani)
menentang segala unsur kejahatan dan jenayah ini, Jelu dan daerah-daerah lain
di Patani menjadi semakin aman. Maka,
amat sukacitalah Raja Melayu Patani itu akan Bendahara Tun Ibrahim kerana
jasanya member keamanan kepada Patani.
Maka tersohorlah nama Bendahara Tun Ibrahim di seluruh Patani. Para pedagang pun ramailah yang berkunjung
dan berdagang di sana kerana negeri itu sudah aman. Di Jelu pun ramailah orang yang
berkunjung dan tinggal di sana.
Jasa Bendahara Tun Ibrahim terhadap
Raja Melayu Patani tidaklah terperi. Namun
begitu, ditakdirkan bahawa Bendahara Patani ini tidak dapat tinggal lebih
lama di sana disebabkan satu peristiwa yang menyebabkan kemangkatan seorang
putera Raja Patani, kononnya terkena hayunan tongkat Bendahara Patani itu. Meskipun
mendengar berita sedih itu, Raja Patani yang baik hati itu tidak sampai hati
untuk murka terhadap Bendahara Tun Ibrahim, tetapi cukup sekadar menunjukkan
“kekesalan” terhadap peristiwa yang berlaku itu. Bagi Bendahara Tun Ibrahim
yang cukup berpengalaman berasa tidak sedap hati atas peristiwa itu, lalu
beliau memutuskan untuk tidak mahu lagi tinggal di Patani, sebaliknya ingin
mencari negeri yang baru di sebelah selatan Patani, yakni Negeri Kelantan. Di Kelantan, tidaklah diketahui daerah mana Tun
Ibrahim dan para pengikutnya menetap, tetapi yang pasti seorang anak Tun
Ibrahim bernama Siti Dewi telah berkahwin dengan seorang individu berketurunan Megat
di Kelantan.
Tun Ibrahim tidak lama di
Kelantan kerana beliau mendapati di sana juga kurang sesuai, lalu mengambil
keputusan untuk berhijrah ke Terengganu[4]
untuk menyerahkan untung nasibnya. Tempat yang menjadi pilihan Tun Ibrahim dan
para pengikutnya ialah Kuala Terengganu.
Setelah beberapa ketika di Terengganu masih juga bekas Bendahara Patani ini
tidak berpuas hati, lalu beliau berfikir untuk mencuba nasibnya di Pahang pula. Maka bertolaklah
Tun Ibrahim dan para pengikutnya ke Negeri Pahang lalu singgah di Kuala Pahang.
Setibanya di Kuala Pahang, lalu Tun Ibrahim mengadap Raja Bendahara Pahang yang dikenali ketika itu dengan gelaran Tun Kuni sambil menceritakan hal-ehwal
beliau dan keluarga serta para pengikutnya berhijrah dari Johor, Patani,
Terengganu, dan akhir ke Pahang untuk mencari tempat tinggal yang lebih
sesuai. Kata Tun Kuni kepada Tun
Ibrahim, “Awak pun Bendahara, sahaya pun Bendahara, oleh itu awak pergilah ke
Ulu Pahang. Di situ dah ada orang, tidaklah ramai. Dato’ perintahlah di sana,
tetapi apabila Dato’ dah ramai pengikut dan kuat, janganlah awak menderhaka ke
hilir ini pulak.” Begitulah pesanan Raja Bendahara Tun Kuni kepada Tun Ibrahim.
Setelah beberapa hari mudik dari
Kuala Pahang menuju ke hulu lalu Tun Ibrahim dan pengikutnya sampai di Kuala
Tembeling (hulu Sg.Pahang). Perjalanan sungai diteruskan lagi dari muara Sg.
Jelai (Kuala Tembeling) hinggalah perahu kenaikan mereka sampai ke satu tempat di
pertemuan muara Sg. Lipis dan Sg. Jelai (Kuala Lipis) yang kini dikenali
sebagai Tanjung Lipis,[5] lalu mereka berhasrat berhenti di
situ. Ketika itu, kawasan yang
disinggahi itu belum bernama. Penghuninya terdiri daripada orang Asli. Sewaktu perahu kenaikan Tun Ibrahim singgah
di tebing muara Sg. Lipis, kelihatan ramai orang
Asli yang menunggu di tebing sungai memerhatikan kedatangan mereka sambil
segelintir mereka memegang lembing.[6]
Sebagai bekas Bendahara dan panglima yang banyak
pengalaman dan merantau, suasana demikian tiadalah apa-apa baginya. Untuk menguji kehandalan orang Asli di tempat
yang baru ini, lalu Tun Ibrahim
mencacak “galah perahu” di tebing
sungai itu agar mudahlah perahu kenaikannya rapat ke tebing, dan mudah pula
bagi beliau untuk naik ke daratan.
Sebaik sahaja Tun Ibrahim cuba memijak tebing sungai berdekatan dengan
galah yang dicacak itu, salah seorang Asli lalu berkata, “Jangan pijak !” Kalau
pijak nanti lembing ni kena ke dada awak.”
Mendengar kata-kata orang Asli itu, maka tak jadilah Tun Ibrahim naik ke
darat. Tanya Tun Ibrahim, “Kenapa tak
boleh naik ke darat ? Jawab orang Asli itu, “Awak orang suka membawa
kerbau. Anak cucu kome takut
kerbau.” Kata Tun Ibrahim, “Tengoklah
dalam perahu kome tu !” Setelah ditengok oleh orang Asli itu tiada kerbau, maka
diamlah orang Asli tersebut. Sambung Tun
Ibrahim lagi, “Kedatangan kami di sini hendak berbaik-baik dan tolong-menolong,
serta hidup bersama-sama.” Itupun tidak
dibenarkan juga naik oleh orang Asli itu, lalu Tun Ibrahim berkata lagi, “Kalau
begitu, kome hendak baliklah.” Dengan
pantas orang Asli itu menjawab, “Ha, pergilah balik ! Jangan tinggal besar jari
pun harta awak di sini.” Dijawab lagi
oleh Tun Ibrahim, “Macamana dengan galah kome di tebing tu, tolonglah cabut
!” Dengan rasa angkuh orang Asli itu
menjawab, “Ah…cabutlah sendiri ! “ Tun
Ibrahim lantas menjawab, “Bukankah galah itu ada di tebing, nanti kalau kome
naik, kome kena tikam pulak di dada.” Maka orang Asli itu pun cuba mencabut galah
itu, tetapi ternyata tidak dapat ducabut, maka datanglah empat lima orang lagi
kawan-kawannya, tetap juga tidak dapat dicabut galah itu. Kemudian, berkata salah seorang daripada
orang Asli itu, “kerat sajalah”, lalu serta-merta Tun Ibrahim menyanggah, “Hai,
jangan kerat, nantu tinggal pula harta kami di atas bukit tu, tadi awak me kata
jangan tinggal sebesar jari pun harta kami di sini, pangkal galah ni
besar”. Natijah peristiwa ini, maka akhirnya, dibenarnyalah Tun
Ibrahim naik ke darat bersama-sama rombongan.
Sesudah mendapat kebenaran naik ke daratan, maka Tun Ibrahim
pun memerintahkan anak buahnya mencari tapak yang sesuai untuk dibuat pondok
kediaman, dan juga tempat mereka bercucok-tanam. Apabila sudah siap dibina
rangka pondok kediaman daripada kayu-kayan yang terdapat di situ, mereka
kemudian merayau-rayau mencari daun-daun untuk dibuat atap. Kebetulan di kawasan
pinggir sungai itu terdapat banyak “pokok
pedor” dan juga “pokok rumbia”, lalu
mereka memancas pelepah pedor dan juga rumbia, serta menanggalkan daun-daun
tersebut daripada pelepah satu persatu. Setibanya mereka di pondok lalu Tun
Ibrahim menegur perbuatan mereka, bahawa daun pedor atau pun daun rumbia itu
tidak boleh ditanggalkan daripada pelepah, sebaliknya daun-daun tersebut
hendaklah di“lepeh” terlebih dulu,
yakni sebelah bahagian daun itu perlu dipatahkan seperti anyaman (dilepeh)
menjadi separuh pelepah sahaja. Oleh kerana baru itulah para pengikut Tun
Ibrahim mendengar perkataan “lepeh”,
maka tempat mereka singgah dan membuat petempatan itu lalu dinamakan Tanjung Lepeh, muara sungai yang
menjadi terminal persinggahan itu dinamakan Kuala Lepeh, dan sungai tersebut juga dinamakan Sg. Lepeh. Perkataan “lepeh”
berubah menjadi “lipis” menurut
Ahmad Kotot[7]
disebabkan pelat lidah orang Inggeris seperti ejaan “Lipis” yang terdapat dalam Pelan Topografi (1929).
Sewaktu berada di Tanjung Lipis, maka Tun Ibrahim pun
mengatur putera-puteranya agar meneroka dan menjaga beberapa buah daerah
sekitarnya. Tun Bandan ditugaskan untuk
menjaga kawasan bermula dari Kuala Lipis menyusur Sg. Jelai hingga ke Ulu
Jelai. Tun Bandu ditugaskan untuk
menjaga Lembah Sg. Lipis. Tun Bahar
ditugaskan menjaga kawasan bermula dari
Kuala Lipis hingga ke Cheka. Sementara
itu, Tanjung Lipis kekal beberapa tahun sebagai pusat pemerintahan Tun Ibrahim.
Ketiga-tiga putera Tun Ibrahim bersama-sama
pengikut masing-masing membuka petempatan baru, membuat kediaman, mengerjakan sawah
padi, mencari emas, dan hasil-hasil hutan bagi keperluan mereka.
Kehadiran Tun Ibrahim dan putera-puteranya di Lembah
Lipis telah menjadi sebutan masyarakat tempatan, termasuk orang Asli yang masih
ramai membuat petempatan ketika itu di sekitar Lembah Sg. Lipis, Lembah Sg.
Jelai. Ketika ini juga, Tun Ibrahim
tidak diragui telah bertemu dan menjadi sahabat kepada beberapa orang elit
tradisional yang sudah ada di Ulu Pahang seperti Embong Pian, Imam Ngah Endek
dan Hang Semaun.
[1]
Hj. Muhammad Salleh Husin, Kg. Koi, Pos Damak,
27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.
[2] Pemilik asal riwayat Tun Ibrahim bin Tun
Muhammad ialah To’ Setia Ismail bin
Maulud - Orang Besar 16 Pahang (era pemerintahan Bendahara Sewa Raja Tun
Ali ibni Tun Koris 1806-1857M dan era Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad 1863-1882 –
Bendahara Pahang terakhir). Riwayat Tun Ibrahim ini kemudiannya didengar dan
diterima secara lisan oleh Pn. Masheran binti To’ Setia Ismail, dan setelah itu
didengar secara langsung oleh penulis (Hj. Muhammad Salleh bin Hussin)
kira-kira dalam tahun 1947 semasa penulis berusia belasan tahun.
[3] Jelu (Patani) : Seorang cucu saudara
To’ Mat Piah bin Dato’ Setia Ismail bernama Hitam bin Abu Man ke Patani (1936)
yang tinggal di Tg. Besar (Budu), kononnya menyamar berniaga di Jelu (Patani)
sambil merisek mencari waris Tun Ibrahim. Di Jelu, Hitam bin Abu Man secara
diam-diam mengetahui dan melihat dengan matanya sendiri bahawa titisan waris
Tun Ibrahim sebahagian besarnya mempunyai kedudukan dan kaya-raya belaka. Tanpa memperkenalkan dirinya di sana,
sekembalinya Hitam bin Man ke Tg. Besar, maka diceritakanlah hal-ehwal yang
dilihat di Jelu itu. Katanya, “saya tahu
tempat itu sudahlah” kepada penulis.
[4] Bukti Tun Ibrahim bersama keluarga dan
pengikut setianya pernah tinggal di Kuala Terengganu diceritakan oleh Haji
Zainal Abidin bin Imam Bakar, seorang sejarahwan Tanjung Besar, Budu (Benta – Pahang) yang pernah berkunjung ke
Kuala Terengganu dalam tahun 1950. Di sebuah masjid di Kuala Terengganu, Haji
Zainal Abidin telah bertemu secara tidak sengaja dengan Syed Sakah yang ada
hubungan kekerabatan dengan Tok Muda Mat Piah (meninggal pada 30 Mei, 1941M)
sebelah moyang perempuan beliau. Jadi,
di Kuala Terengganu masih ada kaum kerabat Tun Ibrahim.
[5] Tanjung
Lipis : Lokasi di sebelah kiri muara Sg. Lipis. Ketika itu, kawasan ini
dipenuhi hutan belantara, dan banyak terdapat “pokok pedor” yang boleh
digunakan sebagai atap rumah. Penduduk Tanjung Lipis ketika itu hanyalah orang
Asli di bawah kepimpinan Batin Orang Asli.
[6] Adalah menjadi kebiasaan bagi orang Asli
berkumpul dan menunggu sesiapa sahaja yang
baru datang ke tempat mereka. Pada zaman primitif dan tradisional,
“senjata” merupakan sebahagian daripada pakaian individu.
[7] Ahmad Kotot : Lahir 10 Jun, 1894 di
Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Penulis
Melayu (Malaysia) pra Perang Dunia II (1942-1945). Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau
menggunakan beberapa nama pena seperti Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak
Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas
bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut.
Pendidikan : Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus Darjah
5 (Sekolah Melayu). Pernah menjadi guru
sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala
Lipis. Menerima Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka (1916-1918).
No comments:
Post a Comment