Saturday, 6 December 2014

(21) RAJA AHMAD@PANGLIMA PERAK@TO PERAK : PUTERA RAO@RAWA DI ULU PAHANG


Penulis :
SUBARI AHMAD AR-RAWI@ARISEL BA

(Ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang)

Raja Ahmad menurut penyelidikan sekarang ialah putera kepada Yamtuan Raja Pangkat 1@Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 merangkap Orang Besar Anggota Dewan Besar Empat Balai Kerajaan Pagarruyung yang juga bergelar Tuan Titah Sungai Tarab (merangkumi Gunung Merapi dan Gunung Singgalang), Tanah Minangkabau (Sumatera Barat – Indonesia) yang lahir sekitar tahun 1683M.[2] Sejak usia Raja Ahmad sehari hingga usia tujuh tahun, putera ini telah dididik dengan penuh kasih sayang dan dikasihi oleh adik-beradik kandung dan adik-beradik tiri. Putera ini dibesarkan dalam suasana “Adat Basandi Syarak, Syarak Basandi Kitabullah, Syarak Mangato Adat Memakai”.  Di atas hakikat itulah juga Raja Ahmad telah dihantar ke sekitar Tanah Datar untuk belajar Ilmu persilatan dan Ilmu Dunia pada usia 10 tahun. Kemudian, Raja Ahmad dihantar pula oleh ayahandanya ke sekitar Tanah Datar dan Tanah Agam untuk belajar Agama Islam sehingga usianya 20 tahun, dan berjaya menjadi Al-Hafiz, serta kompeten dalam pelbagai bidang ilmu : Saraf, Nahu, Fekah, Usuluddin, Syariah, Tafsir serta fasih berbahasa Arab. Ketika berusia 24 tahun (1707M), Raja Ahmad kembali ke Sg. Tarab, dan berkahwin dengan anak seorang Pembesar Kerajaan Pagarruyung.  Kemudian, selanjutnya pada usia 40 tahun Raja Ahmad masih terus mendalami Ilmu Islam, terutama Ilmu Tasawuf di beberapa Madrasah Tarekat di Tanah Minangkabau di samping mengukuhkan lagi Ilmu Persilatan.  Usaha ini dilakukannya bukan sahaja sebagai persediaan sebagai bakal pemerintah, tetapi juga sebagai persiapan menghadapi ancaman Belanda yang sedang bertindak menghapuskan “institusi raja” di Alam Minangkabau (Sumatera).


            Sekitar tahun 1725M, Raja Ahmad telah meninggalkan kampung halamannya Sungai Tarab pada suatu tengah malam tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Pemergiannya keluar dari Tanah Datar (Alam Minangkabau) terpaksa meninggalkan isteri dan putera-puteri serta kaum kerabatnya yang lain menuju Semenanjung Tanah Melayu.  Meskipun begitu, bagi menemaninya di perantauan, Raja Ahmad membawa seorang “kemanakannya” (anak saudaranya) yang berusia 20an bernama Raja Hitam, dan membuat janji, ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’.  Setiba di Tanah Melayu, Raja Ahmad dan Raja Hitam memasuki muara Sg. Perak, dan tempat yang mula-mula dijejaki mereka ialah di Durian Sebatang (Teluk Intan – Perak) dalam jajahan Hilir Perak, lalu membuat kediaman di situ.


Di Durian Sebatang, Raja Ahmad membuang gelaran “Raja”, dan meminta pengikut setia dan masyarakat tempatan membahasakan dirinya sebagai Ahmad sahaja. Semasa itu, Perak diperintah oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan 'Ala' ud-din Mughayat Ri'ayat Shah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (1720 Masihi – 1728 Masihi).  Dalam era pemerintahan inilah Raja Ahmad telah memperhambakan diri kepada Baginda Sultan dengan menawarkan diri menentang “lanun-lanun” yang bermaharajalela di perairan Perak. Atas jasa dan khidmat tersebut terhadap Yang Dipertuan Perak, maka pada tahun 1727M, , Raja Ahmad telah dikurniakan gelaran “Datuk Panglima Perak”. Mulai saat itu, pudarlah nama batang tubuhnya yang asal, iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan “Datuk Panglima Perak” atau “Tok Perak” sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat tempatan. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai “Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang “Pendekar Melayu”.



         Sekitar tahun 1728M, Raja Ahmad telah mengahwini seorang gadis yang berasal dari Sungkai (Perak) bernama Nuriah berketurunan “Rao” (Rawa). Hasil perkahwinan Raja Ahmad dan Nuriah telah melahirkan enam orang anak : (1) Imam Abdullah Hashim@Duhas, (2) Akil, (3)  Anjang Mas Suka, (4) Halipah, (5) Barir dan (6) Pudi.  Putera-puteri beliau tidak menggunakan gelaran “Raja” di pangkal nama. Mereka dididik dengan “ilmu agama”, dan “ilmu persilatan”.  Selama 30 tahun di Durian Sebatang (Teluk Intan – Perak) di samping menjadi Panglima Perak, Raja Ahmad telah meneroka tanah untuk bersawah padi dan menanam pokok buah-buahan. Beliau juga seorang pendulang emas dan bijih timah yang handal. Namun begitu, apabila anak-anaknya mula membesar, beliau telah difitnah oleh Orang-orang Besar Perak, lalu beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain.



 Kira-kira dalam tahun 1755M, Raja Ahmad dan keluarga, termasuk Raja Hitam dan keluarganya dan para pengikut setia meredah hutan mudik mengembara ke hulu melalui Sg. Perak, memasuki Sg. Bidor melalui Batang Padang, Tapah hingga sampai ke Hulu Slim.  Mereka mudik menggunakan rakit yang diperbuat daripada buloh.  Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Raja Ahmad dan rombongannya, terutama serangan binatang buas seperti harimau, ular, gajah, beruang, penyengat, tebuan, lebah, kala jengking dan lain-lain. Orang Asli setempat juga ada yang menyerang mereka tetapi dapat ditangkap dan dijadikan “hamba” untuk dijadikan penunjuk arah jalan dan pemunggah barang-barang.

Raja Ahmad dan rombongan akhirnya mengambil keputusan mencari petempatan baru yang lebih sesuai, yakni di Lembah Semantan Hulu (Pahang).[3] Negeri Pahang ketika itu di bawah pemerintahan Bendahara Seri Maharaja Tun Abas ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (1722-1764M).  Setiba di kawasan yang bernama Kela (Ulu Sungai - Raub), rombongan Raja Ahmad membuat petempatan sementara kerana beliau perlu terlebih dahulu mendapat izin untuk tinggal daripada Sri Maharaja Perba Wan Muhammad bin Wan Ismail (Sri Maharaja Perba Ke-3) yang menjadi Orang Besar Berempat Pahang - Ulu Pahang di Bukit Kota (Jelai).


            Raja Ahmad lebih berminat untuk membuat petempatan baru di Lembah Semantan Hulu.  Di kawasan ini, beliau mendapati sangat sesuai untuk dibuat petempatan baru kerana hutan rimbanya belum lagi diterokai, malah tanahnya pula kelihatan sangat subur. Di Semantan Hulu, Raja Ahmad dan Raja Hitam dan para pengikut setia dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang subur menghijau di sepanjang aliran Sg. Lipis hinggalah Kg. Sengkela (Mukim Sega – Raub), dan Kg. Gesing (Mukim Semantan Hulu – Raub) dibuka. Ketika itu juga, di kawasan petempatan baru ini turut dihuni oleh Orang Asli. Raja Ahmad dan isterinya Nuriah serta anak-anak mereka telah membuat kediaman di Gesing (Raub – Pahang).  Sekitar tahun 1756M,  Raja Ahmad kemudian yang berusia 73 tahun mengahwini isterinya yang kedua bernama Mikrah binti Dato’ Setia Lela Busu, anak jati Kg. Terap (Budu) – keturunan Orang Kaya Ibrahim. Tok Mikrah adalah puteri hasil perkahwinan Tok Kaya Busu-Tok Di Padang (anak Hang Semaun).  Hasil perkahwinan ini, Raja Ahmad beroleh tiga orang anak : (1) Pandak Lena, (2) Fatimah dan (3) Kulop Mat Daham.



            Petempatan baru di Sengkela (Mukim Sega), dan Gesing (Mukim Senmantan Hulu) ini dalam tahun 1755M ini oleh Raja Ahmad dan para pengikut setianya ternyata turut mengukir sejarah kerana dalam masa yang sama “Surau Sengkhla” dan “Surau Gesing” didirikan berhampiran dengan tebing Sg. Lipis. Raja Ahmad sendiri berperanan sebagai Imam dan Guru Agama dengan mengajar dan menyebarkan Ilmu Agama Islam kepada masyarakat setempat, malah di merata-rata tempat di Pahang.[4] Selain menyebarkan Agama Islam di Ulu Pahang, Raja Ahmad juga pernah mengajar agama di Hilir Pahang, yakni di Bukit Sigumpal dan Cenor. Namun begitu, setelah beberapa lama di sana, sekitar tahun 1762M, Raja Ahmad kembali semula ke Ulu Pahang, khasnya ke Sengkela dan Gesing dengan meninggalkan Ibu Kuntum, isteri ketiga yang dikahwininya di Bukit Sigumpal.  Dalam perjalanan mudik menyusuri Sg. Pahang, Raja Ahmad telah diminta oleh penduduk Kerambit (Lipis) untuk mengajar Agama Islam. Di Kerambit Raja Ahmad turut mengahwini isterinya yang keempat berkahwin dengan seorang wanita tempatan sehingga memperoleh dua orang anak, seorang lelaki diberi nama Uban dan seorang perempuan yang tidak diketahui namanya. 



Dalam tahun 1763M, Raja Ahmad kembali semula ke Gesing dalam usia beliau 80 tahun.  Ketika itu, Isteri pertamanya Tok Nuriah telah lama meninggal, dan yang masih ada bersama beliau ialah Tok Mikrah, manakala isteri ketika yang dinikahi di Bukit Segumpal dan isteri keempat yang dinikahi di Kerambit ditinggalkan di tempat-tempat berkenaan.  Pada tahun 1774M, Raja Ahmad yang ketika itu sudah berusia 91 tahun telah dijemput mengajar Agama Islam di sekitar Pulau Manis hingga ke Kuala Chini di sebelah hulu Sungai Pahang dan hingga ke hilir ke Pulau Rusa dan Ganchong (Pekan – Pahang).  Apabila dilihat oleh Tok Pulau Manis bahawa Raja Ahmad sentiasa uzur, tetapi masih dapat melihat, masih boleh mengajar, cuma bila hendak bergerak perlu dipapah oleh pembantu telah mengambil keputusan untuk menikahkan Raja Ahmad dengan wanita tempatan bernama Safiah. Dengan harapan Safiah dapat menjaga makan minum, pakai memakai dan kesihatan Raja Ahmad selama berada di Pulau Manis. Hasil daripada perkahwinan kali kelima ini, Raja Ahmad memperoleh seorang anak perempuan diberi nama Halimah.



Diriwayatkan semasa Raja Ahmad meninggal dunia, usia Halimah baru 10 tahun.  Ketika itu, Pahang di bawah pemerintahan Bendahara Tun Abdul Majid bin Tun Hassan (1777- 1802M).  Dalam tahun 1783M, ketika berusia 100 tahun Raja Ahmad kembali semula ke Gesing dan Sengkela dengan diiringi oleh isteri muda beliau yang bernama Safiah bersama anaknya Halimah. Raja Ahmad dan keluarga baru ini menetap di Sengkela. Di Sengkela jugalah, Raja Ahmad mengakhiri riwayatnya dalam usia 102 tahun dalam tahun 1785M dengan meninggalkan 16 orang anak, ratusan cucu dan ribuan cicit. Allahyarham Raja Ahmad telah disemadikan di sebuah Tanah Perkuburan di Sengkela yang kini dikenali sebagai “Bukit Baru”.[5] Salah seorang putera Raja Ahmad bernama Abdullah Hashim@Tok Duhas bernikah dengan gadis di Kg. Terap (Budu), dan memperolehi 5 orang anak, dan beberapa orang cucu di sana.[6] 

Raja Ahmad@Datuk Panglima Perak meskipun tinggal di Perak dan Pahang, tetapi beliau dapat menyumbang baktinya di bawah lima Yang Dipertuan Negeri Perak.[7] Menjelang abad ke-18-19M berturut-turutlah rantau Ulu Pahang, terutamanya di Budu dalam daerah Lipis merentasi hingga ke Semantan Hulu, Sengkela, Gesing, Dong dan Gali dalam daerah Raub didatangi oleh kaum bangsawan dan rakyat biasa dari Pagarruyung, Kampar dan Rao Mapattunggul kerana melarikan diri dari kemelut perjuangan menentang penjajah Belanda di Pulau Perca (Sumatera) semasa era Perang Paderi yang dipelopori oleh Tuanku Rao dan Imam Bonjol. 

                                  


SALASILAH RAJA AHMAD@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK (1683-1785M) :
PUTERA RAO@RAWA DI ULU PAHANG



YAM TUAN RAJA PANGAT 1

@DATO’ BENDAHARA PUTIH TUANKU TITAH KE-10

(PENGUASA KAWASAN SG, TARAB, PAGARRUYUNG – MINANGKABAU)



 







RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK
 Berkahwin

TOK NURIAH
(Sungakai – Perak, 1728M)
Imam Abdullah Hashim@Tok Duhas
Tok Akil
Anjang Mas Suka
Halimah
Tok Harir, dan Tok Pudi@Tok Chu
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK
Berkahwin
TOK MIKRAH BT TOK KAYA BUSU
(Semantan Ulu, Pahang, 1756)
Pandak Lena
Fatimah
Kulup Mat Daham
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK
Berkahwin
IBU KUNTUM
(Bukit Segumpal – Chenor, 1760
Mas Kuntum
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK
Berkahwin
PEREMPUAN
(Kerambit, Lipis, 1762M)

Tok Uban
RAJA AHMAD
@PANGLIMA PERAK@TOK PRAK
Berkahwin
TOK SAPIAH
(Pulau Manis, Pekan – 1774M)
Halimah



Sumber : Dipadankan daripada Salasilah Raja Ahmad
                          



[1] Judul ini telah dibentangkan oleh penulis dalam Seminar Tokoh-Tokoh Rao (Rawa) Raub pada 28 November, 2012 di SM Kebangsaan Gali, Raub (Pahang).

[2] Yamtuan Raja Pangkat 1@Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 : Bersusurgalurkan Raja Pagarruyung dari jurai keturunan Yamtuan Raja Berkilap Alam@Yamtuan Raja Gara@Raja Bagewang 3@ Datuk Bendahara Putih Ke-7 Sultan Alif Khalifatullah Fil Alam 1.

[3] Ketika itu, Lembah Semantan Hulu telahpun dihuni oleh Masyarakat Minangkabau sejak abad ke-15M lagi.

[4]  Kawasan Penyebaran Agama Islam Raja Ahmad : Sega Tua, Budu, Terap, Penjom, Pasir Mas, Kechau, Telang, Bukit Betong, Bukit Kota, Kerambit, Mela, Tembeling, Kuala Semantan, Bukit Segumpal, dan Chenor.

[5]  Makam Bukit Baru (Sengkela – Mukim Sega, Raub – Pahang) : Makam Raja Ahmad terletak di belakang rumah allahyarham Tok Empat Mohamed Imam Kundor. Di sini juga, allahyarham Raja Hitam disemadikan beserta kerabat Raja Ahmad yang lain.

[6] Keluarga (Raja) Abdullah Hashim : Zuriat (Raja) Abdullah Hashim bukan sahaja berkembang di Kg. Terap dan sekitar Mukim Budu, tetapi menyebar ke Tg. Besar, Ulu Dong, Tualang Padang, Pintu Padang, dan Mukim Gali. Bermula daripada Abdullah Hashim, keturunan beliau tidak menggunakan gelaran “Raja” di pangkal nama.


[7] Yang Dipertuan Negeri Perak : (1) Sultan Alauddin Mughayat Shah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (1720-1728M), (2) Sultan Muzaffar Shah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (1728-1742M), (3) Sultan Muhammad Shah ibni ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (1742-1750M), (4) Sultan Muzaffar Shah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (1750-1754M), (5) Sultan Iskandar Zulkarnain ibni Sultan Muhamad Shah (1754-1765M).

2 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum tuan admin boleh kisah kan seterusnya mengenai anak sedara Raja Ahmad iaitu Raja Hitam.dimanakan keluarganya siapakah isteri Raja Hitam atau Panglima Hitam dimanakah makam nya. Mencari Menyusul keturunan Moyang saya yg ada berkait dikatakan Panglima HITAM berasal Dari Rao Sumatera.Mohon pencerahan mengenai Raja HITAM ,

    ReplyDelete