Sunday, 18 May 2014

(19) LIPIS KAWASAN WARISAN SEJARAH

Penulis :
Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid., AMP. (wanamirzamp@yahoo.com)
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Lipis Kawasan Warisan Sejarah sebenarnya tidak bermula daripada Kerajaan British menjadikan Kuala Lipis sebagai Ibu Negeri Pahang (1898), malahan tidak juga sewaktu Kerajaan British memperkenalkan Sistem Residen (1888) di Pahang atau sewaktu Pekan Lipis diasaskan oleh Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Panglima Perang Wan Pahang (1863) ataupun sewaktu Seri Maharaja Perba di Jelai dilantik sebagai Orang Besar Berempat Pahang sekaligus “Wakil Mutlak” di Ulu Pahang oleh Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah (Raja Pahang XII,1592-1614M – zuriat langsung Raja Melayu Melaka), tetapi kawasan ini telah terbukti daripada kajian arkeologi pernah menjadi petempatan terawal manusia primitif sejak 4,500 SM lagi.  

Jika Melaka muncul daripada sebuah perkampungan kecil nelayan, maka Kuala Lipis pula bermula daripada sebuah perkampungan kecil di pinggir sungai yang lokasinya di pertemuan muara Sungai Lipis dan Sungai Jelai. Di sinilah Sejarah Kuala Lipis itu bermula. Meskipun begitu, bagaimana Kuala Lipis mendapat nama mempunyai mitos yang berbeza-beza.  

          Mitos paling klasik menyebut bahawa kata nama “Lipis” dikaitkan dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai “Serau Lipis” (nama saintifiknya “Paveta Indica”.  Mitos selanjutnya, nama Lipis turut dikaitkan dengan perbuatan “melepeh”, yang membawa maksud menganyam, menjalin atau melipat sesuatu.  Bagi anak jati Lipis, sebutan lazim bagi tempat ini ialah “lepeh”.  Mengikut satu versi oral klasik tempatan, di muara Sungai Lipis inilah berlaku kegiatan “melepeh daun rumbia” atau “melepeh dauh pedor” untuk dibuat atap rumah.  Pokok rumbia dan juga pokok pedor dikatakan banyak tumbuh di sekitar pinggir pertemuan muara Sungai Lipis dan Sungai Jelai.  Ketika itu, apabila orang tempatan bertemu sesama mereka, mereka mulakan dengan pertanyaan, “nak ke mana ?”.  Jawab mereka, “nak melepeh”. Lama-lama, tempat di mana kegiatan melepeh itu disebut ringkas sahaja sebagai “lepeh”.  Memandangkan kegiatan “lepeh” itu bertempat di kuala sungai, maka perkampungan pinggir kuala sungai itu dinamakan “Kuala Lepeh”, dan sungai pun dinamakan “Sungai Lepeh”.  Bilakan (tarikh sebenar) nama “Kuala Lepeh” dan “Sungai Lepeh” mendapat nama tidaklah dapat dipastikan, tetapi dipercayai penamaan ini berlaku setelah orang-orang Melayu Melaka mula memasuki dan menguasai Sungai Pahang dan Sungai Jelai pada penghujung abad ke-16M.  

Satu sumber oral[1] yang baru ditemui menyebut bahawa sebutan kata nama Kuala Lepeh (Kuala Lipis) dan Sg. Lepeh (Sg. Lipis) itu asalnya bermula apabila seorang Bangsawan Melayu Melaka (keturunan Raja-Raja Melayu Melaka)  bernama Tun Ibrahim bersama putera-puteranya, yakni Tun Bandan, Tun Bandu@Tun Sulaiman, Tun Bahar, keluarganya dan para pengikutnya berhijrah dari Johor, ke Patani, ke Kelantan, ke Terengganu, dan akhirnya ke Pahang menyusuri Sg. Pahang dari Kuala Pahang ke Ulu Pahang, ke Sg. Jelai (anak Sg. Pahang utama) hinggalah  mereka berhenti di muara Sg. Lipis. Ketika itu, Kuala Lipis dan Sg. Lipis belum bernama. Kehadiran Tun Ibrahim bersama putera-putera, keluarga dan pengikutnya di muara sungai (Sg. Lipis) untuk mendarat mendapat tentangan hebat oleh kaum Orang Asli kerana mereka tidak suka orang asing sewenang-wenang masuk ke tempat mereka, tetapi atas kebijaksanaan dan kehebatan ilmu batin dan kepahlawanan Tun Ibrahim, akhirnya Batin Orang Asli yang menguasai perkampungan di muara itu terpaksa mengaku kalah, lalu mereka dibenarkan naik ke daratan.   

Sesudah mendapat kebenaran naik ke daratan, maka Tun Ibrahim pun memerintahkan para pengikutnya mencari tapak yang sesuai untuk dibuat pondok kediaman, dan juga tempat mereka bercucok-tanam. Apabila sudah siap dibina rangka pondok kediaman daripada kayu-kayan yang terdapat di situ, mereka kemudian merayau mencari daun-daun untuk dibuat atap. Kebetulan di kawasan pinggir sungai itu terdapat banyak “pokok pedor”  dan juga “pokok rumbia”, lalu mereka memancas pelepah pedor dan juga rumbia, serta menanggalkan daun-daun tersebut daripada pelepah satu persatu. Setibanya mereka di pondok lalu Tun Ibrahim menegur perbuatan mereka, bahawa daun pedor atau pun daun rumbia itu tidak boleh ditanggalkan daripada pelepah, sebaliknya daun-daun tersebut hendaklah di“lepeh” terlebih dulu, yakni sebelah bahagian daun itu perlu dipatahkan seperti anyaman (dilepeh) menjadi separuh pelepah sahaja. Oleh kerana baru itulah para pengikut Tun Ibrahim mendengar perkataan “lepeh”, maka tempat mereka singgah dan membuat petempatan itu lalu dinamakan Tanjung Lepeh, muara sungai yang menjadi terminal persinggahan itu dinamakan Kuala Lepeh, dan sungai tersebut juga dinamakan Sg. Lepeh. Perkataan “lepeh” berubah menjadi “lipis” menurut Ahmad Kotot[2] disebabkan pelat lidah orang Inggeris seperti ejaan “Lipis” yang terdapat dalam Pelan Topografi (1929).  Jika demikian halnya, maka Tanjung Lipis yang ada sekarang sebenarnya mempunyai sejarah zaman silam yang penting, paling tidak ia telah menjadi salah sebuah perkampungan Melayu yang terawal wujud di Lembah Sungai Lipis. 

Perkampungan Tanjung Lipis dipercayai kurang disukai oleh Tun Ibrahim kerana tempat ini tidak mempunyai khaznah alam yang bernilai tinggi selain kesuburan tanah, sumber-sumber sungai, dan hasil-hasil  hutan yang begitu banyak, lalu beliau bergerak menyusur Sg. Lipis ke tempat yang kini dikenali sebagai Kg. Budu (Daerah Lipis).  Pada waktu itu, Kg. Budu belum bernama, dan kononnya amat kaya dengan khazanah alam, terutama “emas” yang memang menjadi sumber alam yang paling berharga sejak zaman berzaman.  Lalu Tun Ibrahim berhasrat untuk membuat petempatan di kawasan Kg. Budu, tetapi seperti pengalamannnya yang lalu, beliau terpaksa berhadapan dengan penghuni orang Asli yang menjadi penduduk asal di situ, terutama Tok Batin Badu.  Namun begitu, akhirnya atas kepandaian dan kebijaksanaan Tun Ibrahim dalam ilmu mempertahankan diri, maka beliau berjaya mengalahkan Tok Batin Badu. 
  
Sewaktu Pekan Lipis dibuka oleh Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (1863), beberapa tempat di kawasan Lipis seperti Selinsing (Ulu Jelai), Bukit Kota (Bukit Betong), Yong Belik, Kg. Melaka (Kecau), Kg. Relong@Lembah Bama (Telang), Padang Tengku, Lubuk Kulit (Telang), Penjom, Kg. Pagar, Kg. Lalang, Benta, Jerangsang, Tersan (Sega), Budu, dan Tanjung Besar, Mela sudah dibuka oleh bangsawan-bangsawan Melayu keturunan Melaka, Perak, Johor-Riau dan Pagarruyung (Minangkabau) sejak 1600M lagi. Jika dibandingkan tempat-tempat ini, ada petempatan yang dibuka lebih awal. Ulu Jelai dan Bukit Kota misalnya telah dibuka oleh nenek-moyang Seri Maharaja Perba@Maharaja Perba sekitar tahun 1530M, manakala Kg. Pagar (Penjom) telah dibuka oleh Bangsawan Perak bernama Tok Diong sekitar 1540M.   Sehubungan itu, daerah-daerah yang kini dikenali sebagai Raub, Lipis, Jerantut, Semantan, dan Cameron Highlands terangkum dalam kawasan yang dikenali sebagai Ulu Pahang di bawah pemerintahan Seri Mahajara Perba@Maharaja Perba yang berpusat di Jelai (Sg. Tanum/Bukit Kota).  Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah (Raja Pahang XII, 1592-1614) telah melantik Orang Besar Jelai itu sebagai  “Wakil Mutlak” baginda di sana.  Pada abad ke-19M, gelaran Seri Maharaja Perba kemudiannya berubah kepada gelaran Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai[3] (OKIMPJ) sewaktu Bendahara Tun Ali memerintah Pahang, tetapi statusnya masih bertaraf Orang Besar Empat Pahang seperti dahukala jua, tiada ubahnya. 

Sejak Pahang berada di bawah Sistem Residen British (1888-1957), dan pentadbiran negeri telah dibahagikan kepada daerah-daerah, maka “Daerah Lipis” turut dibangunkan mengikut perspektif kolonial dI bawah pimpinan 18 orang Pegawai Daerah (District Officers).[4] Namun begitu, dalam tempoh tahun-tahun terawal (1888-1910) era pemerintahan British di Pahang, pihak Kerajaan Kolonial British belum mempunyai Pegawai Tadbir yang mencukupi.  Beberapa daerah yang kini dikenali sebagai Lipis, Raub, Bentong, dan Cameron Highlands, ketika itu diklasifikasikan sebagai “Daerah Ulu Pahang” di bawah seorang Pegawai Tadbir Kolonial.  Kemudian, sistem pentadbiran menjadi lebih kompleks apabila Kuala Lipis menjadi “Ibu Negeri Pahang” (1889-1955) di mana dalam era tersebut beberapa struktur dan peringkat bidang kuasa institusi pemerintahan dan pentadbiran : Sultan Pahang, Residen British, Setiausaha Kerajaan Negeri, Hakim Mahkamah, Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Pegawai Daerah, Orang Besar Daerah (Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan & Orang Besar Enam Belas, dan Penghulu wujud dengan bidang kuasa-masing, dan kadang-kadang berlaku pertindihan dan konflik kuasa di kalangan institusi-institusi ini.  

            Pekan Kuala Lipis mula dinaiktaraf sebagai Bandar Kuala Lipis dalam tahun 1889. Ketika itu, deretan kedai yang mulanya diperbuat daripada kayu, dan beratapkan atap rumbia atau atap pedor mula diganti dengan bangunan batu, manakala jalan raya telah dibina di dalam bandar, serta kawasan yang menempatkan jabatan-jabatan kerajaan British.  Pembangunan Bandar Kuala Lipis memang menjadi keutamaan British ketika itu berbanding dengan bandar-bandar lain di Pahang seperti Raub, Bentong, Rompin, Kuantan, dan Pekan. Justeru, beberapa bangunan yang didirikan sewaktu Pentadbiran British Pahang berpindah ke Kuala Lipis (1891) dari Pekan seperti Pejabat Pos (1910), Clifford School (1913), Kediaman Bekas SUK Pahang (1920), Rumah Residen (1922), Istana Hinggap (1926), Asrama Jururawat (1926), Stesyen Keretapi (1926), Clifford Malay Hostel (1926), dan Rumah Pegawai Daerah (1929) memperlihatkan rekabentuk bangunan hasil cita rasa Pegawai Kolonial British masa itu.  Dari segi rekabentuk bangunan yang didirikan di Bandar Kuala Lipis (Lama) itu pula, kajian menunjukkan kepelbagaian ciri seperti : “art deco”, “utilitarian”, “sino-palladian”, dan “straits eclectic”.[5]

Masjid Jamek@Masjid Negeri Pahang (1888), Tokong Thean Hou (1898), dan Kuil Gurdhawara (1918) meskipun dibina atas inisiatif komuniti agama masing-masing, tetapi ketiga-tiganya turut menjadi bangunan bersejarah kerana dibina semasa era British, dan masih kekal teguh hingga sekarang. Rumah orang Melayu Lipis bertiang, berlantai, dan berdinding kayu serta beratap rumbia atau nipah agar sukar dipertahankan, dan tidak dapat dilihat lagi sekarang kecuali dalam bentuk foto.
  
            Dengan kepesatan pembangunan Bandar Kuala Lipis sebagai Ibu Negeri Pahang (1898-1955), maka Pekan Penjom dan Pekan Benta yang dahulunya pernah lebih maju daripada Pekan Lipis (1863), mula mengalami kemerosotan.   Namun begitu, “Penjom Gold-Mine” (Penjom) terus-menerus beroperasi sejak zaman berzaman sehingga sekarang meskipun dari segi pemiliknya silih-berganti. Begitu juga dengan  “Selinsing Gold-Mine” (Ulu Jelai) tidak terkecuali beroperasi sejak abad ke-15M lagi hingga sekarang.

Malah, aspek pendidikan juga mula mendapat kesedaran masyarakat dengan pembinaan institusi-institusi pendidikan.[6]  Atas inisiatif Orang-Orang Besar Melayu yang ada ketika itu, beberapa buah Sekolah Melayu telah dibina secara gotong-royong seperti Sekolah Melayu Tanjung Besar (1898 – Pengasasnya Dato’ Setia Ismail bin Maulud), Sekolah Melayu Batu Yon (1914 – Pengasasnya Dato’ Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Muhammad bin Dato’ (Engku) Wan Idris) dan Sekolah Melayu Gua (1917 – Penghulu Ngah). Kemudiannya, menyusul Sekolah-Sekolah Melayu yang lain sehingga meletus Perang Dunia II (1942).

[1]  Wawancara penulis dengan Hj. Mohd Salleh Hussein, 70 Tahun -  generasi ke-8 Waris Tun Ibrahim pada 20 Disember, 2011 di Kg. Koi, Pos Damak, Jerantut Pahang Darul Makmur.
[2]   Ahmad Kotot : Lahir 10 Jun, 1894 di Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Penulis Melayu (Malaysia) pra Perang Dunia II (1942-1945).  Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau menggunakan beberapa nama pena seperti Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut. Pendidikan : Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus Darjah 5 (Sekolah Melayu).  Pernah menjadi guru sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala Lipis. Menerima Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka (1916-1918).
[3] Gelaran Orang Besar Berempat di Ulu Pahang (Pahang) ini berubah dalam era pemerintahan Bendahara Sewa Raja Tun Ali ibni Tun Koris (Bendahara Pahang 1806-1857), tetapi dari segi statusnya sebagai “wakil mutlak” pemerintah, pembesar terkanan, dan kawasan pemerintahannya tidak berubah, seperti dahulukala jua.
[4]  Senarai Nama Pegawai Daerah Lipis Era British (1888-1957) : (1)G.E. Cator (1911-1912), (2) W.R. Boyd (1912-1913), (3) R.C. Cussen (913-1914), (4) S.W. Jones (1914-1915), (5) W.M. Millington (1915-1919), (6) R.C. Cussen (1919-1920), (7) Captain J. Huggins (1920-1921), (8) W.M. Millington (1921-1922), (9) C.C. Brown (1922-1923), (10) Major S. Patterson (1923-1925), (11) L.A. Forbes (1925-1927), (12) William LIneham (1927-1930), (13) Captain H.N. Hunt (1930-1932), (14) H.J. Cockmen (1932-1936), (15) H.C. Rendle (1936-1949), (16) En. Ismail bin Baba (1949-1952), (17) En. Mohd Taib Andak (1952-1954), dan (18) En. Abd. Rahman bin Mohd Salleh (1954-1957).
[5]  Majlis Daerah Lipis (2009), Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Lipis, Penerbit : Majlis Daerah Lipis-Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia., hlm. 4.
[6]  Sekolah-Sekolah Kawasan Lipis 1888-1955 :  23 buah Sekolah Vernakular Melayu, 4 buah Sekolah Vernakular Tamil, 6 buah Sekolah Vernakular Cina, 1 buah Sekolah Rendah Inggeris, dan 1 buah Sekolah Menengah.


Sumber Rujukan

Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hj. Mohd Salleh bin Hussein, 70 Tahun, Kg. Koi, Pos Damak, Jerantut Pahang (Generasi Ke-8 Waris Tun Ibrahim).
Majlis Daerah Lipis (2009), Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Lipis, Penerbit : Majlis Daerah Lipis-Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia.


Saturday, 17 May 2014

(18) HIMPUNAN 101 MAKANAN HAMPIR PUPUS : ANJURAN JABATAN WARISAN NEGARA

ISTANA NEGARA LAMA - 17 MEI, 2014

PROGRAM HIMPUNAN 101 MAKANAN HAMPIR PUPUS dirasmikan oleh DYAM RAJA PUAN MUDA PERAK DARUL RIDZUAN - RAJA NOR MAHANI BINTI RAJA SHAHAR SHAH., D.K.A., S.P.C.M., P.C.M., jam 11.00 pagi.



HIMPUNAN 101 MAKANAN HAMPIR PUPUS seperti yang disenaraikan di bawah. Sebahagian daripada makanan ini dibuat demo semasa MAKAN TENGAH HARI bersama DYAM RAJA PUAN MUDA, manakala sebahagian lagi dipertandingkan.

BERAS/PULUT

(01)   Lepat nasi dalam buloh
(02)   Pulut kukus dalam periok kera
(03)   Burasak
(04)   Ketupat daun tebu/buloh
(05)   Nasi lemuni
(06)   Pulut tetal
(07)   Lepat tumbok
(08)   Nasi ulam 44
(09)   Nasi maman

KUIH-MUIH/MANISAN/PENCUCI MULUT

(10)   Apam daun rambai
(11)   Opok-opok
(12)   Ubi gadong rebus cicah kelapa parut
(13)   Gelamai tepung
(14)   Ganti tandan jagung
(15)   Kuih emas sejemput
(16)   Bingka daging
(17)   Kuih kering
(18)   Sagun
(19)   Telur kobis
(20)   Bertih padi
(21)   Ketupat ubi
(22)   Bingka ubi gajah
(23)   Putu perak
(24)   Penjan ubi
(25)   Bingka sawit
(26)   Keropok lekor kulit ikan
(27)   Kuih serabai
(28)   Kuih batang buruk
(29)   Kuih bunga
(30)   Kuih peniling
(31)   Tepek pisang
(32)   Epok-epok
(33)   Kulit cempedak goreng
(34)   Halwa betik
(35)   Bubur anak lebah
(36)   Halwa maskat
(37)   Pengat nangka masak
(38)   Gula ketuk
(39)   Gula tarik
(40)   Halwa cabai
(41)   Wajik ibu kayu
(42)   Halwa semia
(43)   Manisan kelapa
(44)   Bingka ubi tiga suku
(45)   Dodol kukus tahi minyak
(46)   Ais kepal

LAUK-PAUK

(47)   Ikan bakar dalam tanah liat
(48)   Masak lemak belulang
(49)   Masak lemak daging mumbang kelapa
(50)   Ikan belotak
(51)   Dadar telur ikan loma
(52)   Ikan sungai masak dalam buluh
(53)   Jagung dalam buluh
(54)   Siput sawah campur buah kundang
(55)   Gulai kawah daging umbut pisang
(56)   Sambal tumis siput gondang
(57)   Sambal tumis umbut kantan
(58)   Ikan pindang daun sernia
(59)   Botok-botok ikan
(60)   Gulai asam rong
(61)   Sup gamat
(62)   Telur pindang
(63)   Ketupat sotong berlemak
(64)   Gulai otak lembu
(65)   Sup nelayan
(66)   Masak lemak kulat sisir
(67)   Daging kambing buah ara
(68)   Ubi keliling masak daging gulai kawah
(69)   Siput gondang goreng
(70)   Pais ikan keramat
(71)   Rendang pedas kelepong
(72)   Masak lemak cili api cendawan tahun
(73)   Gulai kering ikan sungai dengan asam gelugur
(74)   Paceri kedondong
(75)   Gulai perah ikan keli
(76)   Gulai udang anak air dengan daun gelugur
(77)   Sotong sumbat kelapa
(78)   Buah ketereh masak lemak putih

SAYUR-SAYURAN/BUAH-BUAHAN

(79)   Kerabu umbut kelapa Lenggong
(80)   Kerabu umbut rotan bakar
(81)   Kerabu umbut tepus gajah
(82)   Kerabu beko
(83)   Acar pisang gala
(84)   Gulai kemahang
(85)   Kerabu pucuk mengkudu
(86)   Rojak betik
(87)   Rendang pucuk ubi
(88)   Asam sulur ke;adi
(89)   Kerabu bunga nipah
(90)   Acar umbut kelapa
(91)   Kemahang bakar dengan air asam
(92)   Kerabu sare
(93)   Kerabu kadok

SAMBAL/PENCICAH

(94)   Kebebe
(95)   Sambal neraka
(96)   Sambal kulat sisir
(97)   Sambal serai
(98)   Sambal lengkuas
(99)   Sambal hitam ikan bilis
(100) Coleh buah setoi
(101) Lempeng perah/sambal perah/sambal rong

Para penggemar makanan-makanan ini boleh mendapatkannya di mana-mana negeri di Malaysia, manakala pewaris dan pembuat makanan ini boleh mempromosikannya secara komersil.

SELAMAT MENCUBA !

Tuesday, 13 May 2014

(17) DATO' MAHARAJA SETIA RAJA HAJI WAN DAUD BIN PANGLIMA PERANG WAN PAHANG : PENGASAS PEKAN KUALA LIPIS 1863


Penulis :
Noorhayati Daud (hayati6768@gmail.com)
(Guru Kanan - SMK Seri Lipis)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Pekan Kuala Lipis mula dikenali oleh masyarakat tempatan dan para pengunjung asing sebaik sahaja Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Panglima Perang Wan Pahang dilantik menjadi Orang Besar Kuala Lipis, dan diberi autoriti memerintah Lembah Sungai Lipis. Gelaran Orang Besar Kuala Lipis ini dianugerahkan oleh Bendahara Wan Ahmad ibni al-Marhum Tun Ali (1863) sebaik sahaja baginda dilantik menjadi Bendahara Pahang (1863) kerana mengenang jasa-jasa Orang Besar itu dalam Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang.  Dato’ Maharaja Seia Raja Haji Wan Daud lenih dikenali dengan panggilan Orang Kaya Haji merupakan salah seorang Panglima Perang Jelai yang amat perkasa, taat setia, dan berbuat jasa yang begitu besar kepada Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali semasa Perang Saudara. 
  
Sebaik sahaja Dato’ Maharaja setia Raja Haji Wan Daud diangkat menjadi Orang Besar Kuala Lipis, beliau lalu membuat kediaman di Kuala Lipis bersama saudara-maranya yang terdekat, dan mula meneroka kawasan Kuala Lipis yang ketika itu dipenuhi hutan-belantara. Menurut satu versi oral tempatan, tidak semudah itu untuk membuka kawasan hutan-belantara seperti Kuala Lipis ketika itu kerana perlu mematuhi "syarat-syarat pembukaan tanah” seperti yang diamalkan dalam masyarakat primitif dan tradisional.  Pada masa itu, Kuala Lipis masih menjadi tempat tinggal orang Asli yang padat. Namun begitu, dengan kewibawaan Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud, Kuala Lipis yang berkeadaan hutan-belantara telah dapat diterokai, dan Batin orang Asli yang mengetuai masyarakat etnik Semai ketika itu, juga dapat ditundukkan di bawah kepimpinan beliau.

 Penerokaan Kuala Lipis sebagai sebuah petempatan baru membawa kepada kemasukan saudara-mara terdekat Orang Besar Lipis  itu, dan juga orang-orang Melayu yang mendiami perkampungan tradisional yang berhampiran seperti Budu, Benta, Penjom, Mela, Kecau Tui, Lembah Bama, Ulu Teris, Gua, dan Padang Tengku, Bukit Kota, Tanum, Bukit Betong, dan Ulu Jelai. Pembukaan terminal persinggahan para pedagang dan peniaga di tebing Sungai Jelai (Bandar Kuala Lipis lama) menjadikan tempat itu mula berkembang menjadi pusat jual-beli yang semakin sibuk. Sebahagian daripada para pedagang dari Hilir Pahang selain mudik melalui Sungai Lipis menuju Pekan Penjom dan Pekan Benta, mereka juga singgah di terminal Pekan Kuala Lipis, dan berjual-beli di sana. Sebahagian para pedagang mula mendirikan kedai-kedai yang diperbuat daripada kayu, dan atap rumbia atau nipah atau atap pedor, manakala sebahagian lagi masih suka tinggal di dalam rumah perahu (house-boat).  Pada masa ini juga, diagakkan, “Rumah Rakit” mula dibina oleh orang-orang Melayu dari Ulu Jelai berhampiran terminal persinggahan ini. Namun begitu, Pekan Kuala Lipis yang dibuka atas daya inisiatif Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud (1863), dari segi statusnya masih tidak boleh menandingi Pekan Penjom yang terlebih awal dibuka.  Malah, Pekan Kuala Lipis yang baru diasaskan itu masih tidak dapat menandingi Pekan Benta yang sudah menjadi terminal persinggahan perahu tongkang pedagang dari Hilir Pahang.   

Kemasukan orang-orang Melayu ke Pekan Kuala Lipis memungkinkan sebahagian orang Asli etnik Semai mula meninggalkan pekan tersebut kerana tidak sesuai dengan tempat itu yang mula menjadi perkampungan masyarakat Melayu. Namun begitu, versi oral tempatan juga menyebut bahawa sebahagian lagi terus menyesuaikan khidupan mereka di sana bersama masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila mereka dengan rela hati memeluk agama Islam di bawah pentadbiran Orang Besar Kuala Lipis itu, manakala segelintir orang Asli pula ada yang berkahwin dengan orang Melayu. Kehadiran Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud sebagai Orang Besar Kuala Lipis tidak diragui mengubah secara perlahan-lahan wajah Pekan Kuala Lipis. Versi oral tempatan meriwayatkan juga bahawa Orang Besar ini tidak semata-mata bergantung kepada hasil Lombong Emas di Selinsing (Ulu Jelai) dan pungutan cukai di Kuala Lipis, tetapi turut mengusahakan sawah padi yang luas bertempat di satu kawasan pamah (kini padang Sekolah Menengah Clifford) berhampiran muara Sungai Lipis, dan dusun buah-buahan (kini di sekitar Asrama Jururawat Kuala Lipis) berhampiran kediamannya menganjur ke tapak Panggung Wayang Lipis (sekarang – deretan kompleks kedai 3 tingkat) hingga ke sempadan terminal persinggahan di tebing Sungai Jelai (Bandar Lama Kuala Lipis).[1]          

            Dilihat dalam konteks elit tradisional Ulu Pahang, semasa awal pemerintahan Bendahara Wan Ahmad ibni Tun Ali (1863M), di Kawasan Lipis mempunyai beberapa Orang Besar, iaitu Dato’ (Engku) Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan Muhammad (OKIMPJ Ke-5) di Bukit Betong, Dato’ Setia Muda Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris di Bukit Kota, Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Panglima Perang Wan Pahang di Pekan Kuala Lipis, dan Dato' Setia Wangsa To’ Teh@Wan Teh bin Deris@Wan Deris (OKL Ke-12) di Penjom.  Keempat-empat Orang Besar ini sebenarnya mempunyai pertalian kekeluargaan yang sangat dekat.[2]        
           

[1]  Tanah Milik Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud@ Orang Kaya Haji : Sebahagian kawasan tanah di Pekan Lipis (1863-1889) asalnya dimiliki oleh Orang Besar Kuala Lipis ini.
[2] Lihat Naskah Salasilah Orang Lipis tulisan Mohammad bin Imam Abudllah Kilau. Naskah ini merupakan lakaran tulisan tangan (rumi) yang telah diusahakan oleh En. Mohammad bin Imam Abdullah Kilau berdasarkan cerita lisan ayahandanya (Imam Abdullah Kilau), dan datuknya Tok Sintam bin Imam Janai bin Tok Dahalek@Wan Hussein.  Naskah ini boleh dirujuk kepada En. Yusuf bin Mohammad, 59 tahun, pesara Pegawai FELDA di alamat No. 88, Kg. Kuala Atok, 27660 Raub, Pahang Darul Makmur.

Sumber Rujukan :
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Abdullah Kilau, Salasilah Orang Lipis, tulisan tangan (unpublished)
Noorhayati Daud, “Sejarah Kemunculan Orang Kaya Haji”, dlm. Jurnal WARISAN PAHANG, Bil. 1/2010 Mac, 2010.

Friday, 9 May 2014

(16) 6 BUAH SEKOLAH DAERAH LIPIS MENCAPAI USIA 100 TAHUN

KUALA LIPIS :
TAHUN 2014 menjadi tahun yang signifikan kepada SEKOLAH-SEKOLAH berikut kerana INSTITUSI PENDIDIKAN ini telah mencapai GENAP 100 TAHUN atau lebih penubuhannya.

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA KAWASAN LIPIS ingin merakamkan TAHNIAH dan PENGHARGAAN kepada PENGETUA dan GURU BESAR yang menjadi pemimpin sekarang atas kelangsungan, sumbangan, dan pencapaian institusi berkenaan sepanjang tempoh 100 tahun.

Tidak lupa juga kepada PENGETUA dan GURU BESAR yang terdahulu yang telah memimpin institusi masing-masing sehingga kita dapat saksikan perkembangannya sekarang.

SK TG BESAR  (1898-2014)   -   116 TAHUN

SK BUDU           (1899-2014)   -   115 TAHUN

SK MELA           (1909-2014)   -    105 TAHUN

SK CLIFFORD   (1913-2014)   -   101 TAHUN

SM CLIFFORD  (1913-2014)   -    101 TAHUN

SK BATU YON   (1914-2014)   -    100 TAHUN 

Bagi memperingati SEJARAH KEGEMILANGAN SEKOLAH - mungkin PERAYAAN 100 TAHUN boleh diadakan dengan kerjasama PIBG, dan juga JKK KAMPUNG masing-masing.

WASSALAM

Drs. WAN AMINUDDIN BIN WAN AB HAMID., AMP.
PENGERUSI
PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA KAWASAN LIPIS.

     

Tuesday, 6 May 2014

(15) MENGIMBAU PENUBUHAN PEJABAT PELAJARAN DAERAH LIPIS 1968-2009

Penulis :
Rokeman bin Abd Jalil (rbaj6644@yahoo.com)
(Pegawai - Pejabat Pelajaran Daerah Lipis - Pahang) 
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Pejabat Pelajaran Kuala Lipis (PPKL) yang ditubuhkan pada tahun 1968 pada mulanya hanya mempunyai tiga orang kakitangan, iaitu : seorang Penolong Penyelia Sekolah-Sekolah Pahang Barat (Ketua), seorang Pembantu Am Rendah (PAR) dan seorang lagi lebih dikenali sebagai ‘Boat Man’. Pusat operasi PPKL ketika itu ditempatkan di sebuah bangunan kayu peninggalan Pejabat Kaji Bumi Lipis.  Bangunan yang mempunyai prasarana yang amat terhad ini menempatkan sebuah bilik penyelia, sebuah bilik mesyuarat, sebuah stor dan selebihnya ialah ruang tamu yang juga menempatkan meja seorang PAR. 

             Fungsi utama PPKL ketika itu terhad kepada segala urusan berkaitan pembayaran gaji guru-guru, dan mengumpul data enrolmen pelajar serta guru.  Sungai Jelai masih menjadi lebuh raya utama bagi sekolah-sekolah yang didirikan di tebing sungai itu.   Tiga buah bot, iaitu : dua buah bot jalur (panjang) digunakan untuk mengangkut barang-barang dan penumpang, manakala sebuah lagi ialah bot laju.  Boat Man akan ditugaskan untuk membawa pegawai-pegawai melawat sekolah-sekolah yang tidak boleh dihubungi jalan darat seperti : SK Tanjung Gahai, SK Kuala Medang, SK Kuala Lanar, SK Jeram Bungor, SK Kuala Kenong, SK Kerambit, SK Jeram Landak dan SK Tanjung Yong melalui Sungai Jelai.[1]  Selain mengawal sekolah-sekolah di dalam daerah Lipis, PPKL juga dipertanggungjawabkan mengawasi 8 (lapan) buah sekolah di Ulu Tembeling dan  sekolah-sekolah di tepi sungai di daerah Jerantut.   Ketika itu, pengkalan bot bagi tujuan penyimpanan dan penyelenggaraan ditempatkan di SMK Clifford,[2] sehinggalah perkhidmatan bot ini dihentikan.[3]   
 
            Apabila projek pembinaan Pejabat Kesihatan Ibu dan Anak Daerah Lipis mula dilaksanakan (1979) di atas bekas tapak bangunan Pejabat Kaji Bumi Lipis, dan siap (1982), lalu PPKL yang beroperasi di situ terpaksa dipindahkan ke bangunan SK Clifford.[4] Pada tahun yang sama jugalah, PPKL ditukar nama kepada Pejabat Pelajaran Daerah Lipis (PPDL) ekoran penstrukturan baru Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Pelaksanaan penstrukturan baru juga membawa kepada penambahan kakitangan dari 3 orang kepada 10 orang.  Seorang Pegawai Pelajaran Daerah, dua orang Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Menengah dan Rendah), dua orang Penyelia Pelajaran Daerah (Menengah dan Rendah) dan 5 orang kakitangan sokongan : Pembantu Tadbir (PT), Pembantu Am Rendah (PAR), Pekerja Rendah Awam (PRA), dan Jurutaip.   Dengan perjawatan yang baru ini, fungsi Pejabat Pelajaran Daerah Lipis dapat diperluaskan mencakupi bidang kurikulum, kokurikulum dan pembangunan.  Pada tahun 2002, PPDKL sekali lagi turut terlibat dengan penstrukturan semula PPD seluruh negara di mana PPDL telah dikategorikan sebagai kumpulan Gred C, dan layak mendapat 29 orang dalam perjawatan baru.

            PPDL telah diterajui oleh (8) lapan orang Pegawai Pelajaran Daerah, iaitu : En. Yusuf Jaafar (1982-1988), Hj Mohd Fadzil bin Hj Abd Malek (1989-1993), Hj Abdullah bin Hj Abd Kadir (1994-1995), Hj Ahmad Kamal bin Hj Abd Hamid (1996-1999), Hj Mohd Baharin bin Harun (2000-2003), En. Mohamed bin Yahya (2003-2004), Hj. Zahari bin Hj.Uda., SMP., (2005-Mei 2009), dan Hjh. Shamsiah Hj Suradin., PKC.(Jun- Disember, 2009).  PPDL (sebelumnya PPKL) boleh berbangga dengan beberapa misi pendidikan yang dicapainya selama 42 tahun (1968-2010), dan cabaran terkini ialah bagaimana pusat pendidikan daerah ini berupaya memperkasakan 55 buah sekolah rendah (10,391 pelajar dan 562 guru), dan 14 buah sekolah menengah (7,283 pelajar dan 865 guru), terutama sekolah-sekolah di pedalaman Lipis.


[1] SK  ini masih wujud hingga sekarang kecuali SK Tg Yong terpaksa ditutup kerana kekurangan murid.
[2] Binaan asas bangunan dan tangga batu menuju ke sungai masih dapat dilihat hingga sekarang.  Lokasinya betul-betul di belakang kantin SMK Clifford, bersebelahan bengkel Kemahiran Hidup.
[3]  Perkhidmatan bot mula dihentikan apabila pemandu terakhir bersara, dan jawatan pemandu bot tidak lagi diisi. Pada tahun 1990, dua buah bot panjang dan sebuah bot laju yang sudah tidak digunakan telah diserahkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut kerana sekolah-sekolah dalam Daerah Lipis sudah boleh dihubungi oleh jalan raya.   
[4] Sejak tahun 1982, PPDL menumpang di bangunan SK Clifford hingga sekarang (2008).  Namun begitu, cadangan untuk mewujudkan bangunan sendiri telah dimasukkan dalam RM9. 

Sumber Rujukan :
Laporan Tahunan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis (1968-2009)


Monday, 5 May 2014

(14) PENGALAMAN SUKA-DUKA SEWAKTU BERKHIDMAT DI REPUBLIK CONGO (ZAIRE) 13 SEPT, 1960-13 JULAI, 1961


Penulis :
Jamin Ngah., PPN., PJK. 
(Bekas Anggota 4RAMD – Gurkha Malaya Ke Congo & Aktivis Koperasi)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Sebaik sahaja Negara Congo[1] diisyitiharkan merdeka oleh Kerajaan Belgium pada 30 Jun, 1960, tiba-tiba meletus krisis politik dalaman Congo[2] yang begitu meruncing, dan membawa kepada campurtangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).[3] Negara kita merupakan negara yang ke-16 menghantar pasukan tentera ke Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo.  Pasukan Khas yang pertama dihantar ke Congo ialah Batalion Ke-4 Regimen Askar Melayu Diraja di bawah Pegawai Pemerintahnya,  Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed.  Nama Misi : ialah Kumpulan Bantuan Peralihan PBB di Congo. Dalam misi ini, Batalion 4RAMD berperanan untuk menegakkan kestabilan politik dan membantu regim baru kerajaan yang dilantik, mempertahankan kedaulatan dan kebebasan politik, dan mengelakkan Perang Saudara.

YTM Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Tanah Melayu ketika itu telah berpesan kepada perajurit kita,

“Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata. Pemergian tuan-tuan ke Republik Congo kerana hendak mengawal keamanan dan keselamatan negara yang baru merdeka itu, dan bukanlah hendak bunuh membunuh. Tidaklah syak atau bimbang bahawa tentera kita memang layak menjalankan kerja-kerja dan kewajipan mereka dengan sempurna. Oleh itu, tuan-tuan akan berangkat dengan membawa bersama-sama harapan dan amanah yang besar dari rakyat dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, dan juga rakyat seluruh dunia yang dicintakan keamanan”. 

Batalion ini telah bertugas selama setahun di sana dan kembali ke tanahair pada 18 Julai, 1961.  Pasukan ini telah ditugaskan di beberapa kawasan, iaitu Markas Taktikal di Bakavu, satu kompeni di Kindu, satu kompeni di Goma, dan satu kompeni lagi di Albertville. Berdasarkan komitmen yang dipamerkan oleh pasukan ini, maka satu kompeni telah diberi kepercayaan untuk menghancurkan pemberontak-pemberontak puak Buluba di Nyuzu, iaitu sebuah pekan di utara Katanggu.  Batalion Ke-4RAMD telah dianggap satu pasukan tentera yang terbaik di Tanah Melayu ketika itu, dan pernah digelar “Gurkha Malaya”. Gelaran ini diberikan disebabkan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang, terutama dalam bidang kawat, sukan, menembak, dan mempunyai disiplin yang sangat tinggi.  Bagi tujuan memilih askar-askar kita ke Congo, saya dan rakan-rakan dalam batalion ini dikehendaki menjalani satu “Latihan Khas” secara bersama dengan Tentera British di Sungai Besi (Kuala Lumpur). Saya ialah salah seorang Anak Pahang (Kuala Lipis) yang telah terpilih untuk menyertai kumpulan yang akan dihantar ke Congo. Sebelum berangat ke Congo, saya dan rakan-rakan terpaka menjalani latihan intensif siang dan malam di Pusat Latihan Polis (Kuala Lumpur), dan kemuncak latihan tersebut ialah taktik menghadapi “letupan gas pemedih mata” di mana saya dan rakan-rakan telah mengalami keadaan separuh mati. 
         
            Al-Marhum Baginda Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) sewaktu menerima tabik hormat telah menyampaikan ucapan, dan merestukan keberangkatan Batalion Ke-4RAMD dari Kem Mentakab (Pahang) menaiki trak menuju Pelabuhan Port Swettenham.   Dari Port Swettenham, kami menaiki Kapal Perang Navy (USA) belayar menuju Pelabuhan Metadi (Congo). Dalam pelayaran yang memakan masa 1 bulan itu, kami telah terkena ribut yang amat dahsyat dan gelombang ombak laut yang menggunung. Ramai rakan-rakan dalam pasukan yang terkena mabuk laut, dan hampir-hampir menemui ajal. Setibanya di Pelabuhan Metadi (Congo), kami terus dibawa ke Kem Tentera Nigeria. Malangnya, segala “ration” yang kami ada, tidak dibenarkan keluar dari kapal oleh Tentera Congo. Mujurlah kami mendapat bantuan makanan, beras dan ikan daripada Tentera Gana. Sewaktu nasi dan ikan belum masak, kami sudah berebut-rebut mengelilingi kawah kerana sangat lapar. Kapten Syed Alwi yang menjadi tukang masak pasukan kami mengeluarkan air mata apabila melihat anggota tentera kita ketika itu makan dalam keadaan yang sedemikian rupa. Kami juga hampir-hampir bergaduh dengan Tentera Indonesia kerana sedikit salah faham, tetapi akhirnya pasukan kami dipindahkan ke kem lain. Dalam peristiwa lain, Lt. Omar yang keluar malam berseorangan telah diserang oleh empat orang Tentera Congo, tetapi keempat-empat mereka lari lintang pukang apabila menerima tendangan dan pukulan silat maut daripada beliau. 

          Keadaan sosio-ekonomi Congo ketika itu amat menyedihkan. Rakyat pribumi Congo hidup dalam serba kedaifan. Mereka mengutip sebarang makanan yang ditemui dalam tong-tong sampah dan di jalan-jalan tanah merah, atau makan ulat-ulat di pokok. Sewaktu Congo dalam pemerintahan Regim Leopold, rakyat pribumi Congo mengalami penderitaan yang serius di bumi mereka sendiri, sedangkan orang kulit putih tinggal dalam serba kemewahan. Ramai wanita pribumi Congo yang cantik-cantik telah dijadikan perempuan simpanan, dan melahirkan zuriat kacukan. Rakyat pribumi Congo terbiar tanpa pekerjaan, dan bergelandangan tanpa tujuan hidup.  Tidak ada sebarang rancangan pembangunan sosio-ekonomi semasa era pemerintahan penjajah Belgium.  Kebanyakan pemuda-pemudi Congo menghabiskan masa dan wang mereka di kelab-kelab malam yang banyak di waktu itu. 

          Di pekan-pekan kecil, keadaan di pasar amat menjijikkan. Daging binatang seperti gajah, buaya, dan ular misalnya dilambak bertimbun begitu sahaja di atas tanah.  Kaum wanita bangsa Congo ke pasar tanpa raga, dan membungkus barangan yang dibeli dengan kain sahaja.  Layanan penduduk pribumi dan orang kulit putih berbeza. Orang kulit putih mempunyai pasar membeli-belah berasingan.  Orang kulit putih juga duduk berasingan dengan penduduk pribumi dari segi pengangkutan awam. Kita dapat menyaksikan kenderaan awam seperti bas disambung seperti treller, di hadapan untuk orang kulit putih, manakala di belakang khas untuk orang Congo. Kolam renang hanya dibenarkan untuk orang kulit putih. Semua jenis perniagaan dimonopoli oleh orang kulit putih. Tidak ada barang yang halal dijual ketika itu. Kemudahan asas seprti jalan raya, api dan air hampir tidak ada.  Masjid tidak kelihatan dibina meskipun ada orang Islam. Gereja begitu banyak sekali didirikan.  Selain itu, apa yang mengejutkan saya ialah pada waktu ada suku kaum Congo yang memakan daging manusia.  Menurut kaum pribumi Congo yang saya temui, “daging manusia sedap rasanya, tetapi yang paling sedap ialah daging orang puteh”.     

       Jadi, sebaik sahaja Congo diisytiharkan merdeka, rakyat pribumi Congo telah bangun memberontak terhadap penjajah yang selama ini hidup dalam syurga di tanah air mereka, sedangkan mereka hidup di bumi mereka dengan penuh penderitaan. Rakyat kulit putih yang berada di Congo menjadi begitu cemas apabila ada di kalangan mereka yang dibunuh, dan kepentingan perniagaan serta kehidupan mewah mereka selama ini terancam. Kerajaan Congo yang baru ditubuhkan ternyata tidak berupaya mengawal kekacauan yang meletus, lalu Perdana Menterinya terpaksa mendapatkan bantuan PBB. Krisis politik Congo semakin rumit apabila ada  campurtangan Rusia.[4]Rusia telah memberi bantuan peralatan ketenteraan yang membolehkan Patrice Lumumba (Perdana Menteri Congo) melancarkan serangan ke atas Katanga di bawah pimpinan Tshombe. Serangan ini tidak berjaya, lalu Joseph Kasavubu (Presiden Congo) memecat Lumumba, dan melantik Kolonel Mobutu untuk mengepalai Tentera Kongo sekaligus sebagai Perdana Menteri yang baru.[5]  

            Saat yang paling getir ialah apabilah pasukan kami diberi kepercayaan untuk untuk menghancurkan pemberontak-pemberontak puak Buluba di Nyuzu, iaitu sebuah pekan kecil di utara Katanggu. Pasukan Tentera PBB[6] yang lain tidak begitu berani untuk mara ke situ kecuali Gurkha Malaya.  Di bawah pimpinan Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed, pasukan kami berada di barisan hadapan mendahului Pasukan Tentera PBB yang lain. Guru Agama yang turut bersama Pasukan Gurkha Malaya  ketika itu ialah Kapten Ali Basiron.  Sewaktu memasuki Katanga meskipun dengan iringan puluhan kereta perisai dan trak, serta jet pejuang, tetapi saya merasakan peluang Pasukan Gurkha Malaya dan Tentera PBB yang lain untuk pulang hidup amat tipis memandangkan pihak musuh yang terlalu besar jumlahnya, dan kuat pula. Di Katanga, Pasukan Gurkha Malaya dan Tentera PBB majoriti tidur berdiri dalam kubu yang penuh dengan air tanpa makan nasi. Bekalan makanan seperti roti dan biskut amat terhad kecuali daging babi bekalan Tentera Amerika. Bagi tujuan untuk melakukan serangan terhadap musuh, maka semua Tentera PBB diarah untuk membawa bersama mereka senjata yang perlu sahaja, terutama bagi kegunaan serangan nanti. Ketika itu, saya tidak dapat menahan perasaan, dan tidak sedar air mata jatuh berlinangan. Hati saya juga turut berkata, “di sinilah mungkin aku mati, dan tidak dapat bertemu dengan ibu bapa lagi”. Ketika itu, saya benar-benar menyerahkan diri dengan tulus ikhlas kepada Allah swt.

            Di bawah pimpinan Kapten Ali Basiron Pasukan Gurkha Malaya sebelah malamnya selepas solat Isyak, kami terus melakukan sembahyang hajat dan bersalam sambil bermaaf-mafan. Kami selanjutnya terus berzikir sepanjang malam tanpa henti  dengan harapan kami mendapat rahmat dan perlindungan Allah swt. Tepat jam 6.00 pagi waktu tempatan, serangan ke atas musuh yang jumlahnya 4 kali ganda dimulakan secara berperingkat-peringkat, tetapi alhamdulillah dengan kebesaran dan kuasa Allah swt. serta iringan doa rakyat Malaya ketika itu, musuh yang besar jumlahnya itu bukan sahaja tidak langsung menyerang balas serangan kami, tetapi semuanya habis cabut lari meninggalkan kubu dan senjata mereka. Peristiwa ini benar-benar ajaib dan menakjubkan.  Saya kira hal ini berlaku disebabkan keikhlasan ahli pasukan menyerahkan diri kepada Allah swt., dan berkat solat jemaah, solat hajat dan zikir yang diamalkan di samping berdisiplin, semangat waja, dan tidak gentar menghadapi kematian.  Dengan kemenangan itu, Gurkha Malaya di bawah pimpinan Lt. Kol. Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed bukan sahaja mendapat pujian, tetapi juga amat disegani oleh rakan-rakan Tentera PBB yang lain. 

Sekembalinya ke Malaya, kecemerlangan Gurkha Malaya bertugas di Congo itu telah mendapat pujian dan pengiktiarafan KDYMM Yang Dipertuan Agong dengan menganugerahkan gelaran “Diraja” pada 23 Mac, 1961. Tidak terkecuali pihak PBB juga turut mengiktiraf kehebatan Gurkha Malaya seperti nukilan di bawah melalui Setiausaha Agung PBB – U Thant, :

"I wish to express the highest appreciation of the UN for the outstanding contribution made by the troops of Malayan Contigent in the UN Force in the Congo towards achievement of the UN objectives in Congo... you have done a splendid job and have earned the highest appreciation of your services both from the UN and from the Republic of the Congo”.  - U Thant.
  
[1] Congo Free State di bawah kawalan Raja Leopold II diambilalih oleh Kerajaan Belgium, atas nama “Belgian Congo” (1908). Regim Leopold memperolehi Wilayah Congo di Konvensyen Berlin (1885), dan menjadikan Tanah Congo sebagai “harta persendirian”, dan menamakan “Congo Negara Bebas” (Congo Free State).  Regim Leopold membina infrastruktur seperti jalan keretapi di pesisiran pantai menghala ke Leopoldville (Ibu Ngara Congo – sekarang Kinshasa). Infrastruktur ini bertujuan meningkatkan modal Leopold dan kroninya mengeksploitasi khazanah Congo dan orang-orang Afrika. 
[2] Republik Congo (Belgian Congo) : Perdana Menteri Pertama disandang oleh Patrice Lumumba, manakala Presiden Congo dijawat oleh Joseph Kasavubu. Lebih kurang 100,000 Belgian yang tinggal di Leopoldville (Ibu Negara Congo) menjadi panik.  Kejadian ini menyebabkan Kerajaan Belgium menghantar Tentera Belgium ke Congo untuk melindungi Belgians di sana sedangkan tindakan ini adalah tidak sah, malah Kerajaan Congo yang baru juga tidak mengundang mereka.  Situasi politik Congo menjadi lebih gawat apabila Katanga (Congo Selatan – kaya pengeluar 60% uranium dunia dan pengeluar 80% industri berlian dunia) diisytiharkan merdeka oleh Moise Tshombe, seorang pemimpin tempatan Katanga. Tshombe disokong kuat oleh Pemilik Syarikat Eropah di Katanga.
[3]  Perdana Menteri Congo, Patrice Lumumba telah merayu bantuan PBB, dan Sekuriti Council telah menyediakan 10,000 troops untuk mengembalikan kestabilan politik dan membantu membangunkan ekonomi.  Pasukan PBB hanya dibenarkan menggunakan kekuatan ketenteraan sebagai pertahanan, dan tidak boleh menyebelah dua pihak yang berkrisis, iaitu pihak Kerajaan Congo di Leopoldville, dan Kerajaan Tshombe di Elizabethville.
[4] Perdana Menteri Congo, Patrice Lumumba meminta PBB menggunakan tentera untuk melemahkan kuasa Tshombe di Katanga, tetapi Dag Hammerskjöld (Setiausaha Agung PBB) ketika itu enggan berbuat demikian, lalu Lumumba menuduh PBB menyebelahi Tshombe, dan juga pemilik syarikat Eropah di Katanga. Kemudian, kemarahan Lumumba terhadap PBB menyebabkan beliau meminta bantuan Rusia.
[5] Lumumba akhirnya mati dalam satu konspirasi pembunuhan ke atasnya semasa beliau menubuhkan Kerajaan Pembangkang setelah beliau dipecat. Berdasarkan peristiwa ini, nyatalah bahawa peperangan yang meletus di Congo adalah perang saudara, yakni sesama pribumi Congo. 
[6]  Tentera PBB :  Malaya, Indonesia, Etopia, Pakistan, India, Jepun, Amerika dan Britain.


Sumber Rujukan :
www.ramd.mil.my (Urusetia Askar Melayu Diraja, Malaysia (2009)