Thursday 24 April 2014

(03) SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SENI SILAT DAERAH LIPIS

Penulis
Ramly bin Rasul (irrynie@hotmail.com)
(Guru Kanan - SMK Kuala Lanar)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Lewat abad ke-21M ini, “seni silat” atau “pencak silat” merupakan cabang seni mempertahankan diri yang semakin mendapat perhatian sama ada di dalam negara maupun di luar negara. Selain Malaysia dan Indonesia, beberapa buah negara di Asia dan Eropah amat kagum dengan kehebatan Seni Silat Melayu. Fenomena ini jelas dapat diperhatikan sewaktu berlangsungnya Pertandingan Silat SeDunia.   

   Kamus Dewan mentakrifkan ‘seni’ sebagai karya indah yang diciptakan, manakala ‘silat’ adalah sejenis permainan menangkis serangan yang di dalamnya terdapat serangan dan bela diri sama ada tanpa senjata atau bersenjata.  Rumusannya, “seni silat” merupakan satu permainan dan pengetahuan yang berkaitan dengan gabungan rahsia mempertahankan diri dan permainan seni bela diri dalam gaya gerak tari yang mempunyai  nilai estetika yang tinggi.[1]

      Dari segi sejarahnya, seni silat ini dikatakan berasal dari Nusantara, khususnya Indonesia, dan kemudiannya warisan pertahanan diri Melayu ini mula tersebar di Semenanjung Tanah Melayu seawal-awalnya sewaktu kegemilangan Kerajaan Melayu Majapahit menguasai Nusantara pada abad ke-12M lagi.  Seni silat mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa disebabkan “kesenian”nya seperti langkah, hemburan, lompatan, gerak tarinya, dan amalan kerohaniannya. Gabungan keseluruhan gerak itu ternyata telah mewujudkan pelbagai kerahsiaan, keindahan dan “intuition” yang bersepadu.[2] Dalam tradisi seni silat, ilmu mempertahankan diri menjadi alat yang penting bagi setiap individu.  Ilmu mempertahankan diri ini dari segi praktisnya perlu melalui beberapa tahap, bermula daripada kemahiran gerak tangan sehingga kepada penggunaan beberapa jenis senjata seperti sepeti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, kerambit, lembing, tombak, perisai dan sebagainya.[3]  

            Sejarah awal seni silat di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) adalah hasil adapatasi dan inovasi pelbagai jenis dan sumber seni silat yang dikuasai oleh guru utama-guru utama silat atau tokoh-tokoh yang menguasai dunia persilatan di peringkat desa  atau daerah tertentu satu ketika dahulu. Warisan seni silat ini kemudiannya diajar dan dikembangkan di desa-desa, mukim-mukim, dan daerah-daerah.  Kini seni silat terus hidup, dan dikembangkan di institusi-institusi pendikan dalam pelbagai aliran silat seperti Silat Gayung, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Lincah, Silat Lintau, dan pelbagai jenis seni silat lagi.

           Dalam konteks sejarah pertumbuhan dan perkembangan seni silat di negeri Pahang, ia dipercayai dipengaruhi oleh warisan seni silat yang tersebar di Semenanjung Tanah Melayu sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka lagi.  Di Ulu Pahang, sekadar menyebut beberapa tokoh panglima dan pahlawan Pahang seperti : Panglima Wan Pahang bin Wan Muhammad, Panglima Kiri Wan Embong bin Wan Idris, Panglima Kiri Setia Raja Wan Muhammad bin Wan Idris, Wan Daud bin Wan Pahang, Panglima Ibrahim Tujuh Lapis, Orang Kaya Sentul bin (Wan) Teh, Imam Perang Indera Gajah, Mat Kilau bin Imam Rasu, Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan, dan Haji Abdul Rahman Kecau yang terlibat dalam “Perang Saudara” (1857-1863), merupakan sebahagian “wira-wira tempatan” yang mempunyai “ilmu persilatan” yang amat tinggi, dan sukar ditandingi. 

Begitu juga dengan para pahlawan dan pendekar yang muncul dalam beberapa dekad kemudian seperti : Panglima Garang Abdul Samad, Pendekar Endor, dan Pendekar Sutan Muakat dikatakan turut mempunyai kewibawaan ilmu persilatan yang tidak kurang hebatnya. Dipercayai wira-wira inilah yang menurunkan sebahagian kepandaian mereka dalam ilmu persilatan kepada pendekar-pendekar generasi lewat tahun 1920-an seperti : Pendekar Wahab (Kechau), Panglima Sam (Kecau), dan Pendekar Osman Gagah (Benta), dan lain-lain yang masih ada hingga sekarang.

   Mengikut satu versi oral, perkembangan silat di daerah Lipis, hampir keseluruhannya dipengaruhi oleh “seni silat pulut”. Lazimnya seni silat pulut berfungsi sebagai persembahan di majlis-majlis perkahwinan, keramaian atau menyambut para pembesar. Meskipun begitu, seni silat tersebut kemudiannya diadapatasi untuk menjadi seni mempertahankan diri. Abad moden kini menyaksikan “seni silat” semakin berkembang dan diminati dengan kemunculan pelbagai jenis silat seperti : Silat Sendeng Malaysia, Silat Tongkat, Silat Damping Dua Belas, Silat Menanti, Silat Pusaka Hang Tuah, Silat Kalimah,, dan Silat Gayung Laksamana sebagaimana yang dapat disaksikan di sekolah-sekolah, dan juga di kampung-kampung di Daerah Lipis (Pahang).  Beberapa kumpulan Seni Silat Warisan Melayu Lipis bergerak cergas dengan mengadakan latihan dan persembahan seperti yang dapat dilihat di Kecau, Bukit Betong, Penjom dan Bandar Kuala Lipis.  Sambutan yang baik generasi abad ke-21M terhadap seni silat setidak-tidak ia dapat menyumbang ke arah pendisiplinan dan penyuburan jatidiri di samping mengembangkan warisan budaya bangsa. Dalam konteks memperkasakan warisan bangsa, program pembangunan Seni Silat Melayu di Daerah Lipis perlu digerakkan secara sistematis, dan terancang terutama di kalangan golongan belia dan beliawanis.
  

[1] Anuar Abd Wahab (1987),  Silat Olahraga Selangor,  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka., hlm. V. 
[2] Jamaluddin A. Jalal (2000),  Meneroka Kuasa Minda, Kuala Lumpur : Akademi Aura Metafizik, hlm. 4.
[3]  Anuar Abd Wahab, op. cit., hlm. V.

Sumber Rujukan :

Anuar Abd Wahab (1987),  Silat Olahraga Selangor,  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa  & Pustaka.
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Jamaluddin A. Jalal (2000),  Meneroka Kuasa Minda, Kuala Lumpur : Akademi Aura Metafizik.

4 comments:

  1. saya ada mendengar cerita orang tua tua di Temerloh mengatakan Cikgu Jantan dan Pendekar Long pergi berguru dengan Wan Chik di Kuala Tembeling sekitar tahun 1912-1916. Apakah Wan Chik yang dimaksudkan itu adalah Wan Chik dari keturunan Perba Jelai?

    Pada tahun berapakah Tok Raja Wan Chik meninggal dunia?

    ReplyDelete
  2. Salam Sdr Naem Nazri. Berkenaan cikgu Jantan dan Pendekar long pergi berguru dengan Wan Chik di Kuala Tembeling di luar pengetahuan saya. Adapun Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Chik bin OKIMPJ Wan Muhmmad menginggal dunia di Bukit Kota dalam tahun 1916.

    ReplyDelete
  3. As Salam. Boleh sye tau lebih cerita pasal Pendekar Wahab?

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum , sebagai cucu kepada pendekar Wahab boleh kah saya tahu lebih lanjut tentang arwah ?

    ReplyDelete