Penulis :
Hj. Anuar Abdul Rahman (anuarozi@yahoo.com)
(Aktivis Sosial)
(Aktivis Sosial)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Pelbagai
mitos kita dengar tentang pembukaan Kampung Budu (selepas ini dieja Kg. Budu), dalam “Daerah Lipis”, Pahang. Pada waktu Kg. Budu belum bernama, petempatan
ini telah dihuni oleh masyarakat orang Asli. Di abad-abad kemudiannya, barulah
kampung ini mula diduduki oleh orang Melayu apabila Panglima Ibrahim telah menyusur Sungai Pahang, Sungai Jelai (Ulu
Pahang), memasuki Sungai Lipis, lalu sampai ke sebuah kawasan petempatan yang
kini dikenali sebagai Kg. Budu. Berdasarkan
cerita lisan orang tua-tua, lokasi asal Kg.
Budu dipercayai berpusat di banjaran kaki Bukit Raya menganjur melewati Kg. Jerning, Kg. Bukit Kolam, Kg. Beluan,
Kg. Lubok Hek, dan Kg. Basul sehingga menghampiri sempadan Ulu Dong (sekarang).
Ada juga sumber lain yang menyebut lokasi asal Kg. Budu terletak di permatang
ketiga Bukit Raya yang pernah disebut sebagai Kg. Besar.
Daripada
perspektif landskap, dan alam semula jadi, di Kg. Budu terdapat kawasan tanah
pamah yang luas dan strategik di celah-celah
permatang di kelilingi Bukit Raya, sesuai dijadikan kawasan petempatan di
samping wujud khazanah alam yang pelbagai. Batu-batan di Sungai Teka misalnya, didapati
berwarna hitam dipercayai kesan larutan
pelbagai bahan galian yang terdapat di bumi Kg. Budu. Menurut sesetengah cerita
pula, semasa Perang Jepun (1942), Sungai Tekalah yang menjadi tempat
perlindungan penduduk tempatan sehinggakan Tentera Jepun tidak nampak apa-apa, seolah-olah
terlindung daripada sebarang penglihatan. Malah, menurut seorang Pawang
Tempatan, “Batu-Batan Hitam” yang
terdapat di Sg. Teka ini amat baik untuk dibuat pagar rumah bagi melindungi
dari ganguan iblis dan syaitan.
Sejarah menyaksikan bahawa beberapa
kali Kg. Budu telah dilanda banjir besar, dan turut menenggelamkan
kawasan-kawasan di sekitarnya meskipun dari segi landskapnya, petempatan ini
berada di kawasan yang tinggi. Fenomena ini terus-menerus menjadi misteri, dan masih menimbulkan
persoalan. Adakalanya, Kg. Budu mengalami waktu kemarau yang panjang hinggakan
sungai-sungai, dan tasik-tasik menjadi kering kontang. Di Kg. Budu juga sebenarnya mempunyai
khazanah alam semula jadi yang begitu banyak yang memungkinkan kehidupan zaman
prasejarah wujud.[1]
Di Kg. Budu, ada tiga buah kampung yang dikaitkan dengan petempatan “Orang Bunian”, iaitu : Bukit
Perangin, Bukit Kolam, dan Bukit Perenti yang terletak di permatang
Bukit Raya menghala ke Ulu Dong. Pada zaman dahulu, masyarakat manusia biasa
mempunyai hubungan akrab dengan masyarakat Bunian. Namun begitu, hubungan
mereka terjejas, dan akhirnya terputus akibat ketamakan manusia yang sering
mungkir janji, dan tidak amanah. Daripada perspektif yang lain, Kg. Budu pernah
dianggap “A Sacred Village” pada zaman silam kerana kedamaian, kesucian,
dan keindahan landskapnya sehingga menarik perhatian masyarakat luar untuk
mendekatinya. Dahulukala, Kg. Budu yang amat besar ini merangkumi
berpuluh-puluh kampung yang dipisahkan oleh sungai-sungai, tasik-tasik
bukit-bukau, dan gunung ganang.
Sebelum Kg. Budu dibuka oleh Panglima Ibrahim, petempatan
ini diduduki oleh sekumpulan orang Asli
yang diketuai oleh Tok Batin Badu. Ketika itu bukan sahaja petempatan
orang Asli ini kaya dengan khazanah alam semula jadi, tetapi juga kaya dengan
sumber galian, terutama “emas”. Kedatangan Panglima Ibrahim ke Kg. Budu mendapat
tentangan hebat dari Tok Batin Badu sehingga mencetuskan persengketaan yang
berlarutan, dan akhirnya terjadi peperangan yang panjang antara mereka. Ada yang menyatakan, peperangan berlaku
berminggu-minggu atau berbulan-bulan sehinggakan mayat sudah menjadi bangkai di
muara Sungai Teka.
Setelah berjaya mengalahkan Tok Batin Badu, Panglima
Ibrahim telah mudik ke hulu Sungai Teka dan mendarat di sebuah tempat yang
dinamakan Lubuk Besar, dan kemudian mengasaskan
perkampungan Melayu sebagai Kg. Badu
tidak jauh dari situ sempena nama Tok
Batin Badu. Namun begitu, mengapa Kg.
Badu bertukar kepada Kg. Budu, ramai
sejarawan berpendapat perubahan ini tidak ada kena mengena dengan “budu”, sejenis makanan popular orang
masyarakat Kelantan seperti yang diandaikan segelintir pengkaji. Namun begitu,
apa yang pasti kebanyakan penduduk pribumi dimitoskan kononnya Kg. Badu berubah kepada Kg. Budu apabila di sana ditemui seekor
“anak berudu”yang amat besar.
Lubuk
Besar merupakan kawasan strategik, dan penampan kepada Kg.
Budu, dan petempatan-petempatan lain bahagian hulunya. Lubuk Besar menjadi pertemuan
dua muara sungai kecil, iaitu Alor Budu
dan Alor Gong. Di zaman kolonial British, Kg. Budu berjaya
dibakar oleh askar-askar British setelah Lubuk Besar tewas. Sejarah juga menyaksikan bahawa benteng
pertahanan di Kg. Napal dan Kg. Parit Dalam tidak dapat dipertahankan daripada
serangan askar Britsih yang agak kuat.
Di sini jugalah, para pejuang dan para pahlawan Pahang yang
mempertahankan tanah pertiwi terkorban. Oleh itu, tempat-tempat yang penuh
tragis ini dianggap “keras”, dan sering menjadi gangguan hingga ke hari ini.
Ada juga sumber yang tidak kurang pentingnya, iaitu orang
Melayu-Patani, dan Melayu-Kelantan pernah lari ke Kelantan,
dan kemudiannya sampai ke Ulu Pahang melalui Sungai Tanum turun ke Bukit Kota
(Bukit Betong) mencari perlindungan sehingga ke Kg. Budu. Dari segi bahasa, orang Melayu-Patani bertutur
dalam loghat Kelantan. Kehadiran mereka
di Budu diterima baik oleh Panglima Ibrahim. Menurut yang empunya cerita, kumpulan
inilah merupakan orang Melayu Kelantan yang mula-mula berhijrah ke Pahang, dan
membuka perkampungan di sebelah Ulu Semantan (sekarang dalam Daerah Raub). Demikianlah,
secebis kisah Kg. Budu dalam Lipatan Sejarah Pahang.
[1] Ada
pendapat bahawa tamadun yang wujud di Kg. Budu ini hampir sezaman dengan Tamdun
Melyu di utara, Tamadun Melayu Beruas, Tamdun Melayu Lenggung, dan Tamdun Kota
Gelanggi. Terdapat persamaan landskap, sumber air, bahan galian, dan sumber
hutan yang begitu banyak. Walau bagaimanpun, setelah berlaku perubahan iklim
yang besar keadaan ini mula memperlihatkan perubahan, yakni tasik-tasik menjadi
kering-kontang, dan sungai-sungai menjadi tohor sehingga menjadikan penduduk
pribumi terpaksa berpindah-randah mencari tempat yang baru. Daripada segi
adat-resam tempatan, terdapat unsur-unsur “animisme” seperti seperti menjamu
hantu, dan memuja kuasa-kuasa ghaib sebagaimana yang pernah diadakan di Bukit
Kipas (Kg. Budu) di zaman lampau.
Sumber Rujukan :
Anuar Abdul Rahman (2009), Secebis Kisah Dari Desa Kampung Budu, Penerbit : Ikatan Anak-Anak Watan Ibukota.
No comments:
Post a Comment