Cdr (B) Roslizan Haji Ahmad Mahidin., (TLDM)., KAT., PPS., PPA.
Season_rbam@yahoo.com
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Dalam lipatan Sejarah Pahang, dan dari kaca mata
pribumi nama Tok Gajah terukir sebagai salah seorang Pahlawan Terbilang Pahang. Itulah realitinya. Namun begitu, dari
kaca mata kolonial British, nama beliau terpahat sebagai nasionalis Melayu anti-British yang tidak kurang
pentingnya di samping Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan, dan Dato’ Maharaja
Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang di Pekan Kuala Lipis. Tok Gajah sebenarnya
merupakan perancang utama kepada penentangan terhadap British secara menyeluruh
di Pahang meskipun sebahagian rancangan tersebut gagal dilaksanakan.[1]
Menurut
“Salasilah Tok Gajah”, nama
sebenar beliau ialah Rasu Abdul Salam
bin Shahrum@Teuku Ali. Beliau juga
dikenali sebagai Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu. Dalam Perang Saudara
(1857-1863M) di Pahang, Imam Perang Rasu Abdul Salam menjadi
terkenal kerana khidmat bakti dan taat setia beliau kepada Wan Ahmad, putera al-Marhum
Bendahara Tun Ali yang berperang menentang kekandanya Bendahara Tun@Wan
Mutahir. Sebaik sahaja Perang Saudara
tamat (1863M), Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik
menjadi Bendahara Pahang (1863M), manakala Imam Perang Rasu pula dilantik
kemudiannya oleh Bendahara sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau
Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini dalam Daerah Jerantut). Walau
bagaimanapun, gelaran “Imam Perang
Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah
(Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam Perang Rasu
sesudah beliau menunjukkan kepahlawannya dalam Perang Selangor (November, 1873M).[2]
Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan
Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan,
terutama mengenai hal-ehwal Ulu Pahang.[3] Pada tahun 1883M,
Imam Perang Indera Gajah telah diamanahkan
memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang 1, 1882-1914M),[4]
mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok
Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12). Dalam hirarki politik tradisional Pahang, status
dan pengaruh Tok Gajah sebagai Orang Besar hampir menyamai taraf Orang Besar Berempat
Pahang.
Ayahanda
Tok Gajah, Teuku Ali@Tengku Ali berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung (Sumatera Barat, Indonesia) kira-kira 150 batu ke selatan
Medan, manakala bondanya bernama Siti Hajar@Tok Dinar binti Sheikh Ali, berasal
dari Kg. Temau, Dong (Raub, Pahang). Teuku Ali@Tengku Ali terpaksa berhijrah
dari Sumatera ke Tanah Melayu (1780M) bersama adiknya yang tengah,[5]
bersama 300 orang pengikut mereka dengan menaiki 12 buah kapal menyusur muara
Sungai Perak, lalu singgah di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Bidor.[6]
Sebahagian pengikutnya mengambil keputusan untuk tinggal menetap di Bidor
(Perak), manakala sebahagian lagi meneruskan perantauan mengikut Teuku
Ali@Tengku Ali dari Ulu Sg. Perak menjelajah hingga ke Ulu Sg. Lipis, lalu
menghilir Sg. Lipis sampai ke Temau (Raub). Di Kg. Temau, Teuku Ali@Tengku Ali
bertemu jodoh dengan seorang gadis Temau bernama Siti Hajar@Tok Dinar. Setelah
mengahwini Siti Hajar@Tok Dinar, lalu Teuku Ali@Tengku Ali menukar namanya
kepada Tok Shahrom. Tidak lama kemudian, orang kanannya yang
bersama-sama merantau bernama Malim Yunus (seorang ulamak Mendailing) telah mengambil keputusan meneruskan pengembaraan
mereka menghilir Sg. Lipis, dan Sg. Jelai sehingga tiba ke suatu petempatan
yang cukup sesuai kerana kawasannya tinggi, dan
berhampiran sungai pula, lalu diberi nama tempat itu Pulau Tawar.
Perkahwinan
Teuku Ali@Tengku Ali dan Siti Hajar@Tok Dinar telah melahirkan lima orang cahaya mata : Ranting
Mas,[7]
Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok
Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Arif. Tok Gajah telah berkahwin
beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti, Cik
Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik
Siti (Kuala Kenong) dan Tijah. Anak-anak
Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil
perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong,
Teh Ibrahim, dan Yang Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya
dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah memperolehi 8 orang anak. Antara yang
diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar. Anak-anak yang lain tidak diketahui namanya.
Tok
Gajah mempunyai pengaruh yang luas, dan mempunyai pengikutnya sendiri. Beliau berjuang
bersama-sama Dato’ Bahaman menentang penjajah British yang cuba menghuru-harakan
sosio-politik tradisional di Pahang. Tok Gajah juga tidak terkecuali mempunyai
hubungan yang begitu akrab dengan Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin
Wan Idris (OKIMPJ Ke-6)[8],
tetapi kemudiannya mereka membawa haluan masing-masing kerana berbeza halatuju perjuangan. Dalam era British, bersama-sama Dato’ Bahaman, Mat Lela, dan Mat Kilau, Tok Gajah terlibat dalam
pemberontakan Pahang (1891-1895M).
Pada penghujung
tahun 1891, tanpa diketahui oleh pihak berkuasa British, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah telah mengadakan “sumpah rahsia” di tepi
Sg. Silan dengan Orang-Orang Besar penting Pahang : Dato’ OKIMPJ Wan Muhammad bin Wan
Idris, Dato’ Bahaman, dan Imam Perang Indera Gajah. Dalam majlis
sumpah rahsia inilah mereka mengetahui taktir kotor kolonial British yang akan
mengambilalih pemerintahan Negeri Pahang, dan kemudiannya semua pembesar negeri
akan dibersarakan, sama sekali tidak dibenarkan mencampuri hal-ehwal
politik.
Pada tahun 1892,
pihak British mengeluarkan perintah untuk menangkap Tok Gajah, lalu beliau
melarikan diri ke Kuala Ampul (Kelantan), dan kemudiannya ke Seberang Engku
Ngah (Kuala Terengganu).[9]
Bagi menyambung misi perjuangan anti-British, Tok Gajah bersama Dato’ Bahaman,
Mat Kilau, dan Mat Kelubi pernah kembali ke Pahang, dan bertempur dengan
pasukan British di Jeram Ampai (Sg. Tembeling), tetapi serangan mereka kecundang,
lalu mereka mencari perlindungan di Ulu Lebir (Kelantan). Tok Gajah tidak dapat meneruskan perjuangan
anti-British hingga akhir hayatnya pada tahun 1901. Allahyarham Tok Gajah telah
disemadikan di Kampung Pasir Nering, Kuala Brang (Ulu Terengganu).
[1] Jang Aisjah
Muttalib (1972), Pemberontakan Pahang 1891-1895, Kelantan : Pustaka Antara.,
hlm. 174
[2] Zaffuan Haji Manap (2007) ,
Bingkisan Sejarah Raub : Rao dan Pagarruyung, Kuala Lumpur : Anjung Media
Resources., hlm. 111
[3] Kawasan Hulu Pahang Di
Bawah To’ Gajah : Bermula dari Pulau Tawar
menghala ke Batu Redap
hingga ke Kuala Piul; kawasan
dari Tanjung Sakti
hingga ke Kangsa ; kawasan
dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung, dan akhirnya, Lembah Sungai Budu (Lipis).
[4] Zaffuan Haji Manap, op. cit.,
hlm. 29
[5] Adik
yang bersamanya berkahwin, dan terus menetap bersama keluarganya di Bidor.
Salah seorang anaknya yang terkenal bergelar Datuk Awang Kelana yang pada suatu
ketika dahulu bersama dengan Datuk Maharaja Lela tetapi telah menukar haluan
berpihak kepada Inggeris di Perak. Berhijrah dan menetap di Kg. Temau (Daerah
Raub), lalu menukarkkan namamnya Shahrom (Tok Shahrom).
[6] Teuku Ali@Tengku Ali mempunyai 3 adik beradik,
tetapi adik bongsunya mahu menjadi Raja Bilah Paning setelah kemangkatan
ayahanda mereka. Untuk mengelakkan pertelagahan dan berlaku pertumpahan darah,
lalu berhijrah ke Tanah Melayu, ke Bidor (Perak). Adik yang bersamanya telah berkahwin
dengan wanita tempatan, dan terus menetap bersama keluarganya di Bidor. Salah
seorang anaknya yang terkenal bergelar Datuk Awang Kelana yang pada suatu
ketika dahulu bersama dengan Datuk Maharaja Lela, tetapi telah menukar haluan
berpihak kepada kolonial British di Perak.
[7] Zaffuan Haji
Manap, op. cit., hlm. 41. Ranting Mas binti Tok Shahrom berkahwin dengan Haji
Hassan Keramat (Kg. Temau), dan kedua-duannya mati ditembak oleh sepupu Ranting
Mas bernama Tok Zainal. Makam Ranting Mas dan Haji Hassan Keramat disemadikan di Hulu Temau, Raub, Pahang.
[8] Keakraban ini dapat diperhatikan sewaktu
mereka bertiga mengadakan “pertemuan rahsia” bersama Sultan Ahmad Al-Muadzam
Syah di Pulau Tawar (1891). Sila baca Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang.,
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka., hlm. 267.
[9] Ibid., hlm. 297
Sumber Rujukan
Anuar Abdul Rahman (2009), Secebis Kisah Dari Desa Kampung Budu, Penerbit : Ikatan Anak-Anak Watan Ibukota.
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Jang Aisjah Muttalib (1972), Pemberontakan Pahang 1891-1895, Kelantan : Pustaka Antara.
Zaffuan Haji Manap (2007), Bingkisan Sejarah Raub : Rao dan Pagarruyung, Kuala Lumpur : Anjung Media Resources.
Alhamdulillah, catatan ini persis cerita yang di sampaikan secara lisan oleh Al marhum ayah saya, Al Fatihah buat ayahku 🤲
ReplyDelete