Sunday, 27 April 2014

(06) TOK KAYA SENTOL BIN TOK KAYA TEH@WAN TEH : ORANG KAYA LIPIS KE-13



Oleh :
Mohamed bin Mohamed Sooud
(Waris Orang Kaya Lipis) 

Tok Kaya Sentol bin Tok Kaya Teh@Wan Teh ialah salah seorang elit tradisional Ulu Pahang yang tidak kurang pentingnya berbanding elit tradisional yang lain.  Menurut “Salasilah Orang Kaya Lipis”[1], Tok Kaya Sentol dari segi susunan Orang Kaya Lipis merupakan Orang Kaya Lipis Ke-13. Dalam sistem politik tradisional Pahang, meskipun Orang Kaya Lipis bertaraf Orang Besar Lapan (OBL), namun dari sudut sejarah, institusi ini dipercayai wujud sesudah Kota Melaka tewas di tangan Portugis (1511M).  Apabila Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis, ramai bangsawan dan Pahlawan Melaka mencari tempat perlindungan di luar Kota Melaka, termasuk pedalaman Pahang seperti Jelai dan Lipis, Ulu Pahang. Justeru, tidak diragui bahawa Hang Semaun@Hang Ismaun yang menjadi Orang Kaya Lipis I itu susurgalur keluarganya berasal dari Melaka.[2]

Menurut satu manuskrip Jawi yang dijumpai, ketika zaman mula-mula Bendahara Wan Ahmad ibni Bendahara Tun Ali memerintah Pahang (1863M), kononnya, ada seorang Bugis yang amat kebal tubuhnya berasal dari Tanah Bugis (Sulawesi) berada di Kuala Pahang (Pahang) untuk “berjual tikam”, yakni dia menahan tubuhnya untuk ditikam oleh orang lain. Orang Bugis ini mengikut satu sumber bernama Daeng Muhammad.[3] Adapun bayaran untuk menikam tubuh orang Bugis itu berperingkat-peringkat mengikut tempat yang ditikam.  Dada dan perut dikenakan bayaran 15 ringgit, rusuk dan belakang 10 ringgit, dan pinggang ke bawah 5 ringgit.  Sesiapa yang hendak menikamnya, bolehlah berbuat demikian mengikut bayarannya.   

Orang-Orang Besar Pahang beberapa kali telah memberi nasihat kepada orang Bugis itu agar menghentikan perbuatan tersebut, tetapi malangnya segala nasihat mereka tidak dipedulikan sama sekali, bahkan berlebih-lebih lagi megah dengan kehandalan dan kekebalan “apong penimbul”nya.  Ramailah orang dalam Pahang yang telah mencubanya, tetapi usahkan tubuh badan orang Bugis itu luka, lut pun tidak kerana mata keris orang muda yang menikam itu akan menjadi lembut apabila terkena badannya. Kemasyuran nama orang Bugis itu, dan sikapnya yang bermegah-megah itu lama-lama kelamaan tersebar di seluruh Pahang.  Malah, cerita-cerita mengenai keangkuhan orang Bugis itu juga tidak terkecuali telah sampai ke telinga Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad, lalu baginda bertitah, “jangan dilayan orang seperti itu”.   Mengikut satu sumber, Daeng Muhammad, Orang Bugis itu turut berbuat berjasa kepada Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863M), dan memohon daripada Baginda untuk dijadikan salah seorang Orang Besar Pahang, dan mentadbir suatu kawasan.[4] Permintaan ini amat mendukacitakan Bendahara Pahang itu kerana pada masa itu semua kawasan sudah mempunyai Orang Besar kecuali Lipis.

Berikutan dengan kejadian ini, maka empat Orang Besar Pahang berdatang sembah kepada Bendahara Pahang, iaitu Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan Muhammad,[5] Tok Setia Ismail bin Maulud, Imam Indera Gajah Rasu bin Shaharom@Teuku Ali, dan Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan memohon ampun dan limpah kurnia agar diperkenankan oleh Baginda kepada salah seorang daripada mereka bukan sahaja untuk mencuba kepandaian Orang Bugis itu, bahkan berlawan pun mereka sanggup. Maka jawab Baginda, “Beta sudah tau kebolehan Orang Kaya semua, tetapi apa yang beta sedang fikirkan sekarang, beta mau tahu kebolehan orang muda, bakal menggantikan Orang Kaya yang akan menjaga negeri ini, iaitu Sentol anak Tok Kaya Teh”.  Sebenarnya, ketika berlaku peristiwa ini, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12) baru sahaja dipecat jawatannya oleh Bendahara Wan Ahmad kerana gagal menjalankan  satu titahperintah.[6] Ketika itu, Sentol pula masih terlalu muda untuk dilantik sebagai Orang Kaya Lipis.

Demi didengar oleh Orang Kaya berempat itu akan titah baginda, maka Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris lalu merafak sembah, “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pacal tua ini, harap dipohonkan ampun, kiranya boleh patik merayu kepada Tuanku, usahlan Sentul itu dibenarkan bertarung dengan orang Bugis itu, biarlah salah seorang di antara patik-patik pacal ini berlawan, Tuanku”. Maka baginda pun tersenyum sambil bertitah, “Sudah beta duga hati Orang Kaya, tetapi pada pandangan beta bahawa Si Sentol ni dengan mudahnya dapat mengalahkan orang Bugis itu, percayalah”. Setelah didengar hujah baginda, maka keempat-empat Orang Kaya itu pun tunduklah, tiada berkata apa-apa lagi, lalu bermohon diri.

            Pada keesokan harinya, maka orang Bugis itu pun masuk mengadap Bendahara Pahang, lalu menyembah, “Ampun Tuanku, tidak ada lagikah orang negeri Pahang ini yang boleh bermain-main senjata dengan patik ? Jika tiada, harap Tuanku melantik patik sebagai Ketua Hulubalang negeri ini”.  Pertanyaan orang Bugis itu tidak sepatah pun dijawab oleh baginda, hanya baginda memandang ke arah Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris.  Maka Orang Kaya Jelai@Tok Raja itu tahu akan pandang baginda itu, lalu beliau berkata, “Wahai cik Bugis, memang ada lagi, iaitu kami telah cadangkan seorang anak muda kami, lihatlah dia lawanmu hari esok”.  Masa itu, Sentol ada di Balairong Seri.  Apabila dipandang oleh orang Bugis itu akan Sentul, orang Bugis itu pun tertawa di hadapan baginda, seraya berkata, “Baiklah, tetapi sayang budak muda ini mentah sangat lagi”. Lalu dijawab oleh Tok Setia Ismail dengan perasaan tersangat geram, “Ah, cubalah dulu, jangan bertambah sebelum makan, mungkin tak habis”.   Masa itu penuh sesak semua orang kenamaan di Balairong Seri (di Istana Pahang – di Kuala Pahang) masing-masing menahan geram akan tingkah laku orang Bugis itu di hadapan baginda sultan. 

            Keesokan harinya, berpusu-pusulah rakyat jelata, termasuk Orang-Orang Besar untuk menyaksikan perlawanan orang Bugis itu dengan Sentol bertempat di Kuala Pahang (Pekan Bandar Diraja).  Maka orang Bugis itu dengan bongkaknya mengadap Bendahara Wan Ahmad seraya bertanya, “Di manakah lawan patik itu?”. Lalu, salah seorang Orang Besar yang ada di majlis itu berkata, “Ada, tunggulah sebentar”. Lamalah mereka menunggu Si Sentol, masih juga belum muncul sehingga rembang.  Oleh itu, Bendahara Wan Ahmad telah menitahkan seorang biduanda untuk memanggil Si Sentol yang ketika itu berada di perahu (di muara Sungai Pahang) bersama ayahandannya Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12).  Kedatangan biduanda itu pada mulanya tidak dipedulikan oleh Tok Kaya Teh@Wan Teh, tetapi kemudian, Orang Kaya Lipis itu berkata kepada puteranya, Sentul, “Wahai anakku Sentol, berlengkaplah kamu menyampaikan hasrat rajamu, aku doakan, meminta kepada Allah supaya selamat pergi, selamat kembali, bawalah keris pusaka buatan Tok Baki, “Keris Penjom” itu, mudah-mudahan kita tidak akan aib di medan”.

             Sentol dengan segera meminta izin ayahandanya, lalu dicapai keris buatan Tok Baki itu serta disibaikan sehelai kain cindai dibahu kirinya naik ke darat dari perahunya terus berjalan menuju istana. Sesampai di istana, Sentul lalu menjunjung duli kepada Bendahara Pahang. Titah baginda, “Demi Sentol, pilihlah olehmu keris beta berpeti-peti itu, mana kamu suka pakailah”.  Sembah Si Sentol, “Daulat Tuanku, patik pohonkan ampun, adapun keris-keris Ke Bawah Duli Tuanku itu baik-baik semuanya, tetapi patik ingin cuba keris pusaka Lipis ini, ampun Tuanku”. Jawab baginda, “Baiklah”.   Maka tersebutlah kisah orang Bugis yang handal itu sedang bersedia di gelanggang pertarungan dengan sebilah pedang dan sebilah keris menanti Si Sentol yang akan menjadi mangsa.  Orang-orang Pahang yang mana berani masing-masing bersedia, apatah lagi Tok Raja Wan Idris dan Tok Setia Ismail kerana Sentol itu, “darah daging mereka”.  Mereka berkemas-kemas diri, menunggu masa sahaja, jika Si Sentol tumbang, mereka akan mengamuk kepada kaum keluarga orang Bugis itu.  Maka saat yang baik bagi Sentol, dia pun menyembah minta izin masuk bertarung. Bendahara Wan Ahmad mengizinkan Si Sentol masuk ke gelanggang pertarungan, lalu mendekati orang Bugis itu, seraya ditikamnya di “ulu hati” terus ke belakang.  Orang Bugis itu pun langsung tersungkur ke bumi lalu mati.  Kata orang yang empunya cerita, satu liang luka di ulu hatinya, tetapi tujuh liang tembus di belakangnya. 

         Sentol pun kembali meniarap di kaki Bendahara Wan Ahmad, lalu baginda bertitah, “Sungguhlah handal anak Tok Kaya Lipis ini, dan patutlah dia kita beri memerintah Lipis’.[7] Tidak lama selepas itu, Sentol pun dilantik sebagai Orang Kaya Lipis dengan gelaran Dato’ Setia Wangsa,[8] dalam usia yang agak muda.

[1]  Salasilah Orang Kaya Lipis@Tok Kaya Lipis : (1) Tok Kaya Hang Semaun, (2) Tok Kaya Abdul Hamid, (3) Tok Kaya Abdul Rahman, (4) Tok Kaya Bandu bin Tun Ibrahim, (5) Tok Kaya Muhammad, (6) Tok Kaya Abdul Hamid II, (7) Tok Kaya Kasar, (8) Tok Kaya Abdullah Hashim, (9) Tok Kaya Cendak, (10) Tok Kaya Busu, (11) Tok Kaya Hassan, (12) Tok Kaya Teh – 1863, (13) Tok Kaya Sentul, (14) Tok Kaya Awang Perang, (15) Tok Kaya Mahmud bin Mat, dan (16) Tok Kaya Abdul Razak Hussein. Lihat Salasilah Orang Kaya Lipis (Manuskrip Jawi 9 halaman) dalam simpanan penulis : Mohamed bin Mohamed Sooud bin Idris bin Tok Kaya Sentul bin Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Wan Deris bin Wan Hassan.  
[2] Makam “Orang Kaya Lipis Hang Semaun” telah disemadikan di satu kawasan di Lubok Lela, Benta, Pahang.
[3] Zakaria Hitam, Dato’ (1991), Asal-Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Kedua), Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang., hlm. 16-19 
[4]  Ibid.
[5] Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Dato’ Wan Muhammad (OKIMPJ Ke-5, 1850-1882M) ialah Orang Besar Beremat Pahang yang utama dan terkanan, paling berwibawa, dan paling berpengaruh di Ulu Pahang khasnya, dan Pahang amnya.  Di Ulu Pahang, rakyat-jelata lebih lazim memanggilnya Tok Raja, dan membahasakan diri beliau sebagai “Engku” (semi-royal).  Ketika itu, beliau membuat kediaman di Tanjung Betong (Telang, Lipis – Ulu Pahang).     
[6]  Zakaria Hitam., op. cit., hlm. 16-19
[7]  Ibid.
[8] Secara tradisi, gelaran Orang Kaya Lipis (kemudiannya digelar Dato’ Setia Wangsa), dipilih dan dilantik daripada keturunan Tok Kaya Hang Semaun@Hang Ismaun bin Hang Tuah atau keturunan Tun Ibrahim dari Melaka atau setidak-tidaknya dilantik di kalangan individu daripada jalur keturunan ini.  Itulah adat dahukala, adanya, tiada ubah.    

Sumber Rujukan :

Mohamed bin Mohamed Sooud, Salasilah Orang Kaya Lipis, Manuskrip Asal (Jawi)(unpublished.)

Zakaria Hitam, Dato’ (1991), Asal-Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Kedua), Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang.   

2 comments:

  1. Salam Alaykum Tuan Empunya Blog. Saya tertarik dgn nama Tok Kaya Sentol bin Tok Kaya Teh@Wan Teh ini. Adekah yg dimaksudkan Tok Kaya Teh di dlm kisah ini merupakan adik beradik kpd OKIMPJ Dato Wan Muhammad dimana mereka juga anak kepada OKIMPJ Engku Wan Idris ? kerana ada juga maklumat yang sy dapat Wan Teh bin Wan Idris ini seorang perempuan dan ada berkahwin dgn Wan Yusof dan mempunyai keturunan juga. kalau dapat Tuan jelaskan Wan Teh di dalam kisah ini. terima kasih. - Amir

    ReplyDelete
  2. Nama tun Mutahir takde tercatat ke tuan..

    ReplyDelete