Friday 25 April 2014

(04) SEJARAH LOMBONG EMAS EMPANG JALEH

Penulis :
Mohd Rosli bin Awang Besar
(Guru - SMK Padang Tengku)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis

Semenanjung Tanah Melayu merupakan negeri pengeluar “emas” yang utama di dunia pada zaman dahulu. Hakikat ini bukan dongengan kerana seorang ahli geografi Yunani telah menggelarkan semenanjung ini sebagai “Golden Chersonese”, manakala para pedagang India pula menamakan Semenanjung Tanah Melayu sebagai ‘Survarnabbumi’ (Semenanjung Emas) kerana tempat ini ternyata amat kaya dengan “emas”.

            Di Ulu Pahang, beberapa kawasan telah dikenal pasti banyak mengandungi emas seperti Selinsing (Ulu Jelai), Sg. Serau (Ulu Jelai), Sg. Tanum (Tanum), Tersang (Semantan), Kechau Tui (Kecau), Kampung Melaka (Kecau), Penjom (Kuala Lipis),  Budu, dan Raub.  Kegiatan awal melombong emas ini dipercayai diusahakan oleh orang Siam, orang Melayu Patani, orang Melayu Melaka, orang Asli, dan kemudiannya disusuli oleh orang-orang Minangkabau, dan orang Cina.  Sebenarnya, emas yang dihasilkan di Ulu Pahang pernah diniagakan di Melaka zaman kolonial Portugis.[1] Pada akhir abad ke-19M, emas mula dilombong secara komersil di Raub oleh Australian Gold Mining Company (1889). Dalam tempoh 50 tahun, syarikat Australia ini telah berjaya mengeluarkan sejumlah 24,700 gram emas.   Namun begitu, pada tahun 1960-an, bekalan emas di Raub semakin berkurangan, dan akhirnya syarikat berkenaan membuat keputusan untuk menghentikan operasinya kerana khuatir mengalami kerugian yang lebih besar.[2]

            Di Lipis, lokasi “lombong emas” yang penting terletak di hulu Sungai Periu dalam Mukim Penjom.  Perusahaan lombong emas ini dipercayai mula-mula diusahakan oleh orang Siam sejak abad ke-15M lagi.  Setelah orang-orang Siam berundur dari bumi  Pahang selepas ketewasan Maharaja Dewa Sura (1454M) ditangan Seri Bija Diraja Tun Hamzah (Pembesar Melaka), [3] maka lombong emas ini dipercayai terus beroperasi dengan usaha oleh orang-orang Melayu Pahang keturunan Melaka, orang Minangkabau, dan juga orang Asli secara skala kecil sehingga meletusnya Perang Saudara (1857-1863M) di seluruh Pahang.  Namun begitu, “Lombong Emas Penjom” dibuka semula apabila Kapitan Cina Lipis melabur wang sebanyak $30,000 dan mengupah pekerja-pekerja Cina dan Melayu (1883),[4]. Kemudian, lombong tersebut bertukar tangan diambil alih oleh syarikat orang Eropah, iaitu : “Penjom Gold Mine” di mana sewaktu Sir Hugh Charles Clifford (Pegawai British – Jurubahasa) melawat lombong tersebut pada 4 Mac 1887M, Encik Stuart berkhidmat sebagai Pengurus Syarikat. 

Pada tahap awal operasi, usaha melombong ini tidak begitu berjaya kerana empang yang dibina sentiasa pecah.[5] Sejauh mana teguh pun empang yang dibina, ia tetap juga pecah. Kejadian yang amat luar biasa ini amat menyusahkan fikiran pemaju lombong.  Jika hal ini berterusan sudah tentu syarikat pemaju akan mengalami kerugian besar.  Sebagai jalan keluar, pekerja-pekerja lombong meminta khidmat seorang pawang bernama Pawang Jaleh.  Dengan izin Allah swt melalui bantuan Pawang Jaleh dan pekerja-pekerja lombong, empangan yang pecah itu dapat dibina semula, dan tidak lagi pecah seperti sebelumnya.  Berikutan dengan kejadian ini, lalu empangan di Penjom itu dinamakan Empang Jaleh mengambil sempena nama pawang tersebut.

            Sekarang projek “Lombong Emas Empang Jaleh” diberi nama Projek Emas Penjom (Penjom Gold Project) di bawah pengurusan Syarikat Specific Resources Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Avocet Ventures Inc.[6]  Rekod Syarikat Avocet Inc. menunjukkan bahawa Projek Emas Penjom ini merupakan projek yang paling berjaya.  setelah “emas” banyak ditemui di Empang Jalih.  Bagi meningkatkan keupayaan projek, syarikat berkenaan kemudiannya telah bekerjasama dengan Syarikat Perunding Jurutera Melombong Yeow yang cukup berpengalaman untuk menyediakan pelan strategik pembangunan lombong, termasuk kajiannya terhadap alam sekitar.  Kajian penilaian Jabatan Alam Sekitar menunjukkan keputusan positif bahawa tidak akan wujud kesan buruk ke atas alam sekitar dengan pelaksanaan projek ini.[7] 
              
Pelaksanaan Projek Emas Penjom banyak memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat tempatan seperti : menyediakan pekerjaan am (165 orang), pakar carigali (60 orang), pakej latihan, dan kemudahan infrastruktur.[8] Justeru, Lombong Emas Empang Jaleh, bukan sahaja merupakan sumber ekonomi Pahang yang penting, tetapi lombong tertua ini terus menempa sejarahnya yang panjang merentasi zaman.


[1]  Lihat Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia, 2002.    
[2]  Norizan Yusof (2003),  Sejarah Malaysia,  Shah  Alam : Federal Pub., hlm. 43
[3]  Zakaria Hitam, Dato’ (1991), Asal Usul Nama Tempat Bersejarah, Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang., hlm. 81..
[4] Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka., ms.  191  Tarikh ini diambil kerana Sultan Ahmad Al-Muazzam Syah mula memajakkan beberapa kawasan tanah untuk lombong dan pertanian di Pahang (1883) dengan mempelawa pemodal-pemodal Cina seperti  Goh Swee Sui (hartawanm Singapura).   
[5]  Ibid.
[6] Projek ini merupakan usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Luckfrost Limited (anak Sarikat Avocet).  Projek ini adalah perancangan Kerajaan Negeri Pahang semasa Tan Sri Dato’ Haji Mohd Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar Pahang.
[7] Kajian ini telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (1994), dan Sijil Pelombongan telah dikeluarkan pada tahun 1995 selepas proses permohonan diluluskan oleh Pejabat Daerah Lipis.
[8] Kemudahan infrastruktur ini nanti akan diserahkan kepada Pejabat Daerah Lipis apabila tempoh pelaksanaan  projek ini selesai. 

Sumber Rujukan :
Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2002), Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Direct  Art Company.
Avocet Ventures Inc. dan Specific Resources Sdn. Bhd,, Penjom Gold Project. England: Royle Print
Limited.
Buyong adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Majlis Daerah Lipis, Tempat-tempat Bersejarah Lipis, Kuala Lipis : MDL.
Norizan Yusof, 2003. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Federal Publications Sdn. Bhd.
Zakaria Hitam, Dato’ (1991), Asal Usul Nama Tempat Bersejarah, Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang.


6 comments:

  1. http://nizamullah.blogspot.my/2016/04/sejarah-pahang-buyong-adil.html

    ReplyDelete
  2. Seorang Pengusaha & Pelombong EMAS sdg mncari satu kawasan EMAS d Daerah Raub-K.Lipis, Pahang.
    Jika Ada, Sila hubungi Saya dgn Segera.!

    http://wasap.my/60162952941

    ReplyDelete
  3. Seorang Pengusaha & Pelombong EMAS sdg mncari satu kawasan EMAS d Daerah Raub-K.Lipis, Pahang.
    Jika Ada, Sila hubungi Saya dgn Segera.!

    http://wasap.my/60162952941

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sayaada kawasan 1k ekar di.lipis..nk cuba ke

      Delete
  4. ciku Mohd Rosli
    org cina sudah ada 700 tahun cari emas di ulu pahang dan ulu kelantan. di terengganu pun sudah ada 1500 tahun !

    ReplyDelete
  5. Untuk pengetahuan..pihak kami ingin mencari funder yg boleh explore kawasan emas di Lipis kelulusan peringkat awal 500 ekar. Jika ada sesiapa berminat sila hubungi no hp 0199528818 melalui text wtsup. Regards shifu.

    ReplyDelete