Saturday, 26 April 2014

(05) PANGLIMA IBRAHIM : PENGHULU PADANG BAHARU, JOHOR



Penulis :
Hj. Md Khamis Hj. Juned
(Pengerusi)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Muar

Mengikut cerita orang tua-tua Muar, Penghulu Ibrahim berasal dari Pahang, tetapi tidaklah dapat dipastikan dari mana sama ada Ulu Pahang ataupun Hilir Pahang. Sebelum terkenal sebagai Penghulu Ibrahim, beliau lebih dikenali sebagai seorang pendekar atau panglima yang mempunyai ilmu kependekaran yang tinggi.  Beliau juga dikenali sebagai Panglima Kudin.  Panglima Ibrahim atas sebab-sebab tertentu telah berhijrah ke Muar, lalu membuat kediaman di satu kawasan berhampiran tepi pantai mengadap Selat Melaka yang dikenali sebagai Padang. Tarikh sebenar kedatangan Panglima Ibrahim dan para pengikutnya tidaklah diketahui dengan tepat, tetapi jangka masanya diagakkan sekitar penghujung abad ke-18M atau awal tahun 1800M. Menurut sejarawan tempatan, kawasan petempatan yang disebut Padang itu telah wujud sejak zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (Raja Melaka, 1489-1511M) lagi.  Dalam peta lama Portugis, Padang dieja “Padam” kerana Pegawai Kolonial Portugis (1511M) yang mentadbir Melaka ketika itu tidak boleh menyebut “ng”, jadi mereka menyebut “Padang” sebagai “Padam”.

            Adapun kawasan “Padang” itu luasnya dari Parit Perupok hingga ke Parit Pinang Seribu lebih kurang sejauh 8 km. Kawasan Padang terbahagi kepada dua zaman, iaitu Padang Lama dan Padang Baharu. Padang Lama wujud sejak Kerajaan Melayu Melaka hingga ke zaman Portugis (1489-1641M), manakala Padang Baharu pula bermula apbila Belanda berjaya mengalahkan Portugis dan memerintah Melaka (1641M) hinggalah ke zaman British. Mengikut satu sumber pribumi[1], perkampungan yang dikenali sebagai Padang Lama itu dibuka oleh keturunan Raja Cempa. Raja Cempa yang masih bergama Hindu telah memerintah satu kawasan yang disebut Bukit Mor (Bukit Muar) merangkumi Padang, manakala, kampung yang mula-mula dibuka di Padang Baharu ialah Kampung Parit Sakai Lama (Parit Sakit Buruk) oleh seorang tokoh bernama Tok Makmon yang datang dari Merlimau (Melaka) sekitar tahun 1702M.[2] 

            Panglima Ibrahim telah berhijrah ke Padang bersama isterinya yang bernama Chade, dan beberapa orang pengikut setianya. Di Muar, Panglima Ibrahim memperhambakan diri berkerja dengan seorang elit tradisional bergelar Orang Kaya Ali@Orang Kaya Bonjol. Panglima Ibrahim yang amat baik budi pekerti dan mahir dengan ilmu mempertahankan diri itu lalu dijodohkan oleh Orang Kaya Ali dengan puterinya yang bernama Manis.[3] Ilmu Panglima Ibrahim dikatakan hebat, tiada tolok bandingnya ketika itu. Suatu ketika sekumpulan lanun telah datang ke rumahnya.  Panglima Ibrahim telah menjamu lanun-lanun itu dengan daun sireh dan paku besi sebagai adat menerima tetamu pada waktu itu.  Lanun-lanun itu melihat sahaja akan daun sireh dan paku besi, tetapi Panglima Ibrahim selamba sahaja makan sireh dan paku besi. Kehebatan Panglima Ibrahim memakan sireh dan paku besi itu menyebabkan lanun-lanun tersebut bertebaran cabut lari, terkejut dengan apa yang mereka lihat itu. Tidak lama kemudian, sekumpulan lanun lagi datang ke rumah Panglima Ibrahim.  Panglima Ibrahim yang telah mengetahui kedatangan dan niat jahat mereka lalu mencabut serumpun tebu sambil menyebat dua orang lanun tersebut sehingga mati. Melihatkan kehebatan Panglima Ibrahim, maka lanun-lanun yang laln segera lari lintang-pukang.

            Pada zaman itu, di perairan Selat Melaka memang banyak kumpulan lanun yang bermaharajalela merompak dan mengganggu pelayaran, dan kadang-kala naik ke darat merompak dan membunuh sesiapa yang mereka temui. Dalam kes ini, Panglima Ibrahim telah menjadi tokoh yang mula dikenali kerana berupaya memerangi dan menghapuskan lanun-lanun bagi pihak Sultan Johor dan pihak British di Johor, khususnya di kawasan Muar. Atas jasa-jasa dan sumbangan bakti terhadap keamanan di Muar, maka Panglima Ibrahim telah dilantik oleh Sultan Johor sebagai “Penghulu” di Padang Baharu, dan juga dihadiahkan oleh Baginda Sultan Johor sebilah pedang. Kemudian, Penghulu Ibrahim juga atas jasa baktinya menjaga keamanan telah mendapat keistimewaan menunaikan Haji di Mekah melalui kapal British secara percuma.

              Perkahwinan Penghulu Ibrahim dengan To’ Manis melahirkan dua orang putera, iaitu : Husin dan Jonit, dan dua orang puteri : Aminah dan Nah. Daripada empat orang zuriat Penghulu Ibrahim, maka lahirlah lebih ramai lagi keturunan beliau di Muar, khususnya di Padang Baharu. Putera kedua Penghulu Ibrahim yang bernama Jonit telah menjadi pemerintah di Padang Baharu dengan gelaran Orang Kaya Jonit (1862-1890M). Orang Kaya Jonit telah melahirkan tiga orang putera, iaitu : Omar (Orang Kaya Bandar Maharani, Muar, 1890-1898M), Yusof (Orang Kaya Bandar Maharani, 1890M), dan Hasan.  Orang Kaya Omar bin Orang Kaya Jonit telah melahirkan seorang putera bernama Mohd Noh (Tan Sri Hj.).  Masyarakat Muar lebih mengenali Tan Sri Hj. Mohd Noh dengan gelaran Hj. Mohd Noh Beirut kerana beliau pernah belajar di Beirut, Lubnan. Setelah pulang dari Berut (1920), puteri Tan Sri Mohd Noh yang bernama Raha telah dikahwinkan dengan (Tun) Razak Dato’ Hussein yang kemudiannya melahirkan YAB Dato’ Seri Mohd Najib (Perdana Menteri Malaysia Ke-6).  Seorang lagi puteri Tan Sri Mohd Noh yang bernama Suhaila telah dikahwinkan pula dengan (Tun) Hussein Onn (Perdana Menteri Malaysia Ke-3).


[1]  Zainal Abidin Ishak (2003), Salasilah Raja Cempa Bugis-Kembayat – Padang Muar 1459, Penerbit : Koleksi Peribadi.  Raja Cempa Asal bernama Pi Ling Ling. Setelah memeluk Agama Islam, Baginda menggunakan nama Islam HABIB ABDUL RAHMAN.  Habib Abdul Rahman mempunya 2 orang putera : Daeng Seriok@Shah Indera Berma, dan Daeng Wajuk@Shah Indera Purma, serta seorang puteri : Puteri Cempa. Setelah Kerajaan Cempa musnah (1450M) Daeng Seriok, Daeng Wajuk dan Puteri Cempa, serta bangsawan-bangsawan Kerajaan Cempa telah lari menyelamatkan diri ke beberapa tempat seperti Sulawesi, dan Semenanjung Tanah Melayu (Bukit Mor – Muar dan Melaka).  Daeng Seriok yang bergelar Orang Kaya Bendahara Padang (1456-1477M) memerintah Bukit Mor (Padang Lama). Daeng Wajuk ke Palembang tetapi gagal memperoleh kedudukan politik, manakala Puteri Cempa menjadi isteri kedua Raja Majapahit – melahirkan seorang putera, Raden Fatah, dan kemudiannya Raden Yunos yang menjadi Raja Demak.   
[2]  Makam Tok Makmon terletak di tepi sungai berhampiran dengan Masjid Merlimau (Melaka)
[3]  Manis ialah seorang janda, bekas isteri muda Panglima Hassan.


Sumber Rujukan :
Zainal Abidin Ishak, Salasilah Raja Cempa Bugis Kembayat 1459M, Koleksi Peribadi (Unpublished, 2003).
Zainal Abidin Ishak, Suara Bugis Muar, Koleksi Artikel (Unpublished, 2005).

No comments:

Post a Comment