Tuesday, 22 April 2014

(01) REALITI DAN MITOS BULOH BETONG

Penulis :
Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid., AMP. (wanamirzamp@yahoo.com)
(Pengerusi)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis 

Buloh yang diklasifikasikan dalam “keluarga rumput” (Graminae) boleh mengeluarkan hasil dalam bentuk “batang” dan “rebong”.  Sebenarnya, batang buloh telah lama digunakan oleh masyarakat tradisional Melayu untuk pelbagai guna seperti : dinding rumah, alat menangkap ikan, rakit, bidai,  pagar, seruling, wau, dan juga berfungsi sebagai bulh lemang, serta alat-alat keperluan memasak. Kini kegunaan buloh diperluaskan bagi tujuan komersil seperti membuat kayu penyepit (chopsticks), pencungkil gigi, ladi satay, bakul sayur, kertas, dan pelbagai barangan kraftangan, manakala rebong menjadi bahan makanan (sayuran) yang amat digemari sejak dahulukala. Buloh sering hidup subur di kawasan-kawasan berhampiran lembah sungai, tanah pamah, belukar, di kawasan hutan terbiar, dan di kawasan saliran yang baik serta memerlukan 60% cahaya matahari. Buloh Betong (Dendrocalamus asper) merupakan antara spesies buloh yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Di provinsi Guizhon (Cina), terdapat ladang buloh yang luasnya sekitar 2,000 hektar di mana para pelancong senang menikmati pohon yang tumbuh subur di lereng-lereng bukit di samping merasai kesegaran air buloh yang berkhasiat mencegah kanser dan merawat kecantikan wajah.  Abd Razak Othman & Rakan (1998) dalam kajiannya mendapati bahawa dua spesies buloh yang paling terkenal di Malaysia, iaitu "Buloh Tumpat" dan “Buloh Betong”.

            Di Pahang misalnya, Buloh Betong banyak tumbuh bebas di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Lipis, serta anak-anak sungai.  Di daerah Lipis, dua  buah kampung dinamakan Bukit Betong[1] dan Tanjung Betong[2] sempena nama spesies ini. Rumpun “Buluh Betong” merupakan buloh bersaiz besar, tinggi, dan diklasifikasikan sebagai buloh berperepang besar, dan bahagian ruas bawahnya terdapat rambut perang atau cokelat, dan buku-buku bahagian bawahnya pula mempunyai akar.  Tinggi buloh ini di antara 16-18 m, dan mempunyai perepang seluas 12-18 sm.  Ketebalan dindingnya ialah antara 10-14 mm, dan mempunyai panjang ruas 35 sm.  Daunnya besar, dan panjangnya antara 30-40 sm. Setiap rumpun buloh ini mempunyai anggaran 40-60 batang buloh, dan pembiakannya boleh melalui dahan, batang atau rizomnya.

           Meskipun lazimnya tumbuh liar, tetapi Buluh Betong boleh ditanam secara “ladang” pada musim hujan, iaitu antara bulan April hingga Ogos di utara, dan antara Ogos hingga Oktober di tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.  Jarak tanaman yang disyorkan untuk Buloh Betong ialah 5 x 5 m, dan ukuran lubang tanaman pula ialah 60 x 60 x 60 cm (2 x 2 x 2 kaki).  Jumlah kepadatan rumpun dalam satu hektar ialah sekitar 400 rumpun. Bagi tujuan mendapatkan pertumbuhan dan penghasilan rebong yang bermutu tinggi, pengurusan rumpun buloh seperti : merumput, membaja, menggembur, menjarang, dan mengawal penyakit amat penting.

            Rebong yang amat kaya dengan bahan nutrien merupakan sayuran yang boleh dimakan secara mentah (segar) ataupun dimasak. Rebong biasanya dituai ketika umurnya di antara 7-14 hari ketika ketinggian berada di antara 45-60 cm.  Peralatan biasa bagi penuaian rebung ialah parang, kapak, cangkul dan penggali. Pengambilan rebong hendaklah pada paras tanah atau jika boleh, tanah di sekeliling rebong digali dan potongan dibuat pada paras terbawah sekali.  Bekas potongan hendaklah ditutup untuk mengelak serangan penyakit.  Rebong mentah dijual dalam dua bentuk, itu rebong itu sendiri (dibuang kelopaknya atau tidak) dan rebong yang dihiris nipis dan direndam di dalam air.  Rebong jeruk pula ialah rebong yang dihiris dan direbus dan kemudiannya direndam di dalam larutan garam, dan disimpan dalam bekas yang tidak telap udara.  Rebong jeruk boleh disimpan selama 2-3 bulan. Rebong juga boleh diproses dan dipasarkan dalam beberapa bentuk yang lain seperti rebong kering, atau dijadikan acar, dan juga ditinkan untuk tujuan eksport.

            Di Bandar Kuala Lipis, “Rebong Betong” mudah diperolehi di Pasar Besar (harian) atau Pasar Tani (Sabtu) sama ada rebong segar atau sudah dimasak.  Namun begitu, “Rebong Betong” menjadi “tabu” (larangan) untuk dimakan oleh mereka yang ada hubungan kekeluargaan dengan Sri Maharaja Perba@Maharaja Perba Jelai, elit tradisional yang menjadi Orang Besar Jelai - Ulu Pahang di akhir abad ke-16M.  Menurut Wan Yaakub bin Wan Majid[3], dan juga warisan keluarga besar ini, sesiapa yang melanggar larangan tersebut akan mengalami bengkak atau gatal seluruh badan akibat termakan atau sengaja memakan Rebong Betong.  Mereka yang terkena musibah ini mendapati bahawa musibah ini agak lama untuk sembuh atau ia tidak sembuh hingga akhir hayat. Namun begitu, sebahagian daripada keluarga ini berpendapat setelah lebih tujuh generasi berlalu, kemungkinan besar Rebong Betong” sudah boleh dimakan oleh keturunan keluarga ini tanpa sebarang kesan sampingan lagi.  Wallahualam.     

[1]  Bukit Betong yang lokasinya sekitar 25 km ke utara dari Bandar Lipis ialah tempat kediaman asal Sri Maharaja Perba@Maharaja Perba Jelai@Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (OKIMPJ) dan kaum keluarganya sejak abad ke-16M lagi.  
[2] Tanjung Betong yang lokasinya sekitar 16 km ke utara dari Bandar Lipis ialah petempatan sebahagian keluarga Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai, dan orang-orang yang berhijrah ke situ dari Temerloh (Pahang). Dato' OKIMPJ Wan Muhammad bin Wan Idris (1887) pernah membuat kediamannya di Tanjung Betong (tepi Sungai Jelai) – Buyong Adil, Sejarah Pahang, Dewan Bahasa & Pustaka, hlm. 213.
[3]  Wan Yaakub bin Wan Majid, 82 tahun, seorang Pawang Tradisional,di Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.  Keturunannya disusurgalurkan sehingga kepada Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Idris bin Wan Muhammad (OKIMPJ V).


Sumber Rujukan :
Abd Razak Othman & Jamaluddin Malek (1998), Panduan Penanaman dan Pengurusan Dirian Buluh Untuk Pengeluaran Rebung, Kuala Lumpur : Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Azmy Hj Mohamed (1992), Potensi Rebung Buluh Di Malaysia, Kuala Lumpur : Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Wawancara penulis dengan En. Wan Yaakub bin Wan Majid di Kampung Kuala Medang (Ulu Jelai), Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur pada 06 Jun, 2008.
   

No comments:

Post a Comment