Penulis
Ramly bin Rasul (irrynie@hotmail.com)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Lewat abad ke-21M ini, “seni silat” atau “pencak silat”
merupakan cabang seni mempertahankan diri yang semakin mendapat perhatian sama
ada di dalam negara maupun di luar negara. Selain Malaysia dan Indonesia, beberapa
buah negara di Asia dan Eropah amat kagum dengan kehebatan Seni Silat Melayu.
Fenomena ini jelas dapat diperhatikan sewaktu berlangsungnya Pertandingan Silat SeDunia.
Kamus Dewan
mentakrifkan ‘seni’ sebagai karya
indah yang diciptakan, manakala ‘silat’
adalah sejenis permainan menangkis serangan yang di dalamnya terdapat serangan
dan bela diri sama ada tanpa senjata atau bersenjata. Rumusannya, “seni silat” merupakan satu permainan dan pengetahuan yang
berkaitan dengan gabungan rahsia mempertahankan diri dan permainan seni bela
diri dalam gaya
gerak tari yang mempunyai nilai estetika
yang tinggi.[1]
Dari segi
sejarahnya, seni silat ini dikatakan berasal dari Nusantara, khususnya
Indonesia, dan kemudiannya warisan pertahanan diri Melayu ini mula tersebar di
Semenanjung Tanah Melayu seawal-awalnya sewaktu kegemilangan Kerajaan Melayu Majapahit
menguasai Nusantara pada abad ke-12M lagi.
Seni silat mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa disebabkan
“kesenian”nya seperti langkah, hemburan, lompatan, gerak tarinya, dan amalan
kerohaniannya. Gabungan keseluruhan
gerak itu ternyata telah mewujudkan pelbagai kerahsiaan, keindahan dan
“intuition” yang bersepadu.[2]
Dalam tradisi seni silat, ilmu mempertahankan diri menjadi alat yang penting
bagi setiap individu. Ilmu
mempertahankan diri ini dari segi praktisnya perlu melalui beberapa tahap, bermula
daripada kemahiran gerak tangan sehingga kepada penggunaan beberapa jenis
senjata seperti sepeti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, kerambit, lembing,
tombak, perisai dan sebagainya.[3]
Sejarah awal seni
silat di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) adalah hasil adapatasi dan inovasi
pelbagai jenis dan sumber seni silat yang dikuasai oleh guru utama-guru utama silat
atau tokoh-tokoh yang menguasai dunia persilatan di peringkat desa atau daerah tertentu satu ketika dahulu. Warisan
seni silat ini kemudiannya diajar dan dikembangkan di desa-desa, mukim-mukim,
dan daerah-daerah. Kini seni silat terus
hidup, dan dikembangkan di institusi-institusi pendikan dalam pelbagai aliran silat
seperti Silat Gayung, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Lincah, Silat Lintau,
dan pelbagai jenis seni silat lagi.
Dalam konteks sejarah
pertumbuhan dan perkembangan seni silat di negeri Pahang, ia dipercayai
dipengaruhi oleh warisan seni silat yang tersebar di Semenanjung Tanah Melayu
sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka lagi. Di Ulu Pahang, sekadar menyebut beberapa tokoh
panglima dan pahlawan Pahang seperti : Panglima Wan Pahang bin
Wan Muhammad, Panglima Kiri Wan Embong bin Wan Idris, Panglima Kiri Setia Raja
Wan Muhammad bin Wan Idris, Wan Daud bin Wan Pahang, Panglima Ibrahim Tujuh
Lapis, Orang Kaya Sentul bin (Wan) Teh, Imam Perang Indera Gajah, Mat Kilau bin
Imam Rasu, Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan, dan Haji Abdul Rahman Kecau yang
terlibat dalam “Perang Saudara” (1857-1863), merupakan sebahagian “wira-wira tempatan” yang mempunyai “ilmu persilatan” yang amat tinggi, dan
sukar ditandingi.
Begitu juga dengan para pahlawan dan pendekar yang
muncul dalam beberapa dekad kemudian seperti : Panglima Garang Abdul Samad, Pendekar
Endor, dan Pendekar Sutan Muakat dikatakan turut mempunyai kewibawaan ilmu
persilatan yang tidak kurang hebatnya. Dipercayai wira-wira inilah yang
menurunkan sebahagian kepandaian mereka dalam ilmu persilatan kepada
pendekar-pendekar generasi lewat tahun 1920-an seperti : Pendekar Wahab
(Kechau), Panglima Sam (Kecau), dan Pendekar Osman Gagah (Benta), dan lain-lain
yang masih ada hingga sekarang.
Mengikut satu versi oral, perkembangan silat
di daerah Lipis, hampir keseluruhannya dipengaruhi oleh “seni silat pulut”. Lazimnya seni silat pulut berfungsi sebagai
persembahan di majlis-majlis perkahwinan, keramaian atau menyambut para
pembesar. Meskipun begitu, seni silat
tersebut kemudiannya diadapatasi untuk menjadi seni mempertahankan diri. Abad
moden kini menyaksikan “seni silat”
semakin berkembang dan diminati dengan kemunculan pelbagai jenis silat seperti
: Silat Sendeng Malaysia, Silat Tongkat, Silat Damping Dua Belas, Silat
Menanti, Silat Pusaka Hang Tuah, Silat Kalimah,, dan Silat Gayung Laksamana
sebagaimana yang dapat disaksikan di sekolah-sekolah, dan juga di
kampung-kampung di Daerah Lipis (Pahang). Beberapa
kumpulan Seni Silat Warisan Melayu Lipis bergerak cergas dengan mengadakan latihan
dan persembahan seperti yang dapat dilihat di Kecau, Bukit Betong, Penjom dan
Bandar Kuala Lipis. Sambutan yang baik
generasi abad ke-21M terhadap seni silat setidak-tidak ia dapat menyumbang ke
arah pendisiplinan dan penyuburan jatidiri di samping mengembangkan warisan
budaya bangsa. Dalam konteks memperkasakan warisan bangsa, program pembangunan Seni
Silat Melayu di Daerah Lipis perlu digerakkan secara sistematis, dan
terancang terutama di kalangan golongan belia dan beliawanis.
[1] Anuar Abd Wahab (1987), Silat Olahraga Selangor, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka., hlm.
V.
[2] Jamaluddin A. Jalal
(2000), Meneroka Kuasa Minda, Kuala
Lumpur : Akademi Aura Metafizik, hlm. 4.
[3] Anuar Abd Wahab, op. cit., hlm.
V.
Sumber Rujukan :
Anuar Abd Wahab (1987), Silat Olahraga Selangor, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Jamaluddin A. Jalal (2000), Meneroka Kuasa Minda, Kuala Lumpur : Akademi Aura Metafizik.
saya ada mendengar cerita orang tua tua di Temerloh mengatakan Cikgu Jantan dan Pendekar Long pergi berguru dengan Wan Chik di Kuala Tembeling sekitar tahun 1912-1916. Apakah Wan Chik yang dimaksudkan itu adalah Wan Chik dari keturunan Perba Jelai?
ReplyDeletePada tahun berapakah Tok Raja Wan Chik meninggal dunia?
Salam Sdr Naem Nazri. Berkenaan cikgu Jantan dan Pendekar long pergi berguru dengan Wan Chik di Kuala Tembeling di luar pengetahuan saya. Adapun Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Chik bin OKIMPJ Wan Muhmmad menginggal dunia di Bukit Kota dalam tahun 1916.
ReplyDeleteAs Salam. Boleh sye tau lebih cerita pasal Pendekar Wahab?
ReplyDeleteAssalamualaikum , sebagai cucu kepada pendekar Wahab boleh kah saya tahu lebih lanjut tentang arwah ?
ReplyDelete