Monday, 29 December 2014

(27) TOK SETIA TOK (TUN) ISMAIL BIN TOK(TUN MAULUD) : DATO' GAJAH MADA ANAK GAJAH TUNGGAL NEGERI


Penulis :
Hj. Mohamad Salleh bin Hussein (Generasi Ke-11  TUN IBRAHIM)
(bin Zakaria bin Tok Setia Ismail bin Tok Maulud bin Tok Pandak Sapa bin Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM bin Tun Muhammad bin Tun Umar bin TUN HASSAN TEMENGGUNG (Melaka) bin Bendahara Tun Mutahir (Bendahara Melaka) bin Seri Nara Diraja Tun Ali (Darah Hindi-Melayu) bin MANI PURINDAN (Raja Pahili - Rajasthan - Hindi).
Kg. Kol, Pos Damak,  27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.
 

Tok(Tun) Ismail kemudiannya menggantikan kepimpinan ayahandanya Tok@Tun Maulud menjadi elit tradisional di Kg. Perlum. Beberapa ketika lamanya beliau dan keluargannya di Kg. Perlum, timbullah hasratnya untuk beredar dari kampong tersebut memandangkan ramai saudara-maranya yang tua-tua telah kembali ke ramatullah.  Akhirnya Tok(Tun) Ismail mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kg.Tanjung Tera (Kg. Kemesar hari ini). Di Kg. Tanjung Tera, beliau membina kediamannya berdekatan bukit dan mengadap matahari terbit. Di hadapan kediamannya, ada satu kawaswan tanah yang boleh dibuat sawah, sangat bluas kelihatannya, manakala di hujung kampung pula ada air terjun lata cenderum.  Bagi Tok(Tun) Ismail, Kg. Tanjung Tera begitu selesa dan udaranya pun sangat nyaman.

Tok(Tun) Ismail bin Tok@Tun Maulud adalah seorang elit tradisional yang karismatik.  Beliau ternyata seorang pemimpin tradisi yang bijaksana dan sangat memngambil berat hal-ehwal anak buah.  Namanya bukan sahaja menjadi sebutan rakyat-jelata di sekitar Kg. Tera, tetapi melewati seluruh Pahang. Kebijaksanaan dan kewibawaanya terserlah sejak era Bendahara Ali lagi sehingga ke era Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah. 

Pada zaman Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, Tok(Tun) Ismail bin Tok@Tun Maulud telah dikurniakan gelaran “Dato’ Gajah Mada Anak Gajah Tunggal”.  Tugas utama beliau adalah memenuhi tempat duduk mana-mana Orang Besar Pahang yang tidak hadir dalam Mesyuarat Orang Besar di Istana sama ada Orang Besar 16, Orang Besar Berlapan maupun Orang Besar Berempat. Jika semua Orang Besar hadir dalam Mesyuarat Orang Besar, maka beliau akan duduk di pintu besar menunggu perintah Sultan. Tok(Tun) Ismail bin Tok@Tun Maulud telah kembali ke rahmatullah dalam tahun 1908, dan jenazahnya disemadikan berhampiran Masjid Lama Kuala Kong, Tg. Besar.

Tok(Tun) Ismail bin Tok@Tun Maulud meninggalkan beberapa orang putera dan puteri : Siti Fatimah, Zakaria, Tok Muda Mat Piah, Mat Saman, dan Mashairan.  Zuriat Tok(Tun) Ismail bin Tok@Tun Maulud yang mewarisi kepimpinannya ialah Penghulu Abdullah Hashim (Penghulu Tg. Besar), dan kemudian diwarisi pula oleh Penghulu Ahmad bin Abdullah Hashim (Pengulu Tg. Besar).  Demikianlah adanya secebis riwayat keturunan TUN IBRAHIM BIN TUN MUHAMAD (BANGSAWAN MELAKA DI ULU PAHANG).

Friday, 26 December 2014

(26) TOK@TUN PANDAK SAPA : PENGASAS KG. PERLUM.

Penulis :
Hj. Mohamad Salleh bin Hussein (Generasi Ke-11  TUN IBRAHIM)
(bin Zakaria bin Tok Setia Ismail bin Tok Maulud bin Tok Pandak Sapa bin Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM bin Tun Muhammad bin Tun Umar bin TUN HASSAN TEMENGGUNG (Melaka) bin Bendahara Tun Mutahir (Bendahara Melaka) bin Seri Nara Diraja Tun Ali (Darah Hindi-Melayu) bin MANI PURINDAN (Raja Pahili - Rajasthan - Hindi).
Kg. Koi, Pos Damak,  27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.
 
Tok@Tun Pandak Sapa secara teoritisnya dilahirkan di Kg. Salang (lebih kurang 4 km dari muara Sg.Lipis).  Setelah beberapa lama beliau dan keluargannya di sana, Tok@Tun Pandak Sapa berhasrat untuk mencari kawasan baru untuk petempatan keluarga, dan juga beliau dapati Kg. Salang tidak sesuai lagi untuk didiami. Ketika itu, penghuni Kg. Salang hampir semuanya mempunyai kekerabatan dengan Tok@Tun Padak Sapa.  Keinginan yang kuat untuk mencari petempatan baru itu membuatkan beliau dan beberapa orang saudara-maranya bermuafakat untuk menyusur mudik sebelah kiri Sg. Lipis dengan menggunakan perahu kecil. Setelah beberapa hari Tok@Tun Pandak Sapa menyusur mudik, lalu beliau bertemu muara sebuah anak Sg. Lipis (ketika itu sungai berkenaan belum bernama – kini dikenali sebagai Sg. Rengai), tetapi kawaan itu agak terhad untuk dibuat petempatan baru.  Tok@Tun Pandak Sapa meneruskan lagi perjalanan, dan menyusur sebelah kanan mudik Sg. Lipis, lalu bertemu pula dengan sebuah anak Sg. Lipis (ketika itu belum bernama – kini dikenali sebagai Sg. Kemahang).  Beliau terus mudik sehinggalah bertemu dengan sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Perlum (Mukim Cheka sekarang).


Di Perlum, Tok@Tun Pandak Sapa mendapati kawasan tersebut amat sesuai untuk dibuat petempatan baru. Ketika itu, tidak ada penghuni di situ. Maka para pengikut Tok@Tun Pandak Sapa yang terdiri daripada kaum kerabatnya sendiri mulalah membuka kawasan itu, menebang pokok besar, menebas dan membersihkan kawasan yang hendak dibuat petempatan itu. Lama jua Tok@Tun Pandak Sapa dan para pengikutnya di sana beberapa purnama (bulan) sehingga mereka sempat menuai padi huma dan mengeluarkan hasil tanaman kontan seperti jagung, ubi dan sayur-sayuran yang mereka usahakan.                                    

     


Setelah Kg. Perlum didiami oleh kaum kerabat Tok@Tun Pandak Sapa, pada satu ketika yang baik, maka Tok@Tun Pandak Sapa telah mengisytiharkan secara rasmi Kg. Perlum dengan memimilih sebatang pokok tualang yang paling tinggi sebagai mercu tanda pembukaan Kg. Perlum.  Sehubungan itu juga, memandangkan pasa masa itu masih banyak kawasan petempatan yang belum dibuka, maka Tok@Tun Pandak Sapa mengarahkan putera-puteranya yang mempunyai daya kepimpinnan untuk membuka beberapa petempatan baru.  Puteranya Tok@Tun Sulong diarah membuka Kg. Lalang (Penjom). Tok@Tun Safar diarah membuka Kg. Tanjung Besar Hilir.  Tok@Tun Ahmad diarah membuka Tanjung Besar Hulu. Tok@Tun Maulud kekal mewarisi kepimpinan ayahandanya di Kg. Perlum. Berdasarkan hujahan ini, maka tidaklah diragui lagi bahawa  penduduk jati di KG. PERLUM, KG. LALANG, dan TG. BESAR masih mempunyai kekerabatan dengan TUN IBRAHIM BIN TUN MUHAMAD (BANGSAWAN MELAKA) dan dapat disusurgalurkan sehingga kepada BENDAHARA TUN MUTAHIR (BENDAHARA MELAKA) dan juga hingga kepada MANI PURINDAN.   



Tok@Tun Pandak Sapa mengakhiri hayatnya di Kg. Perlum. Makamnya dikenali sebagai “Makam Tok Perlum”.   Beliau meninggalkan 11 orang anak, iaitu :  Tok Sulong, Tok Safar, Tok Nahi, Tok Munir, Tok Chu, Tok Maulud, Tok Uda Talun, Tok Sariah, To Siba, dan Tok Norain.  Sekian mengikut yang empunya cerita.   Melalui anak-anak yang ramai ini, semakin berkembanglah zuriat Tok@Tun Pandak Sapa di Kg. Perlum sekitarnya.   Malah, anaknya yang bernama Tok Maulud yang mewarisi kepimpinan Kg. Perlum turut mempunyai anak yang begitu ramai, iaitu Tok Chabar, Tok Selamah,Tok Tijah, Tok Lebar, Tok Kadir, Tok Majid,Tok Mas Pekan,Tok Talib, Tok Banun,Tok Itam,Tok Taiyah, Tok Hussein, Imam De, Tok Siti Hawa, Tok Maimunah, dan Tok Ismail.  Tok Ismail kemudiannya menggantikan kepimpinnan ayahandanya menjadi elit tradisional di Kg. Perlum.               

                                        

           







     

                                        
                                     
           

Monday, 8 December 2014

(25) TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM

Penulis :
Hj. Mohamad Salleh bin Hussein (Generasi Ke-11  TUN IBRAHIM)
(bin Zakaria bin Tok Setia Ismail bin Tok Maulud bin Tok Pandak Sapa bin Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM bin Tun Muhammad bin Tun Umar bin TUN HASSAN TEMENGGUNG (Melaka) bin Bendahara Tun Mutahir (Bendahara Melaka) bin Seri Nara Diraja Tun Ali (Darah Hindi-Melayu) bin MANI PURINDAN (Raja Pahili - Rajasthan - Hindi).
Kg. Kol, Pos Damak,  27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.
 
TUN BANDU@TUN SULAIMAN yang ditugaskan mengawasi Lembah Sg. Lipis kemudiannya telah meninjau beberapa kawasan baru yang boleh dijadikan petempatan untuk beliau sekeluarga dan para pengikutnya. Memandangkan ketika itu, banyak kawasan yang belum berpenghuni kecuali orang Asli, maka Tun Bandu@Tun Sulaiman telah mengenal pasti beberapa kawasan di tebing sebelah kanan mudik Sg Lipis seperti sekitar Batu 3 dan Batu 4 dari muara Sg. Lipis, Kg. Binjai, dan Kg. Salang, malah sehingga ke kawasan yang dikenali sebagai Kg. Pagar (Penjom) - di situ didapati sangat elok dibuat petempatan baru. 

Maka berpindahlah Tun Bandu@Tun Sulaiman seisi keluarga dan para pengikut beliau, lalu membuat kediaman dan meneroka tanah di tempat-tempat ini untuk bercucuk tanam mengikut keperluan mereka ketika itu.  Dari sudut ini, setakat apa yang diketahui, keluarga Tun Bandu@Tun Sulaiman warisan Tun Ibrahim inilah orang Melayu yang terawal membuat petempatan bermula dari muara Sg. Lipis menyusur ke hulu hingga ke Kg. Salang sehingga ke Kg. Pagar (Penjom). Tinggallah Tun Bandu@Tun Sulaiman dan kaum kerabat beliau beberapa abad lamanya berasimilasi dengan orang Asli di sekitar Lembah Sg. Lipis. Kewujudan mereka di tempat-tempat ini berdasarkan wujudnya makam-makam lama yang ditemui di kawasan tersebut. Sehubungan itu, tidak juga diragui bahawa Tun Bandu@Tun Sulaiman dan kerabat beliau turut mengembangkan agama Islam pada peringkat awal di Lembah Sg. Lipis.   

Mengenai Tun Ibrahim bin Tun Muhammad setelah beberapa lama tinggal di Tg. Lipis, teramat tualah dia, lalu beliau kembali ke rahmatullah - dan dipercayai jenazahnya disemadikan di Makam Lama Kg. Pagar oleh puteranya Tun Bandu.

Tun Bandu berputerakan Tun Enda.  Tun Enda berputerakan Tun Isap.  Tun Isap berputerakan Tok@Tun Othman.  Tok@Tun Othman berputerakan Tok Pandak Sapa.  Bermula daripada Tok Pandak Sapa, beliau tidak menggunakan gelaran "Tun" dipangkal nama hinggalah ke zuriat yang terkemudian. Mengikut yang empunya cerita, gelaran keluarga "Tun" dipangkal nama digugurkan kerana Tok@Tun Pandak Sapa takut puteri-puterinya tidak dapat dikahwini "orang kebanyakan".  Demikianlah adanya.
 

(24) RAJA MUHAMMAD@BAGINDA DEMU : PUTERA PERAK DI ULU PAHANG


Penulis :

Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab Hamid., AMP. (drswanamirzamp14@gmail.com)
Pengerusi PSM Kawasan Lipis
 


Sewaktu Hang Tuah disisihkan dari istana Melaka akibat fitinah pembesar Melaka , maka pergilah Hang Tuah ke Hulu Melaka.  Dari sini, beliau juga sebenarnya pergi ke Ulu Perak. Di Ulu Perak, Pahlawan Melayu yang dianiaya ini telah berkahwin dengan orang istana Perak bernama Halimah.  Hasil daripada Hang Tuah-Halimah lahirlah empat orang anak bernama (1) Mas Da, (2) Seri Dewi, (3) Mat Saaih dan (4) Hang Semaun.  Mas Da berkahwin dengan Bendahara Perak lalu melahirkan anak yang dikenali sebagai Tok Temu. Seri Dewi berkahwin dengan Raja Mahmud (Yang Dipertuan Negeri Perak). Mat Sain tidak dapat dikesan pergerakan keturunannya, tetapi ada khabar bahawa keturunannya bermastautin di Kerdau. Hang Semaun pula, keturunannya dikatakan berada di Ulu Pahang (Raub dan Lipis), dan Hilir Pahang (Langgar – Pekan).



Hasil perkahwinan Seri Dewi-Raja Mahmud telah melahirkan putera yang diberi nama Raja Muhammad atau nama timang-timangannya Baginda Demu.  Baginda Demu kemudian difitnah sebagai “sial” semasa berada di Istana Perak, lalu putera raja itu diperintah keluar dari istana. Namun begitu, Baginda Demu diselamatkan oleh Bendahara Perak dengan menjadikannya sebagai “anak angkat”. Baginda Demu kemudian dikahwinkan dengan Tok Temu (Puteri Bendahara Perak). Setelah berkahwin atas sebab-sebab keselamatan, Baginda Demu dan isterinya Tok Temu dibuang daerah, lalu mereka suami-isteri keluar dari bumi Perak, lalu mencari petempatan baru, melalui daratan, rabung bukit, dan akhirnya bertemu dengan kemuncak Sg. Jelai Kecil (Ulu Jelai – Ulu Pahang) menghilir mengikut Sungai Jelai Kecil (Ulu Pahang), dan membuat kediaman di sebuah tempat yang dikenali sebagai Lubuk Yong berdekatan dengan Pasir Mas.[1] Hasil perkahwinan Baginda Demu-Tok Temu telah melahirkan (Raja) Muhammad Ali Jaafar atau kadang-kadang disebut oleh waris-warisnya sebagai Wan Muhammad Ali Jaafar, tetapi panggilan Tok Diong lebih popular.[2]



Penelitian sejarah setakat ini kuat menunjukkan bahawa titisan zuriat Hang Tuah di Hulu Perak itu amat rapat hubungan dengan Masyarakat Rawa yang mendiami Raub (Pahang). Hubungan ini dikatakan berlaku apabila seorang gadis Rawa bernama Tok Mikrah bernikan dengan Raja Ahmad@Panglima Perak@Tok Perak yang membuka Kg. Sengkela (Sega – Raub, Pahang). Tok Mikrah diriwayatkan bersusurgalurkan Tok Kaya Busu (Orang Kaya Lipis - Budu) beranakkan Kulop Mat Daham. Dalam sejarah orang-orang Rawa Baru di Raub ini, mereka memadamkan hubungan persemendaan Rawa Raub dengan keturunan Rawa Budu dan seolah-olah orang Rawa baru ini tiada kaitan darah dengan orang Budu dan Sega.[3] Mengenai susurgalur Hang Tuah, ada juga beberapa individu mendakwa bahawa mereka adalah titisan warisan Hang Tuah meskipun sudah melebihi tujuh generasi.[4]


[1]  Lubok Yong atau disebut juga Yong Belik dan Pasir Mas :  Lokasinya di tebing Sg. Jelai dan dalam kawasan Bandar Lipis (lama) sekarang.

[2]  Dalam SALASILAH BAGINDA DEMU yang ada dalam simpnanan keluarga tokoh ini ditulis sebagai MUHAMMAD ALI JAAFAR sahaja. SALASILAH BAGINDA DEMU yang agak lengkap boleh dirujuksilang daripada SALASILAH BAGINDA DEMU milik Dato’Razak Ator yang kini tinggal di Ampang, Selangor DE.

[3] SALASILAH KELUARGA ORANG KAYA IBRAHIM (BUDU) menunjukkan Tok Ba binti Abu Samah binti Malek bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endik bin Mohamad Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) telah bernikah dengan Fakih Khalifah (Rawa Temau) beranakkan Saadiah, Hj. Salam, Hj. Abdul Raof, Hjj. Saripah dan Adam.


[4]  Warisan Hang Tuah di Lipis : (1) Hashim Zabidi (Kg. Tempoyang – Kuala Lipis), (2) Novelis Hasanuddin Md. Isa (Pengetua Sek Men Agama Al-Falah - Batu Talam, Raub – Pahang), (3) Mohd. Baharuddin Mohd. Sidi (Baharuddin CD) – Cerpenis kelahiran Kuala Lipis – Pahang.