Penulis :
Dato’ ARIPIN BIN SAID (aripinsaid@gmail.com)
Budayawan Pahang
Menurut Pondok Berhala Gantang
(Temerloh – Pahang), Tok Jebek
dilahirkan pada tahun 1842, dan diceritakan enam tahun lebih muda daripada
Sultan Ahmad Al- Muadzam Shah. Tokoh ini lahir di Kampung Bohor, Bera
(sekarang tempat ini dikenali sebagai Rancangan Perpindahan Selepas Banjir
(RPSB) Bohor Baru, Daerah Bera). Beliau
dibesarkan dalam budaya desa di bawah bimbingan keluarganya. Ketika berusia 10 tahun, beliau telah diasuh
oleh bapanya Tok Akil yang juga
seorang Imam Perang, serta datuknya Abdul Jabar seorang pemimpin yang disegani
di Wilayah Bohor ketika itu. Semasa
kecil lagi, Tok Jebek diajar mengaji Quran serta didikan agama oleh bapanya
sendiri. Seawal usia sepuluh tahun juga
Tok Jebek telah dilatih mempelajari pencak silat, tarian perang, dan bermain
senjata seperti keris, lembing dan pedang.
Selain itu, Tok Jebek juga diajar tentang ilmu hutan dan sungai, dan
mahir dalam ilmu perburuan, menahan jerat dan menggetah burung, mengambil
manisan lebah, menuba ikan, serta membuat segala jenis alat menangkap ikan,
termasuk terubing, lukah, tuar, dan jala.
Tok Jebek tidak ketinggalan mendalami ilmu agama di
Kg. Berhala Gantang (Balik Gantang) dan Bangau. Di Bohor, pembelajaran mengenai agama Islam terus berkembang walaupun tidak ada institusi pondok didirikan. Program pengajian Quran diadakan pada malam hari
di rumah-rumah tertentu. Begitu juga dengan Fardhu A’in, menulis dan membaca jawi.
Selain membaca Quran, penduduk setempat
juga membaca syair Siti Zabaidah, Dandan Setia dan Syair Asyiqin karangan Tok Shabuddin
Zainal Abidin (Pengasas Pengajian Pondok Berhala gantang, 1650-1770M). Dalam konteks peribadi, Tok Jebek menguasai
ilmu persilatan, arif berburu, pandai bermain sepak raga, pandai bersyair,
dikir rebana, dan bergendang. Kesenian Islam ini dipelajari Tok Jebek dari
ayahanda dan datuknya.
Pada zaman Tok Jebek dikatakan
terdapat tujuh buah masjid di Bohor.[2]
Jumlah penduduk di wilayah ini agak ramai.
Sungai dan hutan merupakan sumber rezeki penduduk. Namun begitu, “bersawah padi” merupakan kegiatan utama penduduk di samping
mengusahakan dusun buah-buahan. Di sini
juga, ramai orang arif tentang perubatan tradisi yang menggunakan akar kayu
serta sumber hutan. Kebergantungan
kepada pawang, bomoh dan bidan sangat kuat. Wilayah ini turut menjadi kawasan
logistik Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah dalam banyak hal seperti mendapatkan
sumber makanan, hasil-hasil hutan maupun ubat-ubatan. Ketika Perang Saudara (1857-1863M) misalnya,
Wilayah Bohor menjadi tumpuan untuk mengubat orang-orang yang cedera dalam
peperangan. Tasik Bera menjadi ikon kepada penduduk. Nama Tok Jebek begitu masyhur di Bohor (Bera). Di samping karismanya
sebagai elit tradisional, warisan Tok Jebek seperti keturunannya, riwayatnya,
dan peninggalannya menjadi kebanggaan penduduk sejak zaman berzaman.
Dalam tahun 1885, ketika berada di
Pahang F.A. Swettenham (Aruna
Gopinath, 1993: 51) mencatatkan bahawa Orang
Besar Berlapan Pahang ialah (1) Toh Muda Tunggal, (2) Toh Jabe, (3) Toh Bangau, (4)Toh Omar, (5) Toh Penggawa, (6) Toh
Lela, (7) Orang Kaya Lipis, dan (8) Orang Kaya Jelai. Nama Tok
Jebek ditulis sebagai Tok Jabe. Nama penuh jawatan itu tidak disebut, yakni Dato’ Setia Raja Tok Jebek. Tok Jebek dianugerahkan gelaran Tok Muda (Orang Besar Enam Belas
Pahang) pada tahun 1866 mengenangkan jasa anak muda 24 tahun ini yang turut
menyertai angkatan perang Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863).
Sewaktu dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Raja (1880M) oleh Bendahara
Sewa Raja (BSR) Wan Ahmad ibni BSR Tun Ali, Tok Jebek menerima perkara-perkara berikut : (1) Gelaran : Dato’ Setia Raja, (2) Gelaran Panglima
Gajah Tunggal, (3) Satu persalinan Baju
Melayu, (4) Sehelai Kain Tengkolok
(batik), (5) Bengkong (tali pinggang
songket), (6) Sebuah Pending Perak,
(7) Sebilah Keris Panjang, (8)
Sebuah Cop Kuasa, dan (9) Bendera Pembesar. Peninggalan yang
masih ada dalam simpanan ialah bendera, bengkung dan kain tengkolok (destar).
Bendera Tok
Jebek mengandungi konsep pentadbiran
dan falsafah pemerintahan beliau di Wilayah Bohor seperti terjemahan berikut : (1) Warna Bendera - Hijau:
mengutamakan Islam, mesra alam, luas saujana pandangan mata; luas akal fikiran,
bijak bicara dan saksama. Hijau merujuk kehijauan alam semulajadi sebagai nadi
kehidupan masyarakat ; (2) Grafik Bunga
Melor Warna Putih : Bunga Melor harum mewangi membawa makna kemasyuran nama
Tok Jebek dan nama Sultan, serta negerinya; (3) Warna Putih: Warna Putih lambang kesetiaan kepada Raja Pemerintah;
(4) Bunga Melor Empat Kelopak :
menunjukkan kawasan pentadbiran dan wilayah Tok Jebek, iaitu Timur, Barat,
Utara dan Selatan. Namun dalam hal ini,
Tok Jebek menggunakan perkataan Arab untuk Timur dan Barat –“Mushrik” dan “Maghrib”, manakala bagi Utara dan Selatan Tok Jebek menggunakan
perkataan Sanskrit – “Paksina” dan “Daksina” di samping merujuk pentadbiran Tok Jebek mengikut sifat
wajib bagi nabi, iaitu Sidek, Amanah, Tabligh dan Fatonah. Kelopak Bunga Melor juga melambangkan ilmu
persilatan Tok Jebek, iaitu langkah,
bunga buah dan tangkas. Falsafah Silat
Tok Jebek : mati langkah kerana
bunga; mati bunga kerana buah; mati buah kerana tanhgkas.
Keistimewaan Tok Jebek ialah
mempunyai hubungan langsung Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, dan bebas memasuki
Istana Raja. Segala pandangan Tok Jebek mudah diterima oleh Sultan. Tok Jebek
juga mempunyai hubungan erat dengan semua Orang Besar Negeri Pahang, terutama
Dato’ Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Muhammad bin Dato’ Wan
Idris (OKIMPJ Ke-6), Dato’ Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor, Dato’ Orang Kaya
Indera Segara Temerloh, Imam Indera Gajah dan puteranya, Pahlawan Mat
Kilau. Tok Jebek tidak terkecuali
mempunyai hubungan yang baik dengan warga Istana. Tok Jebek juga pernah mempunyai hubungan
urusniaga dengan Habib Hassan yang mengusahakan “Lombong Emas” di Pahang, dan
Abdullah Hukum (1835-1943) yang berurusan jual beli kerbau. Ketika itu, di Semantan dan Bentong tempat
mereka berniaga, seekor kerbau berharga
$10.00 hingga $20.00 sahaja. Tok Jebek
juga mempunyai hubungan rapat dengan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur, dan Orang
Asli.
Dato’ Setia Raja ini dikatakan
sentiasa bersama tuannya di mana-jua berada.
Menurut penduduk Kg. Bohor, Tok Jebek sentiasa berulang-ulang dari Bohor
ke Pekan menggunakan perahu kajangnya dengan pengiring atau
pengikut-pengikutnya dari Bohor sambil “bergendang hilir, bergendang mudik.” Di mana bermalam dia akan singgah berdikir
rebana dan bermarhaban. Tok Jebek turut
serta dalam Perang Kelang 1868-1873 semasa berusia 20 tahun. Beliau juga turut serta dalam Perang Saudara
(1857-1863) di Pahang. Dalam tahun 1862,
Tok Jebek mengiringi Sultan Ahmad ke
Kelantan. Pada 13 Julai 1897, Tok Jebek
mengiringi Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah ke Durbar Pertama di Kuala Kangsar
Perak.
Dipercayai juga Tok Jebek ke Kelantan semasa pertemuan
pegawai-pegawai kerajaan Siam yang diketuai oleh Luang Visudh dengan Pahlawan
Pahang yang diketuai oleh Teh Ibrahim dan Mat Lela di Kota Bharu. Pada waktu
itu, pahlawan Pahang diam di Besut. Pertemuan ini diadakan di rumah Pak Kub
(Yaakub) pada waktu malam. Mereka yang hadir pada waktu itu ialah Dato’ Setia
Raja, Tok Imam Haji Abdullah, Sahak Mandari, Tok Kuing Aur Gading dan Mamat atau
Pak Alu.
Semasa Tok
Jebek menjadi Orang Besar Bohor,
masyarakat Bohor memiliki beberapa keistimewaan. Antara lain yang dapat disebut
: (1) Ramai orang Melayu Bohor bergelar “Lebai Kampung”; (2) Pandai membuat
perahu kajang yang cantik dan tahan; (3) Ampuh dengan ilmu hutan dan sungai;
(4) Ramai yang mempelajari Seni Silat; (5) Pandai bergendang; (6) Ramai yang
berkebolehan berdikir rebana, marhaban dan berzanji serta kesenian-kesenian
yang lain; (7) Ramai yang menjadi pawang, dukun dan bidan; dan (8) Pandai
bermain sepak raga bulatan. Keistimewaan
penduduk Kg. Bohor ini sentiasa dipersembahkan oleh Tok Jebek kepada Sultan
Ahmad Al-Muadzam Shah dalam majlis-majlis keramaian yang diadakan di Istana
Raja, malah baginda amat berbangga dengan kebijaksanaan anak buah Tok Jebek.
Dalam tahun 1924, Tok Jebek
dikatakan telah meninggal dunia. Sewaktu jenazah Tok Jebek siap disempurnakan
untuk dibawa ke perkuburan, dua orang Pawang Bohor, iaitu Pawang Maulud dan Pawang
Merah telah mendekati jenazah. Pawang Maulud dan Pawang Merah masing-masing
menggunakan ilmu untuk melihat keadaan sebenar Tok Jebek. Salah seorang daripada mereka berkata, “ Cuba
kita tengok Jebek ni bersama dengan kita atau tidak.” Masing-masing makan sireh dan meludah air
pinang di tapak tangan melihat waktu ketika itu. Pawang Merah berkata dalam renungannya Tok
Jebek telah mati dan tidak bersama-sama mereka lagi. Meskipu begitu, Pawang Maulud melihat Tok
Jebek masih hidup, dan akan bersama-sama dengan mereka.
Tidak lama kemudian Tok Jebek bangun
duduk berlunjur. Melihat keadaan ini, semua yang ada ketika itu lari
lintang-pukang terjun tidak bertangga kerana takut. Hanya beberapa adik beradik
dan saudara- mara yang rapat tidak lari sebaliknya bertanya, “Siapa kamu ni.
Syaitan atau Jebek. Kalau Jebek mengucaplah.” Sejurus kemudian, Tok Jebek pun
mengucap dua kalimah syahadat, lalu meminta air untuk minum. Tok Jebek minum
bercawan-cawan air, tetapi kemudainnya dilarang oleh Pawang Maulud. Tok Jebek
bercerita semasa tidak sedarkan diri, dia berjalan di satu padang yang sangat
luas dalam keadaan keletihan dan kehausan. Tiba di tepi padang, terdapat
sebatang balak yang sangat besar. Sewaktu akan melangkah balak tersebut dia
mendengar satu suara. “Bukan Jebek ini yang
kita jemput. Jebek lain. Hantar dia balik.”
Dalam pada itu Tok Jebek tersedar dan melihat orang ramai di halaman
rumahnya. Demikianlah, satu peristiwa
yang agak aneh berlaku ke atas Orang Besar Bohor ini.
Pada tahun 1924 sebelum banjir besar
berlaku, Tok Jebek mengambil keputusan untuk ke Mekah menunaikan Fardhu
Haji. Kemudian, beliau beberapa ketika
tinggal di Mekah kerana ingin mendalami pengajian agama Islam. Sesudah itu, Tok Jebek kembali ke Bohor, dan
berkhidmat di bawah Sultan Abdullah sehinggalah beliau menerima gelaran Panglima Gajah Tunggal, Dato’ Setia
Raja, Tok Jebek bin Tok Akil. Selain di Wilayah Bohor (Bera –
Pahang), waris Tok Jebek juga ada di Negeri Sembilan, dan beberapa buah negeri
lain di Semenanjung Tanah Melayu. Makam
ayahandanya, Tok Akil, dan makam
nendanya, Tok Abdul Jabar terdapat
di Makam Kuala Bohor (di Kuala Sungai Bohor berhampiran
denga tebing Sungai Pahang). Makam-makam
ini mudah dikenali kerana nesannya yang berbeza dengan nesan-nesan yang lain.
Makam Tok Abdul Jabar yang dikenali juga dengan nama Makam Tok Karai. Di
sebelah hilir makan tersebut terdapat sebuah kampung yang dinamakan Karai.
[1] Kertas Kerja Asal telah dibentangkan dalam Siri
Ceramah Persatuan Sejarah Malaysia (Pusat), Wisma Sejarah, Kuala Lumpur pada 10
Mac 2012.
[2]
Wilayah Bohor (Bera – Pahang) : Kg. Bohor,
Kuala Bera, Batu Papan, Karai, Pulau Kening, Serendang, Puchong, Pandau, Rotan
Sega, Batu Bor, Paya Keladi, Chenderong, Lubok Lian, Tebing Tinggi, Paya Serai,
Bukit Rok (Petempatan Orang Asli), dan Lubok Kuin (Tasik Bera).
Assalamualaikum. Boleh saya post artikel ni dlm fb saya?
ReplyDelete