Sunday 7 December 2014

(23) TUN IBRAHIM BIN TUN MUHAMMAD : BANGSAWAN MELAYU MELAKA PENGASAS TANJUNG LIPIS

Penulis :
Hj. Mohamad Salleh bin Hussein (Generasi Ke-11  TUN IBRAHIM)
(bin Zakaria bin Tok Setia Ismail bin Tok Maulud bin Tok Pandak Sapa bin Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM bin Tun Muhammad bin Tun Umar bin TUN HASSAN TEMENGGUNG (Melaka) bin Bendahara Tun Mutahir (Bendahara Melaka) bin Seri Nara Diraja Tun Ali (Darah Hindi-Melayu) bin MANI PURINDAN (Raja Pahili - Rajasthan - Hindi).
Kg. Kol, Pos Damak,  27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.


Bismillahirrahmannirrahim. Segala Puji Bagi Allah Seru Sekalian Alam.  Salam dan Selawat Kepada Nabi Besar Junjungan Nabi Muhammad s.w.t, seluruh keluarga, dan para sahabat Baginda.

Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya saya dapat menyempurnakan karangan ini (asalnya teks Jawi dalam 33 halaman sahaja) pada tanggal 3 Mac, 2011 bersamaan 28 Rabiul Awal 1432 Hirah setelah sekian lama riwayat Tun Ibrahim bin Tun Muhammad ini tersimpan dalam ingatan saya. Namun begitu, saya telah ringkaskan riwayat ini untuk disesuaikan dengan keperluan penulisan ini.



Mengikut yang empunya cerita,[2] Tun Ibrahim ialah seorang Bangsawan Melayu yang berasal dari Melaka, tetapi telah bermastatin di Johor.  Setelah beberapa lama di sana, maka Tun Ibrahim bersama keluarga dan para pengikut setianya telah berhijrah ke Patani mengikut jalan laut.  Setibanya Tun Ibrahim di Patani, lalu beliau mengadap Raja Melayu Patani (Islam), dan menyatakan hasratnya untuk berbakti, berbuat jasa, dan taat setia  kepada Raja Melayu Patani itu. Kebetulan ketika itu, Patani belum ada Bendahara, maka diperkenankanlah oleh Baginda akan Tun Ibrahim menjadi Bendahara Patani. Sebaik sahaja dilantik sebagai Bendahara Patani, maka Tun Ibrahim bersama keluarga, dan para pengikut setianya yang agak ramai juga jumlahnya telah ditempatkan di sebuah daerah yang dikenali sebagai “Jelu”[3]. Ketika itu, Jelu dikatakan amat terkenal dengan pelbagai kejahatan dan jenayah. Dengan kebijaksanaan dan keberanian Bendahara Tun Ibrahim (Patani) menentang segala unsur kejahatan dan jenayah ini, Jelu dan daerah-daerah lain di Patani menjadi semakin aman.  Maka, amat sukacitalah Raja Melayu Patani itu akan Bendahara Tun Ibrahim kerana jasanya member keamanan kepada Patani.  Maka tersohorlah nama Bendahara Tun Ibrahim di seluruh Patani.  Para pedagang pun ramailah yang berkunjung dan berdagang di sana kerana negeri itu sudah aman. Di Jelu pun ramailah orang yang berkunjung dan tinggal di  sana.



Jasa Bendahara Tun Ibrahim terhadap Raja Melayu Patani tidaklah terperi. Namun begitu, ditakdirkan bahawa Bendahara Patani ini tidak dapat tinggal lebih lama di sana disebabkan satu peristiwa yang menyebabkan kemangkatan seorang putera Raja Patani, kononnya terkena hayunan tongkat Bendahara Patani itu. Meskipun mendengar berita sedih itu, Raja Patani yang baik hati itu tidak sampai hati untuk murka terhadap Bendahara Tun Ibrahim, tetapi cukup sekadar menunjukkan “kekesalan” terhadap peristiwa yang berlaku itu. Bagi Bendahara Tun Ibrahim yang cukup berpengalaman berasa tidak sedap hati atas peristiwa itu, lalu beliau memutuskan untuk tidak mahu lagi tinggal di Patani, sebaliknya ingin mencari negeri yang baru di sebelah selatan Patani, yakni Negeri Kelantan. Di Kelantan, tidaklah diketahui daerah mana Tun Ibrahim dan para pengikutnya menetap, tetapi yang pasti seorang anak Tun Ibrahim bernama Siti Dewi telah berkahwin dengan seorang individu berketurunan Megat di Kelantan.  

Tun Ibrahim tidak lama di Kelantan kerana beliau mendapati di sana juga kurang sesuai, lalu mengambil keputusan untuk berhijrah ke Terengganu[4] untuk menyerahkan untung nasibnya. Tempat yang menjadi pilihan Tun Ibrahim dan para pengikutnya ialah Kuala Terengganu. Setelah beberapa ketika di Terengganu masih juga bekas Bendahara Patani ini tidak berpuas hati, lalu beliau berfikir untuk mencuba nasibnya di Pahang pula. Maka bertolaklah Tun Ibrahim dan para pengikutnya ke Negeri Pahang lalu singgah di Kuala Pahang.



Setibanya di Kuala Pahang, lalu Tun Ibrahim mengadap Raja Bendahara Pahang yang dikenali ketika itu dengan gelaran Tun Kuni sambil menceritakan hal-ehwal beliau dan keluarga serta para pengikutnya berhijrah dari Johor, Patani, Terengganu, dan akhir ke Pahang untuk mencari tempat tinggal yang lebih sesuai.  Kata Tun Kuni kepada Tun Ibrahim, “Awak pun Bendahara, sahaya pun Bendahara, oleh itu awak pergilah ke Ulu Pahang. Di situ dah ada orang, tidaklah ramai. Dato’ perintahlah di sana, tetapi apabila Dato’ dah ramai pengikut dan kuat, janganlah awak menderhaka ke hilir ini pulak.” Begitulah pesanan Raja Bendahara Tun Kuni kepada Tun Ibrahim.



Setelah beberapa hari mudik dari Kuala Pahang menuju ke hulu lalu Tun Ibrahim dan pengikutnya sampai di Kuala Tembeling (hulu Sg.Pahang). Perjalanan sungai diteruskan lagi dari muara Sg. Jelai (Kuala Tembeling) hinggalah perahu kenaikan mereka sampai ke satu tempat di pertemuan muara Sg. Lipis dan Sg. Jelai (Kuala Lipis) yang kini dikenali sebagai Tanjung Lipis,[5] lalu mereka berhasrat berhenti di situ.  Ketika itu, kawasan yang disinggahi itu belum bernama. Penghuninya terdiri daripada orang Asli.  Sewaktu perahu kenaikan Tun Ibrahim singgah di tebing muara Sg. Lipis, kelihatan ramai orang Asli yang menunggu di tebing sungai memerhatikan kedatangan mereka sambil segelintir mereka memegang lembing.[6]


Sebagai bekas Bendahara dan panglima yang banyak pengalaman dan merantau, suasana demikian tiadalah apa-apa baginya.  Untuk menguji kehandalan orang Asli di tempat yang baru ini, lalu Tun Ibrahim mencacak “galah perahu” di tebing sungai itu agar mudahlah perahu kenaikannya rapat ke tebing, dan mudah pula bagi beliau untuk naik ke daratan.  Sebaik sahaja Tun Ibrahim cuba memijak tebing sungai berdekatan dengan galah yang dicacak itu, salah seorang Asli lalu berkata, “Jangan pijak !” Kalau pijak nanti lembing ni kena ke dada awak.”  Mendengar kata-kata orang Asli itu, maka tak jadilah Tun Ibrahim naik ke darat.  Tanya Tun Ibrahim, “Kenapa tak boleh naik ke darat ? Jawab orang Asli itu, “Awak orang suka membawa kerbau.  Anak cucu kome takut kerbau.”  Kata Tun Ibrahim, “Tengoklah dalam perahu kome tu !” Setelah ditengok oleh orang Asli itu tiada kerbau, maka diamlah orang Asli tersebut.  Sambung Tun Ibrahim lagi, “Kedatangan kami di sini hendak berbaik-baik dan tolong-menolong, serta hidup bersama-sama.”  Itupun tidak dibenarkan juga naik oleh orang Asli itu, lalu Tun Ibrahim berkata lagi, “Kalau begitu, kome hendak baliklah.”  Dengan pantas orang Asli itu menjawab, “Ha, pergilah balik ! Jangan tinggal besar jari pun harta awak di sini.”  Dijawab lagi oleh Tun Ibrahim, “Macamana dengan galah kome di tebing tu, tolonglah cabut !”  Dengan rasa angkuh orang Asli itu menjawab, “Ah…cabutlah sendiri ! “  Tun Ibrahim lantas menjawab, “Bukankah galah itu ada di tebing, nanti kalau kome naik, kome kena tikam pulak di dada.”  Maka orang Asli itu pun cuba mencabut galah itu, tetapi ternyata tidak dapat ducabut, maka datanglah empat lima orang lagi kawan-kawannya, tetap juga tidak dapat dicabut galah itu.  Kemudian, berkata salah seorang daripada orang Asli itu, “kerat sajalah”, lalu serta-merta Tun Ibrahim menyanggah, “Hai, jangan kerat, nantu tinggal pula harta kami di atas bukit tu, tadi awak me kata jangan tinggal sebesar jari pun harta kami di sini, pangkal galah ni besar”.  Natijah peristiwa ini, maka akhirnya, dibenarnyalah Tun Ibrahim naik ke darat bersama-sama rombongan.


Sesudah mendapat kebenaran naik ke daratan, maka Tun Ibrahim pun memerintahkan anak buahnya mencari tapak yang sesuai untuk dibuat pondok kediaman, dan juga tempat mereka bercucok-tanam. Apabila sudah siap dibina rangka pondok kediaman daripada kayu-kayan yang terdapat di situ, mereka kemudian merayau-rayau mencari daun-daun untuk dibuat atap. Kebetulan di kawasan pinggir sungai itu terdapat banyak “pokok pedor”  dan juga “pokok rumbia”, lalu mereka memancas pelepah pedor dan juga rumbia, serta menanggalkan daun-daun tersebut daripada pelepah satu persatu. Setibanya mereka di pondok lalu Tun Ibrahim menegur perbuatan mereka, bahawa daun pedor atau pun daun rumbia itu tidak boleh ditanggalkan daripada pelepah, sebaliknya daun-daun tersebut hendaklah di“lepeh” terlebih dulu, yakni sebelah bahagian daun itu perlu dipatahkan seperti anyaman (dilepeh) menjadi separuh pelepah sahaja. Oleh kerana baru itulah para pengikut Tun Ibrahim mendengar perkataan “lepeh”, maka tempat mereka singgah dan membuat petempatan itu lalu dinamakan Tanjung Lepeh, muara sungai yang menjadi terminal persinggahan itu dinamakan Kuala Lepeh, dan sungai tersebut juga dinamakan Sg. Lepeh.  Perkataan “lepeh” berubah menjadi “lipis” menurut Ahmad Kotot[7] disebabkan pelat lidah orang Inggeris seperti ejaan “Lipis” yang terdapat dalam Pelan Topografi (1929).   
 

Sewaktu berada di Tanjung Lipis, maka Tun Ibrahim pun mengatur putera-puteranya agar meneroka dan menjaga beberapa buah daerah sekitarnya.  Tun Bandan ditugaskan untuk menjaga kawasan bermula dari Kuala Lipis menyusur Sg. Jelai hingga ke Ulu Jelai.  Tun Bandu ditugaskan untuk menjaga Lembah Sg. Lipis.   Tun Bahar ditugaskan  menjaga kawasan bermula dari Kuala Lipis hingga ke Cheka.  Sementara itu, Tanjung Lipis kekal beberapa tahun sebagai pusat pemerintahan Tun Ibrahim.  Ketiga-tiga putera Tun Ibrahim bersama-sama pengikut masing-masing membuka petempatan baru, membuat kediaman, mengerjakan sawah padi, mencari emas, dan hasil-hasil hutan bagi keperluan mereka.  

Kehadiran Tun Ibrahim dan putera-puteranya di Lembah Lipis telah menjadi sebutan masyarakat tempatan, termasuk orang Asli yang masih ramai membuat petempatan ketika itu di sekitar Lembah Sg. Lipis, Lembah Sg. Jelai.  Ketika ini juga, Tun Ibrahim tidak diragui telah bertemu dan menjadi sahabat kepada beberapa orang elit tradisional yang sudah ada di Ulu Pahang seperti Embong Pian, Imam Ngah Endek dan Hang Semaun.


[1] Hj. Muhammad Salleh Husin, Kg. Koi, Pos Damak,  27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur.

[2]  Pemilik asal riwayat Tun Ibrahim bin Tun Muhammad ialah To’ Setia Ismail bin Maulud - Orang Besar 16 Pahang (era pemerintahan Bendahara Sewa Raja Tun Ali ibni Tun Koris 1806-1857M dan era Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad 1863-1882 – Bendahara Pahang terakhir). Riwayat Tun Ibrahim ini kemudiannya didengar dan diterima secara lisan oleh Pn. Masheran binti To’ Setia Ismail, dan setelah itu didengar secara langsung oleh penulis (Hj. Muhammad Salleh bin Hussin) kira-kira dalam tahun 1947 semasa penulis berusia belasan tahun.

[3] Jelu (Patani) : Seorang cucu saudara To’ Mat Piah bin Dato’ Setia Ismail bernama Hitam bin Abu Man ke Patani (1936) yang tinggal di Tg. Besar (Budu), kononnya menyamar berniaga di Jelu (Patani) sambil merisek mencari waris Tun Ibrahim. Di Jelu, Hitam bin Abu Man secara diam-diam mengetahui dan melihat dengan matanya sendiri bahawa titisan waris Tun Ibrahim sebahagian besarnya mempunyai kedudukan dan kaya-raya belaka.  Tanpa memperkenalkan dirinya di sana, sekembalinya Hitam bin Man ke Tg. Besar, maka diceritakanlah hal-ehwal yang dilihat di Jelu itu.  Katanya, “saya tahu tempat itu sudahlah” kepada penulis.

[4]  Bukti Tun Ibrahim bersama keluarga dan pengikut setianya pernah tinggal di Kuala Terengganu diceritakan oleh Haji Zainal Abidin bin Imam Bakar, seorang sejarahwan Tanjung Besar, Budu  (Benta – Pahang) yang pernah berkunjung ke Kuala Terengganu dalam tahun 1950. Di sebuah masjid di Kuala Terengganu, Haji Zainal Abidin telah bertemu secara tidak sengaja dengan Syed Sakah yang ada hubungan kekerabatan dengan Tok Muda Mat Piah (meninggal pada 30 Mei, 1941M) sebelah moyang perempuan beliau.  Jadi, di Kuala Terengganu masih ada kaum kerabat Tun Ibrahim.

[5]  Tanjung Lipis : Lokasi di sebelah kiri muara Sg. Lipis. Ketika itu, kawasan ini dipenuhi hutan belantara, dan banyak terdapat “pokok pedor” yang boleh digunakan sebagai atap rumah. Penduduk Tanjung Lipis ketika itu hanyalah orang Asli di bawah kepimpinan Batin Orang Asli.   

[6]  Adalah menjadi kebiasaan bagi orang Asli berkumpul dan menunggu sesiapa sahaja yang  baru datang ke tempat mereka. Pada zaman primitif dan tradisional, “senjata” merupakan sebahagian daripada pakaian individu.


[7]   Ahmad Kotot : Lahir 10 Jun, 1894 di Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Penulis Melayu (Malaysia) pra Perang Dunia II (1942-1945).  Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau menggunakan beberapa nama pena seperti Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut. Pendidikan : Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus Darjah 5 (Sekolah Melayu).  Pernah menjadi guru sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala Lipis. Menerima Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka (1916-1918).

No comments:

Post a Comment