Wednesday 3 December 2014

(20) LOO SOON@BEDU AMAT : KAPITAN CINA YUNAN PENGASAS KG. DUSUN

Penulis :
HJ. ABDUL RANI WAHAB (ranialhaj@yahoo.com)
(Guru Penolong Kanan 1 - Pentadbiran : SMK Kuala Lanar - Kuala Lipis - Pahang)

                                                 

Semenanjung Tanah Melayu telah sejak dulu dikenali sebagai “Semenanjung Emas”. Kekayaannya menjadi idaman semua orang dari timur hingga ke barat. Kerajaan-kerajaan awal seperti Kedah Tua, Cheh Tu dan Gangga Negara terbukti mempunyai hubungan dagang dengan dunia luar.  Negeri Pahang merupakan salah satu lokasi utama yang menjadi tumpuan pencari emas. Sewaktu Pekan Lipis dibuka oleh Dato’ Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (1863), beberapa tempat di Lipis seperti Selinsing (Ulu Jelai), Bukit Kota, Bukit Betong, Budu, Benta, Kg. Pagar, Padang Tengku, termasuk Kg. Dusun (Kechau – Lipis, Pahang) telah wujud sebagai petempatan tradisional. Di tempat-tempat ini bukan sahaja bangsawan-bangsawan Melayu keturunan Melaka, Perak, Johor-Riau dan Pagaruyung (Minangkabau) membuka petempatan tradisional Melayu sejak sekitar 1450M lagi dan berlanjutan ke era sesudah Kota Melaka ditawan Portugis (1511),[1] tetapi juga terbukti berlaku pemigrasian sekumpulan orang Cina dari Yunan ke Ulu Pahang.

Menurut satu versi oral tempatan, diriwayatkan bahawa seorang Kapitan Cina bernama Loo Soon, dan beberapa orang pengikutnya telah memasuki Ulu Pahang melalui Sg. Pahang, Sg. Jelai, lalu masuk ke Sg. Kecau (anak Sg. Jelai), dan membuat petempatan awal di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Kg. Melaka sekitar tahun 1700M. Rombongan Kapitan Cina Lee Soon sekitar 10 orang ini pada mulannya tiba ke sebuah tempat dalam Sg. Kecau yang dikenali sebagai Jeram Buta,[2] dan kemudiannya mereka meminta izin untuk tinggal sementara bersama masyarakat Melayu di situ. Berhampiran dengan Jeram Buta (sekitar 400 meter ke hilir) terdapat lebih daripada 40 buah makam lama yang ditandai dengan Batu Sungai.[3]
Di Makam Kg. Dusun terdapat batu nesan berusia kira-kira 300 tahun dipercayai kubor anak Kapitan Lee Soon@Bedu Amat yang bernama Haji Muda, dan cucunya Karim.[4] Kubur Loo Soon@Bedu Amat dipercayai berada di Kuala Kenong - Jeram Buta, tetapi lokasi sebenar belum dapat dikesan.[5]




Loo Soon atau nama Islamnya Bedu Amat atau dikenali juga dengan gelaran Tok Dusun telah berkahwin dengan gadis tempatan, dan memperolehi empat orang anak.[6] Kedatangan Kapitan Loo Soon seperti juga kelompok ras yang lain ke Ulu Pahang khasnya ke Kecau atas dasar mencari ”emas”. Persekitaran Kg. Dusun dan tempat- tempat lain di kawasan Kechau memang banyak terdapat bekas-bekas kerja mencarigali emas. Di Kg. Rimun terdapat sepasang ”Kubur Cina” yang masih diziarahi oleh waris-warisnya sehingga tahun 1970an. Di Sg. Rempai, ada dijumpai serpihan pinggan tembikar warna biru yang biasanya dipunyai oleh orang-orang Cina. Sg. Kechau merupakan lebuh raya utama hubungan untuk keluar ke Kuala Lipis, Sg. Jelai, dan Sg. Pahang. Jeti utama terletak di hadapan masjid Kg. Dusun. Ketika itu, Kg. Pagar (Penjom) sudah menjadi pusat urusniaga dan pusat carigali emas.
Keperluan makanan bergantung kepada penanaman padi. Kawasan sekitar Kg. Dusun adalah jelapang padi yang berupaya menampung keperluan penduduk setempat. Air empangan datang dari Sg. Keruat yang mengalir di tengah kampung tersebut. Sumber ekonomi utama yang lain ialah mencari hasil hutan seperti getah jelutung dan damar.[7] Seni Silat adalah antara aktiviti sosial yang penting hidup bersama masyarakat tempatan sebagai benteng pertahanan kampung. Seorang pendudok Kg. Dusun pernah bertugas sebagai petugas istana di Istana Pekan. Pada zaman penentangan terhadap British, Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan pernah berkubu di sini semasa berundur ke Hulu Terengganu.  Pendekar Wahab adalah seorang guru silat terkenal yang meninggal dunia tahun 1980 an.
Terdapat seorang saudara Kapitan Lee Soon yang datang bersamanya telah menetap di Pulai (Gua Musang – Kelantan), dan tidak beragama Islam, antaranya ialah keluarga En. Chiew. Beliau mengakui berasal dari keturunan Kapitan Lee Soon, tersebut tetapi nama keluarga mungkin hilang akibat perkahwinan.[8] Kapitan Lee Soon memeluk Islam sebelum berkahwin dengan wanita tempatan. Selepas memeluk Islam beliau telah dikenali sebagai Bedu Amat. Loo Soon menjadi seorang yang amat komited kepada agama tersebut. Beliau telah menunaikan fardu haji dengan membawa bersama anaknya yang masih kecil yang kemudiannya dikenali sebagai Haji Muda. Pendidikan agama yang berterusan  menjadikan anak-anaknya orang-orang yang mengetahui tetang agama. Cucunya Haji Wang juga menunaikan fardu haji. Rumah-rumah penduduk kampung didirikan berdekatan dengan masjid. Ini memudahkan pengajaran ilmu-ilmu agama dijalankan sebagaimana diamalkan di institusi pengajian pondok di negeri  Kelantan dan Patani.[9]  
Anak-anak Kg. Dusun yang belajar ilmu agama, dan kembali ke Kg. Dusun setelah tamat, dan mengajar di Masjid Kg. Dusun. Dalam konteks ini, tidaklah diragui lagi bahawa Masjid Kg Dusun telah terbina sekitar tahun 1700M di Kg. Dusun bagi keperluan komuniti Islam ketika itu.  Peranan Loo Soon dan kaum kerabatnya dalam mengembangkan Islam dan tradisi keilmuan berterusan di abad-abad kemudinnya. 
Warisan keluarga Kapitan Lee Soon yang semakin membesar sejak 300 tahun yang lalu bukan sahaja sudah berasimiliasi dan bersemendaan dengan keluarga daripada keturunan keluarga yang lain di Kecau, Ulu Pahang, dan di Pahang, tetapi telah melahirkan tokoh-tokoh penting di Pahang.  Antara yang dapat dikenalpasti ialah Dato’ Aziz bin Abdul Rahman (Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang), Dato’ Abdullah bin Hj Sulaiman (Mantan ADUN Jelai), Dato’ Mohamad bin Jaafar (Ahli Parlimen Kuala Krau), Dato’ Dr. Mohamad Shahrum bin Osman (Mantan Ahli Parlimen Lipis), Dato’ Mohd Ghazali bin Aziz (Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang), Ustaz Mohd Fadli bin Mat Saman (Imam Besar Masjid Negeri Pahang), dan Ustaz Ishak bin Seman (Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang). 

Kampung-kampung di Mukim Kechau kebanyakannya dibuka oleh waris Kapitan Loo Soon, antaranya Kg. Melaka, Kg. Bandar, Kg. Gelanggang, Kg. Pagar Sasak, Kg. Sentang, dan Kg. Dada Kering. Kg. Merapoh telah dibuka sekitar tahun 1929.  Beberapa orang dari Kechau seperti Haji Mat Piah, Haji Mat Samad, Aki Long dan Aki Mohamad telah membuka petempatan di Kg. Merapoh. Kawasan yang subur  dan cantik ini jugalah kawasan perburuan Panglima Sam yang berasal dari Kg. Dusun.[10]  Waris-waris Kapitan Loo Soon seterusnya merantau menghilir Sungai Jelai, Sungai Pahang hinggalah ke Kuala Krau, Paya Luas dan Paya Sop, dan membuat petempatan di sana.


[1] Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid, “Lipis Kawasan Warisan Sejarah”, dlm. JURNAL WARISAN PAHANG,  Disember, 2012.   Penerbit : PSM KAWASAN LIPIS.

[2] Jeram Buta : Lokasinya kira-kira 3km ke hilir daripada Kg. Dusun (Kecau – Lipis). Dinamakan Jeram Buta kerana jeram ini tidak dapat dilalui perahu dengan cara biasa. Di zaman British, landasan beroda dibina  untuk menarik perahu lalu di atasnya bagi melepasi jeram ini.  Kini roda landasan tersebut telah hilang (dicuri) semasa harga besi  sangat mahal sekitar tahun 2005.

2 Sinar Harian, 5 Mac 2012.
[3] Wawancara dengan Suhaimi bin Aziz 48 tahun, penduduk Kg. Dusun pada 24 April, 2012. Beliau menunjukkan kawasan perkuburan di Jeram Buta. Kini kawasan perkuburan  terletak di ladang kelapa sawit milik FELDA. Menurutnya, semasa pembersihan ladang dibuat, tiba-tiba jentolak telah mati, dan tidak dapat dijalankan.  Kerja-kerja seterusnya terpaksa dilakukan secara tradisonal.

[4] Wawancara dengan Ibrahim bin Aziz, 60 tahun, Ketua Kampung (Pesara Guru) di Kg. Dusun, 24 April,  2012.

[5] Wawancara dengan Hj. Ahmad bin Abdullah (Pakandak Ahmad)  67 di Taman Pertama, Kuala Lipis, 19 Julai  2013. Bekas Ketua Kg. Dusun yang  banyak menyelidiki SALASILAH TOK LOO SOON.

[6] Wawancara dengan En Samah bin Mat Lela 70 tahun, di Kg. Dada Kering (Kecau) pada 25 November, 2010. Wanita tempatan yang dikahwini beliau dipercayai anak kepada salah seorang pembesar tempatan dari keturunan Menteri Tujuh yang berasal dari Sumatera.

[7] Wawancara  dengan  Ahmad Nazri  bin Abdul Rani 78 tahun (Bekas Ketua Kg. Dusun) pada 24 April, 2012.

[8] Hj Ahmad bin Abdullah (Pakandak Ahmad) menemubual En Chew di Pulai sekitar tahun 2009.

[9]  Wawancara dengan  Ibrahim  bin Aziz 60 Ketua Kampung Dusun


[10] Lihat Mohamed Asrimi bin Abdullah, ”Pembukaan Kg. Merapoh”, dlm. JURNAL WARISAN PAHANG, Mac 2010, hlm. 14 

Sumber :

Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid, “Lipis Kawasan Warisan Sejarah”, dlm. JURNAL WARISAN PAHANG,  Disember, 2012.   Penerbit : PSM KAWASAN LIPIS.

Wawancara dengan Suhaimi bin Aziz 48 tahun, penduduk Kg. Dusun pada 24 April, 2012.

Wawancara dengan Ibrahim bin Aziz, 60 tahun, Ketua Kampung (Pesara Guru) di Kg. Dusun, 24 April,  2012.

Wawancara dengan Hj. Ahmad bin Abdullah (Pakandak Ahmad)  67 di Taman Pertama, Kuala Lipis, 19 Julai  2013. Bekas Ketua Kg. Dusun.

Wawancara dengan En Samah bin Mat Lela 70 tahun, di Kg. Dada Kering (Kecau) pada 25 November, 2010.

Wawancara  dengan  Ahmad Nazri  bin Abdul Rani 78 tahun (Bekas Ketua Kg. Dusun) pada 24 April, 2012.

1 comment:

  1. berkaitan sumber 4 dan 5.. di kampung kuala kenong juga terdapat sebuah kg yang dikenali sebagai kampung dusun yang dikenali sehingga hari ini.. di tanah perkuburannya terdapat satu perkuburan yang dikenali sebagai kubur misteri dikenali sebagai kubur panjang.. menurut penduduk tempatan.. orang lama..sebagai kubur tersebut milik tokoh tempatan pada masa dahulu.. namun tidak dapat dipastikan kebenarannya sehingga kini..

    ReplyDelete